Pembaca Setia

11 February 2009

Perlembagaan Malaysia

Malaysia telah mengamalkan sistem pemerintahan bercorak demokrasi selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sistem ini kemudiannya diperkenalkan di Sabah dan Sarawak apabila Persekutuan Malaysia dibentuk pada tahun 1963.

Demokrasi berasal daripada istilah Yunani iaitu ‘demos’ dan ‘kratos’. Demos bermaksud “rakyat” dan kratos bermaksud “kuasa”. Berdasarkan istilah tersebut, demokrasi dapat didefinisikan sebagai “pemerintahan dari rakyat, untuk rakyat”. Demokrasi merupakan amalan pemerintahan yang berasaskan suara rakyat, iaitu rakyat yang menentukan corak pemerintahan melalui pemilihan pemimpin-pemimpin bagi membentuk sebuah kerajaan. Meskipun demokrasi menetapkan hak bersuara secara bebas, namun kebebasan secara mutlak sememangnya tidak diamalkan di Malaysia. Keadaan ini bermakna dalam hal-hal tertentu, kuasa dalam pemerintahan adalah ditentukan oleh Parlimen.

Di Malaysia, bukan semua urusan negara seperti aspek perundangan ditentukan oleh rakyat. Di Malaysia, kerajaan dibentuk oleh rakyat melalui pilihanraya yang dijalankan lima tahun sekali. Pilihan raya pula dilakukan secara bebas oleh Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu sebuah badan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Dalam pilihan raya tersebut, rakyat berhak memilih wakil-wakil mereka dalam Dewan rakyat dan Dewan Undangan Negeri. YDPA bersama-sama Sultan atau Yang di-Pertua Negeri pula akan melantik ahli-ahli Dewan Negara. Semua wakil yang telah dipilih akan menduduki Parlimen yang akan menjana corak pemerintahan negara berasaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai sumber perundangan tertinggi.

Dari perspektif sejarah, sistem demokrasi sebenarnya telah pun diamalkan oleh masyarakat tradisional. Pada awalnya, sistem politik yang berunsurkan demokrasi telah pun diamalkan oleh masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan yang berpegang teguh kepada adat perpatih.

Pada zaman penjajahan British, Negeri Sarawak merupakan perintis kepada amalan demokrasi berparlimen di Malaysia. Ini bermula pada tahun 1868 apabila terbentuknya Dewan Undangan Negeri semasa pemerintahan Raja Charles Brooke. Semasa pemerintahan Charles Vyner Brooke pula, Majlis Tertinggi telah dibentuk dan dianggotai oleh Datuk Patinggi, Datuk Bandar, Datuk Temenggung, dan Datu Imam bagi membantu pentadbiran raja-raja Brooke.

Di Semenanjung Malaysia pula, negeri pertama yang menubuhkan Dewan Undangan Negeri ialah Johor. Pada tahun 1873, sebuah badan perundangan telah ditubuhkan di Johor yang dikenali sebagai Majlis Negeri atau State Council. Lanjutan daripada itu, sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan telah dimulakan di Johor pada tahun 1895 di bawah pemerintahan Maharaja Abu Bakar dengan pembentukan perlembagaan bertulis. Perlembagaan ini berdasarkan perlembagaan di Britain merupakan perlembagaan pertama di Semananjung Tanah Melayu. Malaysia hari ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen berdasarkan Perjanjian Persekutuan pada tahun 1957.

No comments:

Post a Comment

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...