Pembaca Setia

Showing posts with label Nota FPK. Show all posts
Showing posts with label Nota FPK. Show all posts

10 April 2009

Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan




PENGENALAN
Pada amnya, perkataan falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta membuktikan kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.

Berdasarkan huraian di atas, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai pedoman, arah tuju atau pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Maka, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah digubal daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis berlandaskan daripada ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestasikan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan, termasuk Rukun Negara. FPK ini akan menjadi suluh yang memberi pedoman dan hala kepada segala usaha pendidikan – sama ada di dalam institusi pendidikan atau di luar institusi pendidikan. Sehubungan ini, FPK adalah digubal secara rapi dan teliti oleh pakar-pakar pendidikan yang mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara.

Berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan atas Laporan dan Akta Pendidikan, Rukun Negara dan ciri-ciri kebudayaan masyarakat Malaysia, maka FPK yang dinyatakan berikut digubal dan diumumkan secara rasmi pada tahun 1988.

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

Berlandaskan kepada FPK yang telah dihuraikan diatas, maka Matlamat Pendidikan Negara ialah bertujuan melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya menjadi warganegara Malaysia yang berguna. Dengan perkataan lain, Matlamat Pendidikan Negara bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:

Percaya dan patuh kepada Tuhan.
Berilmu pengetahuan.
Berakhlak mulia.
Bertanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat, agama dan negara.
Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
Memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.





PERANAN SEKOLAH DALAM MEREALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN.

Peranan sekolah begitu besar dalam melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat setiap murid untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada.

Untuk merealisasikan hasrat FPK, aspek-aspek kepemimpinan, budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan disiplin murid perlu diberi perhatian dan diaktifkan secara menyeluruh.

Aspek Kepemimpinan
Aspek pertama yang perlu diambil perhatian ialah kepemimpinan. Pemimpin sekolah iaitu guru besar merupakan orang penting dalam memajukan institusi pelajaran di Malaysia. Mereka perlu berfikiran kreatif dalam pengurusan dan berhubungan dengan guru dan juga murid. Mereka bertanggungjawab menetapkan falsafah sekolah, membentuk wawasan sekolah, membentuk visi dan misi sekolah yang berlandaskan FPK.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu memastikan aspek-aspek seperti budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan juga disiplin murid diberi penekanan dan perhatian yang sewajarnya supaya hasrat FPK dapat direalisasikan.

Perkembangan semasa memperlihatkan peningkatan peranan guru besar sebagai peneraju utama di sekolah-sekolah. Penyelidikan oleh Morrisson (2005) mendapati bahawa perubahan peranan pentadbir sekolah perlu berlaku dalam aspek-aspek tertentu seperti kepemimpinan, tuntutan kerja, orientasi perniagaan, tanggungjawab, pengurusan sumber manusia, membuat keputusan, komunikasi, kuasa, dan perancangan. Peranan guru besar merupakan antara faktor utama yang akan menentukan kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah. Guru besar yang berkesan mampu mengubah keadaan sesebuah sekolah menjadi cemerlang.

Dalam melaksanakan amanah menyediakan sumber manusia menjelang tahun 2020, fungsi kepemimpinan, pengurusan, dan pentadbiran sekolah menjadi semakin mencabar. Peranan kepemimpinan di peringkat sekolah mestilah dalam bentuk instructional leader yang memainkan peranan tertentu pada tahap serta kedudukan masing-masing untuk melaksanakan sesuatu progam pendidikan. Kepemimpinan pendidikan juga haruslah berperanan sebagai transformational leader iaitu sebagai agen transformasi perubahan.

Pemimpin sekolah yang proaktif akan sentiasa membuat jangkaan-jangkaan tentang perubahan yang sedang dan bakal berlaku agar sentiasa berada dalam keadaan bersedia. Pemimpin sekolah mestilah juga mampu dan berupaya membimbing guru-guru di bawah pengawasannya untuk menjadi lebih berkesan.

Sekolah yang berkesan dapat dilihat berdasarkan stail kepemimpinan yang bukan sekadar mampu bertindak sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran yang berkesan tetapi juga harus mampu membawa perubahan. Justeru itu, di mana-mana sekolah, guru besar merupakan individu yang paling berpengaruh dan bertanggungjawab terhadap sesuatu perubahan.

Menurut kata Wilson dan Corcoran (1988), segala kejayaan dan kegagalan murid terletak kepada pihak sekolah, iaitu guru besar dan guru. Kepemimpinan guru besar pula dikenal pasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali, yang mempengaruhi kualiti dan kuantiti hasil sekolah walaupun proses dalaman dan persekitaran sosial (iklim), atau budaya sekolah juga merupakan pemboleh ubah yang mempengaruhi dan menyebabkan perbezaan dalam pencapaian akademik murid (Rutter et al,1979).

Aspek Budaya Sekolah
Aspek kedua yang perlu diberi penekanan ialah budaya sekolah. Budaya sekolah, kadang kala dikenali sebagai iklim sekolah merupakan salah satu aspek yang penting dalam merealisasikan FPK. Iklim sekolah yang terbuka menggalakkan murid bebas berinteraksi di antara murid dengan murid, murid dengan guru serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sekolah. Guru pula boleh bekerja dalam keadaan yang mesra, berasa tenteram serta melaksanakan tugas dengan adil, dedikasi, gembira dan sempurna.

Iklim sekolah yang terbuka seperti ini merupakan iklim sekolah yang demokratik dan iklim ini akan dapat membantu sekolah mencapai aspirasinya seperti membentuk murid lebih berdedikasi, lebih berinisiatif, lebih rela bekerjasama, lebih ramah dan mesra, lebih spontan dan berkreativiti serta lebih tinggi motivasinya.

Budaya sekolah atau iklim sekolah ini mengandungi empat aspek utama iaitu aspek fizikal, aspek sosial, aspek perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa.
Aspek fizikal merangkumi perkara-perkara seperti kebersihan kawasan sekolah, keselamatan anggota-anggota sekolah, kemudahan-kemudahan sekolah yang lengkap, keselesaan yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran dan juga keindahan sekolah.

Dari aspek sosial pula, ia merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan keharmonian di antara anggota-anggota sekolah seperti budaya hormat-menghormati dan mengucap salam, kerjasama, rasa tanggungjawab, perpaduan, kemesraan dan keadilan.

Seterusnya aspek perkembangan intelek. Ia merangkumi aspek budaya ilmu seperti semangat mahu belajar sama ada dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah. Sebagai contoh, sekolah memainkan peranannya melalui penganjuran program-program akademik seperti Program NILAM dengan tujuan membudayakan aktiviti membaca dalam diri murid-muridnya. Program ini secara tidak langsung dapat mengembangkan daya pemikiran murid sama ada kritis atau kreatif. Menurut Ee (1994), tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama membina budaya ilmu ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan.

Aspek yang terakhir ialah penggunaan bahasa. Aspek ini meliputi penggunaan bahasa secara betul dan jitu sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Untuk meningkatkan prestasi dalam aspek penggunaan bahasa, aktiviti pertandingan, perbahasan, syarahan dan pidato boleh dianjurkan oleh pihak sekolah sebagai galakan penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa kedua – Bahasa Inggeris juga perlu diberi perhatian sejajar dengan matlamat FPK yang ingin melahirkan modal insan yang mampu berdaya saing di peringkat global.
Suasana sekolah yang ceria, kondusif dan meransang pembelajaran diwujudkan bertujuan menghasilkan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Aspek Ko-kurikulum
Aspek ketiga pula ialah ko-kurikulum. Untuk merealisasikan FPK, sekolah juga perlu memainkan peranan yang berkesan dalam melaksanakan gerak kerja ko-kurikulum. Gerak kerja ko-kurikulum merupakan gerak kerja bercorak pendidikan yang dijalankan di dalam dan di luar waktu sekolah. Gerak kerja merupakan aktiviti-aktiviti kumpulan secara informal. Gerak kerja ko-kurikulum berasaskan pembelajaran di bilik darjah adalah kesinambungan kurikulum yang dilaksanakan di sekolah. Walaupun aktiviti-aktiviti ko-kurikulum lebih bercorak informal, tetapi gerak kerja yang dijalankan adalah terancang.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah diharapkan akan menyemai sifat-sifat kepemimpinan, kerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat di kalangan murid. Aktiviti ko-kurikulum juga perlu dirancang supaya semua murid mempunyai perseimbangan antara perkembangan mental dengan perkembangan sosial, jasmani dan rohani. Pelaksanaan ko-kurikulum cuba melihat minat dan bakat murid-murid. Melalui kegiatan kumpulan, semua murid boleh dididik dan mendidik diri sendiri.

Sekolah ialah institusi yang bertanggungjawab dan boleh memainkan peranan dalam mendidik murid-murid untuk mengembangkan minat dan bakat. Begitu juga masyarakat yang bertanggungjawab boleh memainkan peranan mereka dalam mendidik murid-murid. Ini disebabkan alam masyarakat di luar sekolah sebenarnya amat kaya dengan ilmu pengetahuan yang boleh dimanfaatkan oleh murid-murid. Aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam gerak kerja ko-kurikulum ialah pasukan unit beruniform, persatuan/kelab dan juga sukan. Pihak sekoalh perlu memastikan semua murid melibatkan diri dalam ko-kurikulum ini kerana gerak kerja ini dianggap sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah dan sebagai satu bidang pendidikan.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah mempunyai beberapa matlamat penting yang merangkumi aspek pendidikan, aspek pembelajaran, dan aspek sosialisasi.

Dari aspek pendidikan, pelaksanaan gerak kerja ko-kurikulum di sekolah diharap akan dapat membina dan menyuburkan sahsiah yang seimbang di kalangan murid; memupuk nilai-nilai ahklak dan pendidikan yang diingini; memajukan kemahiran, minat dan bakat murid; meningkatkan disiplin dan kepemimpinan diri; mengukuhkan dan memperkayakan lagi pengetahuan dan kemahiran; menjadi asas kerjaya pada masa akan datang dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan menyeronokkan.

Dari aspek pembelajaran pula, kegiatan ko-kurikulum bertujuan untuk mewujudkan dan mempertingkatkan suasana sekolah yang lebih menarik dan menggembirakan murid-murid. Selain itu, perhubungan antara guru dengan murid juga dapat diwujudkan.

Dari aspek sosialisasi, gerak kerja ko-kurikulum ini dilihat mampu melahir dan membentuk murid-murid yang mempunyai semangat kekitaan dan kewarganegaraan serta mempunyai rasa dan tanggungjawab berkhidmat untuk masyarakat.
Secara keseluruhannya, pihak sekolah perlu mempertingkatkan kualiti pengurusan ko-kurikulum dan sukan dengan usaha memperkembangkan lagi potensi individu, membentuk sahsiah, membantu pertumbuhan jiwa bermasyarakat, meningkatkan mutu disiplin para murid bagi memperkukuhkan integrasi di kalangan mereka. Selain itu, pihak sekolah juga harus memberi peluang secukupnya kepada murid-murid untuk menyertai pelbagai aktiviti terancang bagi memperkembangkan minat, bakat serta kemahiran masing-masing.



Aspek Guru
Aspek yang seterusnya ialah guru. Peranan guru amat penting dalam merealisasikan FPK. Guru bertanggungjawab memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu yakni insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dengan pengenalan KBSR dan KBSM di negara kita, peranan guru di sekolah juga bertambah lebih kompleks. Guru mula memainkan peranan sebagai pengajar, pengurus, fasilitator, pembimbing, penggalak, penyelaras dan juga sebagai inovator, iaitu orang yang mendatangkan pembaharuan.

Seseorang guru menjalankan seperti menggerakkan, mengatur dan menilai prestasi murid-murid. Sebelum memulakan satu-satu pelajaran, minat murid seharusnya ditimbulkan terlebih dahulu terhadap topik yang akan disampaikan. Proses pembelajaran berlaku dengan lebih cepat sekiranya murid-murid mempunyai minat terhadap pelajaran itu.

Oleh itu, adalah penting bagi guru menggerakkan muridnya dengan berbagai-bagai cara seperti menggunakan pelbagai jenis alat bantu mengajar, mengadakan main peranan (role playing), mengadakan simulasi dan sebagainya.

Selain itu, guru juga mengelolakan semua aktiviti yang dijalankan di dalam sesebuah bilik darjah. Dalam aktiviti pembelajaran mesti ada langkah pertama, langkah kedua, langkah ketiga dan seterusnya. Tiap-tiap langkah pembelajaran haruslah diatur supaya murid-murid mendapat faedah daripada setiap aktiviti pembelajaran. Gurulah yang menjalankan tugas mengatur setiap langkah pembelajaran. Dalam mengatur langkah-langkah pembelajaran, guru akan merancang terlebih dahulu. Apabila membuat sesuatu rancangan, keperluan-keperluan murid, objektif-objektif pelajaran, bahan-bahan dan alat-alat mengajar seharusnya dipertimbangkan. Pengajaran yang dirancangkan dengan baik akan membawa faedah yang besar kepada murid-murid.

Guru juga membimbing murid-murid supaya mereka memahami topik yang diajar. Guru seharusnya mengaitkan tajuk yang diajar dengan pengalaman-pengalaman murid untuk membolehkan mereka memahami konsep-konsep dengan lebih mudah lagi. Perkataan-perkataan yang digunakan oleh guru sepatutnya mudah difahami dan penerangannya padat serta jelas. Penggunaan alat bantu mengajar seperti carta, gambar, perbandingan dan graf dapat menjelaskan lagi sesuatu konsep yang disampaikan. Guru juga menolong murid-murid mengatur fakta-fakta supaya menjadi konsep yang konkrit dan bermakna. Idea yang abstrak boleh dijadikan konkrit dengan menggunakan carta dan alat bantu mengajar lain.

Guru perlu juga menolong murid-murid mempraktikkan dan mengulangi aktiviti sehingga pembelajaran itu menjadi berkesan. Guru juga menilai murid-muridnya dengan menjalankan berbagai-bagai ujian. Penilaian ini akan dapat mengesani sejauh manakah objektif pengajaran dan pembelajaran telah tercapai.

Ringkasnya, guru memikul amanah yang amat besar untuk melahirkan insan berilmu dan bersahsiah tinggi dan berperanan untuk merealisasikan matlamat kenegaraan yang akan menentukan jatuh bangun bangsa dan negara di masa hadapan.

Aspek disiplin.
Aspek yang terakhir ialah disiplin. Sekolah sebagai agen sosialisasi utama bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar umbi. Iklim dan persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang perkembangan murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan FPK.

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah cuba mentakrifkan disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu untuk menghormati dan mematuhi undang-undang, sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri; juga kesanggupan seseorang bekerja atau membuat sesuatu dengan cukup tertib, kesanggupan menghormati hak individu lain, mengamalkan tingkah laku hormat-menghormati di antara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong-menolong dan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat untuk masyarakat. Disiplin juga ada kaitannya dengan tatatertib, tatasusila, kesopanan dan ahklak.
Dalam konteks pendidikan, sekolah merupakan institusi yang penting dalam membentuk disiplin murid-murid. Masalah disiplin murid akan menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran. Masalah disiplin ini seharusnya dikawal dengan kerjasama warga sekolah iaitu guru besar, guru disiplin, guru, pengawal keselamatan, masyarakat sekitar sekolah dan ibu bapa. Hal ini penting bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan sebuah jawatan kuasa menangani gejala disiplin murid peringkat sekolah dengan melantik beberapa ahli terdiri daripada kalangan mereka yang tinggal berhampiran dengan sekolah bagi memantau disiplin murid. Pihak sekolah juga hendaklah memantau kawasan sekolah yang terdapat masalah disiplin.

Apa yang lebih penting, murid lemah dan berdisiplin memerlukan perhatian khas daripada pihak sekolah. Semua ini perlu dilakukan dengan bijak supaya tidak berlaku pengasingan dan perbezaan di antara mereka dengan murid lain di sekolah.

Peranan guru bimbingan dan kaunseling penting dalam membentuk dan membina semula sahsiah dan disiplin murid yang bermasalah. Antara tugas utama guru bimbingan dan kaunseling ialah menjalankan bimbingan dan kaunseling dengan murid-murid yang mempunyai masalah disiplin dengan tujuan mewujudkan tingkah laku yang diingini. Selain itu, guru bimbingan dan kaunseling juga berfungsi untuk membina perhubungan dengan ibu bapa/ penjaga murid-murid yang mempunyai masalah disiplin, pegawai kebajikan masyarakat atau pihak polis.

Disiplin yang baik membawa beberapa faedah kepada guru dan murid. Faedah-faedah tersebut adalah seperti berikut:

Pengajaran dapat dijalankan dengan licin dan teratur.
Pembelajaran dapat dilaksanakan dalam suasana yang tenang serta teratur.
Keberkesanan pengajaran-pembelajaran akan dapat ditingkatkan lagi.
Murid-murid menjadi lebih produktif jika mereka berdisiplin.
Keselamatan murid-murid dapat dijamin kerana setiap murid dapat mematuhi peraturan-peraturan sekolah.
Kemalangan yang berlaku di makmal atau bilik darjah dapat dikurangkan.
Segala tugasan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat.

Masalah disiplin perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya persekitaran sekolah yang kondusif dan selamat amat penting dalam membentuk imej dan keyakinan diri murid ke arah kecemerlangan dan kegemilangan, selaras dengan hasrat negara yang menekankan usaha pembentukan modal insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang.



KESIMPULAN
Kesimpulannya, berdasarkan kepada semua huraian diatas, maka ternyatalah bahawa kejayaan sesebuah sekolah dalam merealisasikan FPK adalah bergantung kepada aspek-aspek kepemimpinan, budaya sekolah, ko-kurikulum, guru dan juga disiplin. Semua aspek ini akan menentukan modal insan yang bakal dihasilkan sama ada memenuhi hasrat FPK atau tidak. Kejayaan sekolah dalam merealisasikan FPK juga secara tidak langsung mampu menjana dan membina modal insan yang berkualiti. Merujuk kepada PIPP (2006), negara kita berhasrat untuk menghasilkan “modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berperibadi mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi… perlu mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah”. Sekali lagi dinyatakan bahawa, peranan sekolah amat penting dalam menyahut cabaran yang terkandung di dalam FPK untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.









11 February 2009

Pendemokrasian Pendidikan

Pendemokrasian pendidikan merupakan satu elemen yang penting dalam membangunkan pendidikan di Malaysia. Kita sangat mementingkan kepada keadilan sejagat dalam bidang pendidikan yang mana membolehkan semua pihak mendapat faedah dan juga kemudahan yang sama rata untuk belajar di mana-mana institusi pendidikan.

Konsep pendemokrasian pendidikan menjamin keadilan untuk semua pihak untuk mendapat pendidikan yang sama dengan orang lain. Sedikit pengenalan tentang pendemokrasian pendidikan, konsep ini boleh ditafsirkan kepada dua bahagian iaitu dari aspek terminologi dan juga literasi.

10 February 2009

Falsafah Pendidikan Barat Tradisional

Falsafah pendidikan barat terbahagi kepada dua iaitu:

  • Tradisional
  • Moden

Falsafah pendidikan barat tradisional

Menekankan aspek-aspek perenialisme dan essensialisme.



Perenialisme

  • Perennial bermaksud tidak berubah.
  • Definisi: Sesuatu yang tidak akan berubah.

Konsep

  • Ciri-ciri semulajadi manusia bersifat sejagat dan tidak berubah.

Matlamat Pendidikan

  • Mengajar pengetahuan dan nilai yang bersifat sejagat, abadi atau tidak dan mempunyai had masa.

Tumpuan

  • Potensi dan rasional individu.
  • Lebih pasif.
  • Penekanan agama melebihi sains.
  • Melatih 3M.
  • Kemahiran mental, menaakul.

Essensialisme


Konsep

  • Menumpukan perkara-perkara asas sahaja dan perkara ini pula bole berubah dari masa ke semasa.
  • Bersifat praktikal dan pragmatik.

Matlamat pendidikan

  • Pengajaran maklumat berbentuk fakta yang perlu dipelajari, dihayati dan disimpan oleh anak murid kita serta penghayatan budaya.

Tumpuan

  • Inovasi kurikulum sekolah -dirancang secara sistematik.
  • Guru memainkan peranan utama.
  • Latihan intelek dan mental.
  • 3M diterapkan.
  • Nilai-nilai kemasyarakatan ditekankan.

Sumber: Falsafah dan Pendidikan di Malaysia Untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah 4 Tahun. Choong Lean Keow.2009.

Tokoh-tokoh Falsafah Islam: Al-Farabi

Al Farabi (870 - 950 AD)



  • Menyumbangkan pemikiran beliau dalam sains, falsafah, logik, sosiologi, perubatan, matematik dan muzik.

Riwayat Hidup

  • Nama penuh: Abu Nasr Mohammad Ibn al-Farakh al-Farabi.
  • Lahir di Wasij, Turkistan pada 870 AD.
  • Ali Sains, Pakar Bahasa dan Ahli Falsafah.

Sumbangan

  • Fusus al-Hikam - masih digunakan sehingga hari ini.
  • Kitab al-ihsa al 'Ulum - menghuraikan klasifikasi dan prinsip-prinsip asas sains.
  • Ara Ahl al- Madina al-Fadila (The Model City) - sumbangan dalam sosiologi dan sains politik.
  • Kitab al-Musiqa - Merupakan sebuah buku muzik.


Sumber: Falsafah dan Pendidikan di Malaysia Untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah 4 Tahun. Choong Lean Keow.2009.

Tokoh-tokoh Falsafah Islam: Ibn Khaldun

Ibn Khaldun (1332 - 1406)


  • Seorang tokoh falsafah, sejarah dan sosiologi.

Riwayat hidup.

  • Nama penuh: Abdurahman bin Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Al-Hasan bin Jabir bin Muhammad bin Ibrahim bin Abdurahman bin Ibn Khaldun.
  • Lahir di Tunis, Tunisia pada tahun 1332.
  • Menceburkan diri dalam politik.

Sumbangan

  • Universal History
  • Sejarah Maghrib
  • Lubab al-Mahsul (Summary of the Result)
  • Shifa' as-Sail (Healing of the Inquirer)


Sumber: Falsafah dan Pendidikan di Malaysia Untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah 4 Tahun. Choong Lean Keow.2009.

Tokoh-tokoh Falsafah Islam: Al Ghazali (1058-1111)

Al-Ghazali (1058-1111)
  • Abu Hamed Mohammad ibn Mohammad al-Ghazzali.
  • Digelar Algazel.
  • Terkenal sebagai ahli falsafah, ahli teologi dan ahli juri yang amat disegani.


Riwayat Hidup.

  • Lahir di Tus, Khorasan, Iran pada 1058.
  • Belajar ilmu fiqh di Gurgan.
  • Melanjutkan pengajian dalam bidang agama, falsafah, logik dan lain-lain.
  • Meninggal dunia pada tahun 1111.


Sumbangan

  • Tahafut al-Falasifa - menolak sepenuhnya pandangan ahli-ahli falsafah Barat.
  • Ihya al-Ulum al-Din or Ihya'ul Ulumuddin.
  • Maqasid al falasifa - membentangkan teori-teori asas falsafah.
  • Miyar al-Nazr fi al-Mantiq (Criterion of Knowledge in The aArt of Logic).
  • Mihak al-Nazar fi al-mantiq (Touchstone of Reasoning in Logic).
  • al-Qistas al-mustaqim (The Correct Balance).

Sumber: Falsafah dan Pendidikan di Malaysia Untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah 4 Tahun. Choong Lean Keow.2009.

Tokoh-tokoh Falsafah Islam: Ibnu Rushd

Ibnu Rushd (520-595 Hijrah)


- Lebih dikenali dibarat dengan nama "Averroes".
- Lahir di Kota Cordova, Sepanyol.
- Nama sebenar: Abu Al Walid Muhammad Bin Ahmad Bin Muhammad Bin Ahmad Bin Ahmad Bin Rushd.
- Gelaran: "Pendita Abu Walid".
- Pernah menjadi hakim di Kota Seville dan Kota Cordova.

Falsafah

-Hidup sederhana dan bersahaja tanpa mempedulikan tentang pakaian, harta benda atau masa depan.

-Bersifat pemurah kepada semua orang meskipun mereka yang pernah memusuhi atau menghinanya.

-Bersifat rendah diri terutama kepada orang-orang miskin, tetapi mengambil berat tentang harga diri, maruah dan pantang merendah diri kepada orang-orang yang berpangkat besar.


Sumbangan

  1. Kuliliyah fit - Thibb - mengandungi 16 jilid mengenai perubatan secara umum.
  2. Mabadil Falsafah (Pengantar Ilmu Falsafah).
  3. Tafsir Urjuza - mengenai perubatan dan tauhid, Taslul.
  4. Kasyful Adillah - tentang ilmu kalam dan mengungkap persoalan falsafah dan agama.
  5. Tahafatul Tahafut - mengulas buku Imam Al- Ghazali berjudul Tahafatul Falaisafah.
  6. Muwafatil Hikmah Wal Syari'a - membicarakan persamaan falsafah dengan agama.

Sumber: Falsafah dan Pendidikan di Malaysia Untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah 4 Tahun. Choong Lean Keow.2009.

Soalan ISL Falsafah Pendidikan Kebangsaan

1. Mencari sumber mengenai cabang falsafah pendidikan dan membuat rumusan dalam bentuk peta minda.

2. Pelajar mencari bahan atau maklumat mengenai tokoh-tokoh pendidikan Islam.

3. Mencari maklumat mengenai falsafah pendidikan barat dan membanding beza antara cabang-cabang pendidikan barat dengan menggunakan pengurusan grafik yang sesuai.

4. Dengan menggunakan borang analisis PMI (Plus Minus Interesting), buat analisis tentang mana-mana satu cabang falsafah pendidikan barat.

Perkembangan Sistem Pendidikan Di Malaysia (ii)

Sebelum Merdeka.
Dibahagi kepada dua – Sebelum zaman penjajahan British & Selepas zaman penjajahan British.
Sebelum penjajahan British:
• Berteraskan agama Islam – Rumah guru -Masjid, Surau dan madrasah, Sekolah pondok.

Selepas penjajahan British:

Terbahagi kepada dua – Sebelum perang dunia kedua & Selepas perang dunia kedua.
• Merangkumi pendidikan rendah, pendidikan menengah, latihan perguruan, pendidikan vokasional dan teknik dan pendidikan tinggi.
• Empat jenis sekolah: sekolah Melayu, sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah Inggeris.

Perkembangan Sistem Pendidikan di Malaysia

Sebelum Merdeka.

Tahun

Laporan/ Penyata

Ringkasan

1951

Laporan Barnes

Cadangan menghapuskan sekolah-sekolah vernakular dan menggantikan dengan sekolah dwibahasa.

1952

Laporan Fenn-Wu

Cadangan supaya bahasa Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah vernakular.

1952

Ordinan Pelajaran

Mengkaji cadangan Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu dan mencari satu kompromi yang baik.

1956

Penyata Razak

Matlamat: membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yang mempunyai beberapa ciri tertentu.

Selepas Merdeka

Tahun

Laporan/Akta/

Dasar Pendidikan

Ringkasan

1960

Laporan Rahman Talib

· Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

· Sekolah menengah percuma.

· Peningkatan ke ting. 3 secara automatik.

· Penubuhan sekolah teknik dan vokasional.

· Penekanan kepada pendidikan agama dan moral.

1961

Akta Pelajaran

Laporan Rahman Talib diwartakan sebagai Akta Pelajaran 1961.

1963

Akta Bahasa Kebangsaan

Pengisytiharan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar di semua peringkat persekolahan.

1963-1974

Rukunegara dan DEB

Agihan peluang-peluang pendidikan yang sama bagi Bandar dan luar bandar.

1976

Akta Pelajaran 1961

Berkuatkuasa bagi negeri Sabah dan Sarawak.

1979

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran

· Penekanan kepada perpaduan Negara.

· Tumpuan kepada sumber manusia yang berkemahiran demi kemajuan dan pembangunan negara.

· Pendemokrasian pendidikan.

· Pembentukan masyarakat Malaysia yang bermoral dan berdisiplin.

06 February 2009

Falsafah Pendidikan Kebangsaan


“ Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”





05 February 2009

Sosiologi

SOSIOLOGI

Definisi Sosiologi

Sosiologi merupakan sebuah istilah yang berasal dari kata latin socius yang artinya teman, dan logos dari kata Yunani yang berarti cerita, diungkapkan pertama kalinya dalam buku yang berjudul “Cours De Philosophie Positive” karangan August Comte (1798-1857).

Sosiologi adalah satu kajian mengenai manusia dalam perhubungan kelompoknya. Sosiologi mengkaji perkara interaksi di dalam dan di antara kelompok manusia.

(Roucek, J. s. (1957). Sosiologi: Suatu Pengenalan. New Jersey: Littefield Adams & Co.)

Sosiologi adalah ilmu yang mempelajari hubungan dan pengaruh timbal balik antara aneka macam gejala sosial (misalnya gejala ekonomi, gejala keluarga, dan gejala moral), sosiologi adalah ilmu yang mempelajari hubungan dan pengaruh timbal balik antara gejala sosial dengan gejala non-sosial, dan yang terakhir, sosiologi adalah ilmu yang mempelajari ciri-ciri umum semua jenis gejala-gejala sosial lain. (Pitirim Sorokin). - gambar.


Sosiologi adalah ilmu yang berupaya memahami tindakan-tindakan sosial. (Max Weber).

KEMAHIRAN SOSIAL


Apakah Kemahiran Sosial?

Menurut Khairul Azhar Idris, Kemahiran sosial ialah beberapa set kemahiran yang perlu dimiliki apabila berinteraksi dengan individu manusia lain dalam pelbagai situasi kemasyarakatan. Kemahiran sosial ialah hubungan interpersonal dan proses interaksi sesama manusia yang positif yang harus membawa manfaat kepada semua pihak yang terlibat sama ada dalam bentuk material, kestabilan emosi, peningkatan kekuatan fizikal, intelek atau spiritual.

(http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2004&dt=0114&pub=DuniaPendidikan&sec=Kaunseling&pg=ka_01.htm)




Kemahiran sosial yang baik melibatkan kefahaman dan dapat mengendalikan perasaan anda

sendiri. Ini termasuklah:


Mengetahui perasaan anda

Meluahkan perasaan anda

Memahami perasaan orang lain

Menguruskan kemarahan anda

Mengatasi perasaan takut dan malu

(http://www.myhealth.gov.my/myhealth)

Mengapa Kemahiran Ini Perlu Dimiliki?

Sebab mengapa kemahiran ini perlu dimiliki adalah kerana ia mampu mencapai hasrat dan matlamat kita kepada orang lain di samping dapat menghasilkan satu bentuk perhubungan positif dan harmonis serta mampu pula untuk mengekalkan perhubungan bagi jangka masa panjang. Apabila kita berinteraksi dengan orang lain, sebenarnya kita cuba berkomunikasi dengan mereka.

Bagaimanakah kemahiran komunikasi membantu kita?

Kemahiran sosial membantu anda menjalin hubungan sosial yang lebih baik seperti:

  • Membina persahabatan.
  • Berbual dengan orang lain.
  • Mempunyai budi pekerti yang baik.
  • Mempunyai rasa empati terhadap orang lain.

Kepentingan kemahiran sosial.

Kemahiran sosial dapat meningkatkan keupayaan seseorang untuk menempuhi aktiviti kehidupan bersosial dalam masyarakat. Ia bertujuan untuk meningkatkan rasa keyakinan diri, kemampuan untuk menerima perbezaan pendapat dan perbezaan individu, mampu menghormati pandangan orang lain, bermurah hati dalam memberi nasihat dan galakan, bijak membaca suasana untuk memberi teguran dan kritikan, mengiktiraf kelebihan orang lain dan menerima kelemahan mereka sebagai sesuatu yang unik dan tidak perlu diperlekehkan.

Kelemahan penguasaan kemahiran sosial.

Individu yang mengalami gangguan personaliti seperti personaliti antisosial atau avoidant personality atau gangguan kebimbangan sosial turut mempunyai kekurangan dalam aspek kemahiran sosial ini. Apapun, ada juga pengkaji melihat faktor persekitaran seperti pendedahan yang kerap dalam pergaulan positif sebenarnya mematangkan seseorang dan mendatangkan tahap kemahiran sosial baik dalam interaksi mereka.

Punca seseorang individu kurang mahir dari segi interaksi sosialnya adalah kerana kurang pergaulan mereka atau tidak ada pendedahan wajar untuk mereka atasi kekurangan itu, tetapi ia bukan diakibatkan sindrom kerosakan otak.

Kesan kekurangan kemahiran sosial.

Kekurangan kemahiran ini akan mewujudkan suasana tegang dan cemas dalam interaksi, tidak mampu menerima perbezaan pendapat, mementingkan diri sendiri dan menganggap diri sendiri saja yang betul, malah akan sentiasa mencari keburukan dan kesalahan orang lain. Pendek kata, kemahiran sosial adalah tatacara yang perlu dimiliki oleh semua orang, sama ada pelajar dan remaja, pemimpin, ulama dan pendakwah, suami dan isteri, ibu bapa dan sebagainya. Dengan tatacara ini, mereka mempunyai peluang lebih baik untuk diterima masyarakat dan seterusnya menjadi golongan yang mampu bertahan dalam pelbagai situasi.


(Semua nota ini dirujuk dari beberapa buah buku dan juga laman web)

5 Febuari 2009

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...