HUBUNGI SAYA

HUBUNGI SAYA
STESEN BERKHIDMAT SEMASA

Pembaca Setia

30 September 2010

17 lirik lagu kanak-kanak


Lirik 1

"Bangun Pagi"
Bangun Pagi Gosok Gigi,
Cuci Muka Terus Mandi,
Pakai Baju Minum Susu,
Salam Ayah Dan Ibu,
Pergi Sekolah Jalan Kaki,
Jumpa Cikgu Depan Pintu,
Selamat Pagi Cikgu Sa'amah,
Selamat Pagi Cikgu Aishah,
Rajin Belajar Cikgu Ajar,
Pandai Tulis, Pandai Lukis,
Pandai Nyanyi, Baca Buku,
Semua Orang Suka Hati,
Kalau Kita Rajin Usaha,
Ibubapa Gembira,
Mari Kawan Sama-Sama,
Pasti Kita Berjaya !

Lirik 2
"Tangan Saya"
Tangan Di Kepalaku,
Di Muka Dan Di Bahu,
Di Pinggang, Di Sisi,
Di Belakang Ku Sembunyi,
Ku Angkat Tinggi, Jejari Ku Menari,
Ke Depan Tangan Ku,
Tepuk Tangan Bersama, Yes !

Lirik 3
"Mana Ibu"
Mana Ibu, Mana Ibu,
Di Sini, Di Sini,
Apa Khabar Awak,
Saya Khabar Baik,
Lari Sembunyi, Lari Sembunyi.
(Ulang Untuk Telunjuk, Hantu, Manis Dan Kelingking)

Lirik 4
"Tanya Sama Pokok"
Tanya Sama Pokok, Apa Sebab Goyang,
Nanti Jawab Pokok, Angin Yang Goyang,
Tanya Sama Angin, Apa Sebab Goyang,
Nanti Jawab Angin, Tanyalah Awan.
Awan Nanti Kata, Aku Kandung Air,
Sampai Tempat Teduh, Aku Pun Cair,
Lihat Dalam Air, Nampak Bayang-Bayang,
Campak Satu Batu, Bayang Pun Hilang.

Lirik 5
"Rumah Kecil Saya"
Rumah Kecil Saya, Ada Taman Bunga,
Bunga Warna Warni, Harum Dan Wangi,
Rumah Kecil Saya, Ada Tingkap Dua,
Langsir Warna Biru, Dibuat Ibu.

Lirik 6
"Rama-Rama"
Dari Ulat Jadi Kepompong,
Tidur Nyenyak Dalam Kelongsong,
Cukup Masa Kelongsong Pecah,
Pom! Pom! Jadilah Rama-Rama Yang Indah,
Rama-Rama Terbang Merata,
Hisap Madu Di Pohon Bunga
Sungguh Cantik Aneka Warna,
Tapi Sayang Hidup Tak Lama,
Begitulah Hidup Manusia,
Pada Allah Kita Berdoa,
Agar Jadi Insan Mulia,
Tapi Sayang Hidup Tak Lama.

Lirik 7
"Mata Saya"
Mata Saya Dua, Hidung Saya Satu,
Telinga Saya Dua, Kiri Dan Kanan,
Kaki Saya Dua, Pakai Kasut Baru,
Mulut Saya Satu, Tak Henti Makan.

Lirik 8
"Angkat Tangan"
Angkatlah Tangan Kanan,
Angkatlah Tangan Kiri,
Goyangkan Tangan Kanan,
Goyangkan Tangan Kiri,
Tunjukkan Kaki Kanan,
Tunjukkan Kaki Kiri,
Hentakkan Kaki Kanan,
Hentakkan Kaki Kiri.


Lirik 9
"Ikan Kekek"
Ikan Kekek Mak Iloi, Iloi,
Ikan Gelama Mak Ilai, Ilai,
Sungguh Cantik Adikku Amboi,
Tapi Ketawa Mengilai-Ngilai.
Ikan Kekek Mak Iloi, Iloi,
Ikan Gelama Mak Ilai, Ilai,
Kalau Adik Nak Jadi Pandai,
Mari Belajar, Janganlah Lalai.
Ikan Kekek Hoi !,
Ikan Kekek.......

Lirik 10
"Gajah"
Gajah Berkaki Empat,
Gelek, Gelek,
Gajah Belalai Panjang,
Gelek, Gelek,
Gading Dia Panjang,
Tapi Tidak Makan Orang,
Kalau Adik Ingin Tahu,
Apa Makanan Gajah,
La, La, La, La...................
Gajah Makan Tebu.

Lirik 11
"Gajah"
Apabila Bila Bulan Terang Berseri,
Seekor Gajah Keluar Menari,
Lenggok Ke Kanan, Dan Lenggok Ke Kiri,
Jemput Seekor, Keluar Menari.

Lirik 12
"Awan"
Awan Bergerak, Gerak,
Putih Seperti Kapas,
Rupa Cantik Bercorak,
Bergerak Dengan Bebas

Lirik 13
"Kereta Kecil"
Bapaku Pulang Dari Kota,
Bapaku Belikan Kereta,
Kereta Kecil Warna Merah,
Boleh Ku Bawa Ke Sekolah,
Pon, Pon, Pon, Pon, Pon, Pon, Pon,
Kereta Kecil Ku Berbunyi,
Marilah Adik Mari Naik,
Boleh Ku Bawa Ke Rumah Nenek.

Lirik 14
"Ulat Gonggok"
Datanglah Ulat Gonggok,
Jalan Berlenggang Lenggok,
Di Manakah Kaki Saya,
Kalau Ia Tak Jumpa,
Kan Ku Cari Jua,
Walau Pun Ke Kampung Jawa,
Lompatlah, Lompatlah,
Di Manakah Kaki Saya,
Kalau Ia Tak Jumpa,
Kan Ku Cari Jua,
Walau Pun Ke Kampung Jawa.

Lirik 15
"Gajah"
Belalai Gajah Panjang,
Badan Hitam Besar,
Kaki Macam Tiang,
Dua Telinga Lebar,
Telinga Macam Kipas,
Jalan Bongkok-Bongkok,
Gajah Tidak Malas,
Kuat Tolak Pokok.

Lirik 16
"Bintang Kecil"
Bintang Kecil Di Langit Yang Tinggi,
Amat Indah Menghias Angkasa,
Aku Ingin Terbang Dan Menari,
Jauh Tinggai Di Tempat Kau Berada.

Lirik 17
"Bila Kita Berkumpul"
Bila Kita Berkumpul, Berkumpul, Berkumpul,
Bila Kita Berkumpul, Rasa Gembira,
Kawan Ku, Kawan Mu,
Kawan Mu, Kawan Ku,
Bila Kita Berkumpul Rasa Gembira.




28 September 2010

Ucapan


Menurut Maimunah Haji Omar (1993), ucapan merupakan sebahagian kategori perucapan umumnya dalam aspek perutusan. Ucapan dapat diertikan sebagai apa-apa yang diucapkan atau perkataan yang diucapkan atau cara menyebut atau melafazkan sesuatu kata.

Secara ringkasnya, ucapan merupakan penyampaian idea melalui pelafazan dan disampaikan secara pidato sehala. Walau bagaimanapun, ucapan agak berbeza dari pidato dan syarahan terutama dari segi penglibatan dan majlis. Teks ucapan ini biasanya mempunyai tajuk tertentu yang diberikan terlebih dahulu.

Unsur kiasan, peribahasa dan jenaka boleh diselitkan untuk menjadikan teks ucapan lebih menarik. Teks ucapan juga harus disertai dengan penerangan, penjelasan,pujian atau sanjungan terhadap sesuatu perkara yang diperkatakan. Bahasa yang digunakan dalam teks ucapan haruslah mudah, padat, tegas dan berkesan.

Teks ucapan yang baik mampu menarik minat para pendengar- jelas dan mudah difahami. Sebelum membuat teks ucapan haruslah menjalankan penyelidikan terperinci terlebih dahulu.

27 September 2010

Seni dalam pendidikan

Pendidikan Seni Visual menjurus kepada seni tampak dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri.

Seni Dalam Pendidkan lebih menegaskan kegiatan dalam proses penghasilan dengan melibatkan aspek pemahaman, penghayatan dan kritikan. Proses ini menyentuh perasaan estetika dan daya kreativiti individu melalui penajaman daya intuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi guru. Dengan ini, guru diharapkan dapat mengamalkannya.

Seni Dalam Pendidikan merangkumi perkara yang berkaitan dengan seni , muzik dan pergerakan. Guru dilatih untuk melihat sesuatu dengan perspektif yang lebih luas sama ada daripada aspek estetik mahupun gunaan. Melalui kefahaman aspek guru dapat menerapkan penghayatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu guru juga didedahkan dengan ilmu seni visual, muzik dan pendidkan jasmani yang berkaitan dengan bidang tertentu dan juga dapat menerapkan budaya menghargai serta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperolehi sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.



credit to: ezery cruzz IPG KSM

22 September 2010

Projek kewarganegaraan : Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau



Pengenalan


Hutan hujan tropika adalah suatu ekosistem kompleks yang menampung pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan. Hutan membantu dalam memelihara sumber genetik dan menyediakan habitat kepada berbagai flora dan fauna. Hutan juga memainkan peranan penting dalam pengawalan iklim, sumber air dan kestabilan alam sekitar. Ia juga merupakan rumah kepada berjuta-juta manusia, memberi perlindungan, makanan, pakaian, bahan tenaga, ubat-ubatan, bahan binaan dan berbagai-bagai sumber yang lain (Groombridge 1992).

Hutan hujan tropika di Malaysia adalah pelbagai antaranya seperti hutan dipterokarp pamah dan bukit, hutan paya gambut dan hutan paya bakau. Hutan paya bakau terdiri daripada pelbagai spesies yang penting kepada sistem ekologi dan biologi. Selain itu ia juga menyumbang kepada ekonomi negara di mana hutan paya bakau ini menghasilkan sumber kayu dan arang. Selain itu hutan paya bakau di persisiran pantai turut memainkan peranan dalam memberi perlindungan kepada pelbagai spesies hidupan dan juga mengekalkan ekosistem semulajadi pantai (Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia 1995).

Oleh yang demikian, satu projek Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau telah diadakan dengan kerjasama Sahabat Alam Malaysia (SAM), Kelab Puncak dan Kelab Aktivis Alam Sekitar Kampus IPG Kampus Tuanku Bainun (CARE) di Sungai Batu Besi, Merbok, Kedah sebagai salah satu usaha untuk memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya bakau yang semakin diancam oleh kemusnahan.


Persoalan kajian

  • Apakah kepentingan ekositem hutan paya bakau?
  • Apakah punca berlakunya kemusnahan di ekosistem hutan paya bakau di Sungai Batu Besi, Merbok, Kedah?
  • Apakah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah kemusnahan ekosistem hutan paya bakau di Sungai Batu Besi, Merbok, Kedah?


Permasalahan kajian

Kemusnahan hutan paya bakau di kawasan persisiran pantai dikatakan berpunca daripada sikap masyarakat yang sering mengabaikan tentang kepentingan hutan ini. Apa yang perlu disedari umum, hutan paya bakau adalah merupakan warisan alam yang perlu dipelihara. Hutan paya bakau sememangnya diketahui menjadi tempat perlindungan pelbagai spesis flora dan fauna seperti buaya, ketam, memerang, beruk, ikan dan pelbagai jenis siput yang masing-masing mempunyai nilai tersendiri. Disamping itu juga hutan paya bakau merupakan habitat bagi lebih daripada 60 spesies tumbuh-tumbuhan. Terdapat empat jenis spesies utama yang paling di kenali iaitu api-api ludat, bakau minyak, perepat dan berus tumu. Antara spesies bakau lain ialah lenggadai, nyireh bunga, bakau kurap dan chegam.

Di Malaysia, hutan paya laut terdapat di sepanjang pantai Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Hutan paya laut di Malaysia merupakan yang ketiga terbesar di Asia Pasifik selepas Indonesia dan Australia. Jumlah luas keseluruhan kawasan tersebut adalah lebih kurang 566 856 hektar iaitu 57 peratus terdapat di Sabah, 26 peratus di Sarawak dan 17 peratus di Semenanjung Malaysia. Kebanyakan hutan paya laut di Malaysia terletak di pantai barat ( Persisiran Selat Melaka ) iaitu di Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Johor.

Namun isu-isu kemusnahan hutan paya bakau semakin hari menjadi semakin kritikal dan jika tidak ditangani dengan bijak dan segera ianya akan memberikan impak negatif bukan sahaja kepada kita, malahan kepada generasi akan datang. Pengeksploitasian sumber biodiversiti yang tidak dikawal sepenuhnya, seperti penerokaan hutan paya bakau untuk pelbagai tujuan pembangunan seperti ternakan ikan dalam sangkar, kolam ternakan udang, perindustrian, perbandaran dan perkampungan nelayan pinggir pantai serta pembuangan sisa cecair oleh kapal dagangan dan bot nelayan secara tidak langsung mengancam ekosistem paya bakau yang amat sensitif terhadap sebarang perubahan guna tanah di kawasan yang berkenaan.

Aktiviti penerokaan paya bakau yang dilakukan secara sewenang-wenangnya sama ada bagi tujuan pembangunan, perumahan, pertanian atau perindustrian tanpa mengambil kira aspek alam sekitar akan menyebabkan hakisan tanah, mengganggu imbangan haba serta keseimbangan ekologi. Kesannya bukan sahaja boleh menyebabkan kepupusan kepada spesies-spesies hidupan yang sedia ada malah boleh membawa bencana yang dahsyat kepada manusia.

Kemusnahan hutan paya bakau turut berlaku di kawasan projek (Sungai Batu Besi). Melalui pemerhatian yang telah dijalankan, punca utama berlakunya masalah di hutan paya bakau ini berlaku kerana kegiatan penebangan dan pembalakan kayu bakau yang dijalankan secara tidak terkawal. Jumlah pokok bakau yang hidup semakin berkurangan.


Kaedah kajian

Dalam pelaksanaan projek kewarganegaraan ini, beberapa kaedah kajian telah diaplikasikan iaitu pemerhatian, temu bual, kaji kes, rujukan sumber dan e-konferen. Berikut adalah penerangan bagi setiap kaedah:

Pemerhatian


Pemerhatian telah dilakukan di sekitar Sungai Batu Besi bagi meninjau kawasan hutan paya bakau yang telah musnah. Tinjauan dilakukan dengan menyelusuri sungai tersebut dengan menggunakan khodmat bot yang telah disediakan oleh Kelab PUNCAK. Beberapa keping foto telah dirakamkan bagi tujuan rekod dan data.

Temubual



Beberapa siri temubual telah dijalankan bersama penduduk tempatan bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan kegiatan pembalakan yang dijalankan. Selain itu, sesi temubual juga dilakukan bersama Tuan Haji Ramli, Pengasas Kelab PUNCAK, Encik Roslan Abdullah , wakil Kelab Puncak, Cikgu Borhan dari SMK Pulau Nyior Jitra dan Encik Azrilnizam, Pegawai Pendidikan Sahabat Alam Malaysia bagi mendapatkan maklumat tambahan.

Kajian kes

Beberapa kajian kes telah dijalankan sepanjang tempoh melaksanakan projek di kawasan terbabit. Menurut penduduk tempatan yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, jumlah hasil tangkapan yang mereka peroleh semakin berkurang sejak kegiatan penebangan hutan paya bakau berlaku. Mereka mendakwa bahawa jumlah hasil tangkapan yang semakin berkurang mempunyai kaitan dengan kegiatan pembalakan yang dijalankan.

Rujukan sumber

Semasa melakukan kajian, satu pertemuan telah diatur bersama dengan Encik Nizam Mashar, Koordinator Sahabat Alam Malaysia bagi mendapatkan beberapa penjelasan saintifik mengenai kemusnahan hutan paya bakau yang sedang berlaku di Sungai Batu Besi. Menurut beliau, kualiti air yang tercemar serta perubahan pH air telah menyebabkan kebanyakan hidupan air seperti ikan, udang, ketam dan lain-lain beremigrasi ke kawasan lain yang lebih baik. Oleh sebab yang demikian, jumlah hasil tangkapan yang diperoleh oleh nelayan di kawasan tersebut tidak menyamai kuantiti tangkapan sebelum ini. Encik Nizam Mashar mencadangkan supaya satu kempen kesedaran dan aktiviti penanaman semula anak pokok bakau dilakukan bagi memastikan kelestarian dan keseimbangan hutan paya bakau di kawasan terbabit dapat dipulihkan seperti keadaan asal.

E- konferen

Komunikasi persidangan secara maya dilakukan sesama ahli Kelab CARE melalui laman blog http://careiptb.blogspot.com bagi membincangkan berkenaan isu kemusnahan hutan paya bakau yang berlaku di Sungai Batu Besi.



Kawasan kajian




^Kedudukan Sungai Batu Besi dalam peta

Kajian ini telah dijalankan di Sungai Batu Besi yang terletak dalam daerah Merbok di Kedah Darul Aman. Kedudukan kawasan kajian ini terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Sungai Petani, Kedah. Kawasan ini dipilih sebagai kawasan kajian dan projek Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau kerana keadaan hutan paya bakau di sini sedang diancam kemusnahan sekiranya tiada usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan dilakukan. Kebanyakan penduduk tempatan disini menjalankan kegiatan ekonomi sebagai nelayan kecil.


Pelaksanaan Projek Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau

Pengenalan projek


Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau adalah satu program yang dilaksanakan oleh Kelab CARE, Sahabat Alam Malaysia dan Kelab Puncak secara berterusan bagi mewujudkan lebih banyak kawasan hijau di negara ini. Kempen ini juga selaras dengan gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi agar hutan bakau terus dipulihara bagi membaik pulih ekosistem pesisir pantai untuk mengurangkan kesan hakisan oleh ombak dan juga tsunami. Selain itu, keupayaan spesis tertentu pokok bakau untuk menyerap dua kali ganda karbon dioksida berbanding pokok-pokok biasa amat penting dalam menangani pemanasan global. Penanaman semula anak-anak pokok bakau mampu memulihkan keadaan hutan paya bakau yang menjadi habitat hidupan air.



Objektif penganjuran projek

  • Mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkenaan kepentingan hutan bakau kepada ekosistem pinggir pantai terutamanya nelayan.
  • Menarik minat masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
  • Menyumbang kepada inisiatif masyarakat dalam menangani pemanasan global.
  • Memelihara memulihara ekosistem hutan bakau melalui aktiviti penanaman semula yang dilaksanakan.



Hasil dapatan


Pelaksanaan Projek Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau.


Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau yang dianjurkan kali ini berjaya menghimpunkan penyertaan yang memberangsangkan. Kebanyakan peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada masyarakat setempat, pelajar-pelajar sekolah dan lain-lain. Jumlah peserta keseluruhan ialah 40 orang tidak termasuk 14 orang fasilitator (dari Kelab CARE IPG Kampus Tuanku Bainun).



Slot Indoor

Slot pertama dalam Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau ialah sesi ice breaking ataupun sesi pengenalan. Dalam slot ini, para peserta diterangkan tentang objektif penganjuran kempen. Sesi ini sangat penting kerana para peserta perlu jelas tentang matlamat dan tujuan mereka berada di dalam program tersebut.


Dalam slot ini juga, nilai-nilai murni seperti kecintaan terhadap alam sekitar cuba diselitkan melalui permainan-permainan yang dijalankan. Antara permainan yang dijalankan adalah seperti Kuiz Kitar Ekologi, Trademark Saya, dan lain-lain lagi.

Dalam slot pertama ini juga, pembahagian kumpulan telah dilakukan. Sebanyak enam kumpulan telah dibentuk. Pembentukan kumpulan akan memudahkan pergerakan dan kelancaran program. Sebagai contoh, pergerakan untuk menaiki bot ketika ke tapak semaian anak bakau akan dilakukan mengikut kumpulan.

Pembentukan kumpulan juga bertujuan untuk mengelakkan keciciran peserta dan sebagai langkah keselamatan. Slot pertama diakhiri dengan rumusan yang dibuat oleh fasilitator dan diikuti dengan sesi refleksi oleh para peserta.


Slot kedua pula ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Slot ini diadakan bertujuan untuk membina semangat bekerjasama dalam satu pasukan. Semangat kerjasama merupakan satu nilai murni yang perlu dipupuk. Nilai kerjasama juga penting dalam aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Terdapat beberapa aktiviti di dalam slot ini. Antaranya ialah, para peserta diminta untuk melakarkan sebuah pulau idaman mereka secara berkumpulan di atas sehelai kertas mahjong.

Rasionalnya ialah, apabila para peserta melakarkan pulau idaman mereka, secara tidak langsung mereka akan terdedah kepada alam sekitar. Mereka akan membuat pemikiran secara kritis dan kreatif untuk membina sebuah pula yang mempunyai kelestarian yang seimbang.

Selain itu, mereka juga akan berkongsi maklumat sesama ahli dalam kumpulan tentang konsep alam yang sihat. Seperti slot yang pertama, slot kedua juga diakhiri dengan rumusan yang dibuat oleh fasilitator.


Slot Outdoor


Slot outdoor merupakan slot kemuncak Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau. Di dalam slot ini, para peserta akan turun ke tapak semaian anak pokok bakau untuk menyemai 200 batang anak pokok bakau. Untuk ke tapak semaian anak pokok bakau, para peserta perlu menaiki bot yang telah disediakan oleh Kelab Puncak untuk menyeberangi Sungai Batu Besi.

Sebagai langkah berjaga-jaga, satu sesi taklimat keselamatan telah dibuat oleh fasilitator sebelum para peserta dibenarkan menaiki bot. Taklimat keselamatan lebih menjurus kepada aspek-aspek keselamatan di air dan di lumpur. Para peserta ditunjukkan cara-cara yang betul untuk memakai jaket keselamatan (BA).


Jaket keselamatan wajib dipakai oleh setiap peserta yang menaiki bot bagi mengelakkan sebarang kecelakaan seperti kejadian lemas. Para peserta juga diingatkan supaya menjaga diri masing-masing ketika berada ditapak semaian anaka pokok bakau kerana terdapat juga haiwan liar seperti ular yang tinggal di situ.


Selain itu, para peserta juga ditunjukkan cara-cara yang betul untuk menyemai anak pokok bakau. Kebanyakan peserta tidak mempunyai pengalaman menanam pokok bakau. Fasilitator melakukan beberapa demonstrasi penanaman anak pokok bakau di hadapan para peserta supaya mereka faham dan dapat melakukannya dengan betul ketika berada di tapak semaian.



Setelah penerangan mengenai keselamatan dan kaedah penanaman pokok bakau dilaksanakan, maka para peserta diminta untuk berkumpul mengikut kumpulan. Hal ini bertujuan untuk memudahkan pergerakan ke tapak semaian. Para peserta menaiki bot mengikut kumpulan demi kumpulan untuk ke tapak semaian anak pokok bakau.




Di tapak semaian anak pokok bakau, keadaan air sungai yang surut dan tanah berlumpur lembut memudahkan kerja-kerja semaian anak pokok bakau. Sebanyak 200 batang pokok anak bakau dapat ditanam dalam tempoh satu jam.

Secara keseluruhannya, kempen ini berjaya dilaksanakan mengikut pelan projek yang telah dirancangkan. Walaupun hanya 200 batang anak pokok berjaya ditanam, tetapi kesannya terhadap ekosistem paya bakau tersebut amatlah besar.

Program seperti ini perlu dilaksanakan secara berterusan oleh semua pihak dalam usaha membina masyarakat Malaysia yang peka dan cintakan alam sekitar.


Rumusan




Alam semulajadi telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita, dan kita telah di amanahkan untuk menjaga, memelihara serta menggunakannya secara bertanggungjawab. Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah juga merupakan salah satu daripada tuntutan agama.

Kemusnahan alam semulajadi melalui kegiatan yang tidak terancang akan mengakibatkan malapetaka atau bencana yang mengakibatkan kerugian harta benda dan kadangkala mengorbankan nyawa. Bencana seumpama ini sering berlaku di negara kita seperti 'tsunami' yang meragut puluhan ribu nyawa manusia di beberapa negara termasuklah negara kita.Setiap bencana memberi pengajaran. Dengan itu, kita perlu mengambil ikhtibar dan pengajaran daripada peristiwa 'tsunami' yang berlaku pada 26 Disember 2004. Umpamanya melalui peristiwa tersebut, kita dapati pokok bakau yang terdapat disesetengah persisiran pantai yang dilanda bencana tsunami dapat menghalang daripada berlaku kemusnahan yang teruk. Ini menunjukkan betapa pentingnya memelihara dan memulihara alam hutan paya seperti bakau di negara ini samalah juga dengan pemuliharaan hutan dan kawasan-kawasan semulajadi yang lain.

Penekanan yang diberikan kepada pemeliharaan alam sekitar ini tidaklah bererti kita tidak boleh meneruskan projek-projek pembangunan kita. Apa yang perlu ialah kita harus mengamalkan pembangunan yang terancang yang menitikberatkan alam sekitar dan kesan pembangunan kepada alam sekitar. Sekurang-kurangnya kita perlu memulih kembali kerosakan yang berlaku dengan menanam pokok-pokok yang telah di musnahkan.

Hutan paya laut atau hutan bakau adalah antara hutan yang mempunyai banyak kepentingan dan kegunaannya sama ada kepada manusia, alam sekitar ataupun hidupan lain. Ekosistem yang mudah terjejas ini perlu dipulihara sebagai simpanan alam semula jadi.

Kita tidak seharusnya memandang remeh untuk mengantikan pokok yang telah kita musnahkan dengan pokok-pokok baru yang di tanam secara terancang supaya kita dapat kekalkan alam semula jadi kita. Walaupun penanaman pokok-pokok baru ini tidak akan sama seperti sediakala sekurang-kurangnya pokok-pokok yang ditanam dapat mengembalikan keadaan semulajadi dan mengurangkan kesan daripada aktiviti pembangunan yang dilaksanakan.

Banyak usaha perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran awam serta menanamkan rasa tanggungjawab dalam diri setiap orang untuk memulihara warisan bakau semula jadi yang menyimpan sebahagian daripada flora dan fauna dunia yang terancam.


Teori Transformasi-Generatif

Teori Transformasi-Generatif diperkenalkan oleh Noam Chomsky untuk digunakan dalam Rancangan Pengajaran Harian.

Noam Chomsky ialah ahli psikolinguistik dari Amerika Syarikat. Chomsky berpendapat bahawa kanak-kanak dilahirkan dengan alat pemerolehan bahasa yang dikenali sebagai LAD (Language Acquisition Devise). Menurut beliau, secara semula jadi, sewaktu dalam lingkungan umur tiga tahun, kanak-kanak sudah boleh bercakap dengan menggunakan tatabahasa transformasi-generatif. Tatabahasa transformasi-generatif (iaitu kebolehan kanak-kanak membentuk dan memanipulasi ayat-ayat) tidak dipelajarinya secara formal. Kebolehan itu “dipelajari” kanak-kanak melalui komunikasi lisan dengan orang dewasa.

Chomsky telah membezakan antara “kebolehan bahasa” dengan “pengetahuan bahasa”. Menurutnya, kebolehan bahasa bermaksud kebolehan kanak-kanak menggunakan bahasa. Pengetahuan bahasa bermaksud pengetahuan kanak-kanak tentang bahasa, iaitu tentang bentuk ayat, sistem makna dan sistem bunyi yang didengar dalam bahasa yang digunakannya. Pengetahuan tersebut tidak diajar secara formal tetapi ditiru, dipelajari dan difahami iaitu dengan mendengar dan bertutur. Menurut Chomsky, sungguhpun kanak-kanak memang tidak dapat menerangkan rumus-rumus tatabahasa yang telah diserapinya, dia bagaimanapun dapat menggunakannya dengan betul. Dengan kata lain, daripada perlakuan bahasa kanak-kanak, kita boleh menilai sejauh mana dia telah memahami dan mempunyai pengetahuan tentang bahasa yang dituturnya. Menurut Chomsky, kanak-kanak dilahirkan dengan keupayaan semulajadi untuk menyerap pengetahuan tersebut, termasuk pengetahuan tentang tatabahasa bahasa yang didengar atau dituturnya.

Alat pemerolehan bahasa atau LAD yang dikatakan oleh Chomsky itu dipercayai berada di dalam otak manusia. Alat dan kebolehan semulajadi untuk mempelajari dan memahami bahasa itu dinamakan language universals, yang terdapat pda semua manusia dan boleh digunakan untuk mempelajari semua bahasa di dunia. Misalnya, semua bahasa memerlukan subjek dan predikat dalam sebaris ayat. Bentuk ayat itu mungkin berbeza. Ada yang berbentuk biasa dan ada yang berbentuk songsang. Ada kata adjektif yang terletak sebelum kata nama dan ada yang terletak selepas kata nama. Sungguhpun demikian, manusia boleh mempelajari pelbagai bahasa, dan ini boleh berlaku pada peringkat awal lagi, iaitu pada peringkat kanak-kanak sebelum mereka masuk ke alam persekolahan dan belajar secara formal. Maka oleh itu, Chomsky pernah mengatakan bahawa “Grammar is caught and not taught”. Maksudnya, aspek tatabahasa itu diserap oleh kanak-kanak dan tidak diajarkan kepada mereka secara formal.

Teori Ciri-ciri

  • Penutur jati berupaya menggunakan bahasa apabila berhadapan dengan pelbagai keadaan.
  • Bahasa adalah sistem tentang rumus-rumus bahasa.
  • Ayat mempunyai struktur dalaman dan permukaan.
  • Pengetahuan bahasa merupakan suatu fenomena mental.
  • Bahasa bersifat sejagat dan kreatif.
  • Penutur dilahirkan dengan kecekapan semulajadi.

Kesimpulannya, teori Chomsky yang tergolong dalam kumpulan mentalis cuba menerangkan perkembangan bahasa kanak-kanak. Chomsky telah mengaitkan pemerolehan bahasa itu dengan alat pemerolehan bahasa semulajadi (LAD). Teori Chomsky juga dinamakan sebagai teori nativistik kerana teorinya menekankan sifat semulajadi atau keaslian yang terdapat hanya dalam diri manusia. Sifat asli itu ialah potensi berbahasa yang secara semulajadinya sudah pun wujud apabila kanak-kanak dilahirkan dan pembelajaran bahasa itu boleh berlaku tanpa pengajaran formal yang terdapat di sekolah.

Pendekatan komunikatif

Dalam pengajaran bahasa, terdapat pelbagai pendekatan seperti pendekatan komunikatif, pendekatan situasi, pendekatan psiko-linguistik, pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Pendekatan-pendekatan ini timbul berasaskan teori-teori pembelajaran yang berbentuk mentalis atau behavouris. Contohnya jika kita mengikut teori mentalis atau kognitif maka pendekatan yang digunakan adalah seperti pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Bagi teori behavouris, maka pendekatan pengajaran yang digunakan adalah pendekatan komunikasi dan situasi.


Pendekatan Komunikatif dibentuk berdasarkan teori fungsi bahasa yang diutarakan oleh M.A.K Halliday (1970). Berdasarkan eksperimennya dengan kanak-kanak, Halliday telah membuktikan bahawa bahasa memainkan beberapa peranan penting dalam kehidupan manusia. Menurut Halliday, peranan bahasa itu ialah seperti yang berikut:

  • Bahasa digunakan sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu.
  • Bahasa digunakan untuk mengawal tingkah laku orang lain.
  • Bahasa digunakan untuk berinteraksi dan berhubung dengan orang lain.
  • Bahasa digunakan untuk menyampaikan maksud.
  • Bahasa digunakan untuk meluahkan perasaan.
  • Bahasa digunakan untuk menyampaikan maklumat.
  • Bahasa digunakan untuk mencipta sesuatu secara kreatif dan imaginatif.

Sungguhpun Halliday yang mengutarakan teori ini, dia sendiri tidak membina pendekatan pengajaran bahasa. Ahli-ahli lain yang merupakan ahli pedagogi bahasa seperti Keith Morror, H.G. Widdowson, Keith Johson, D. Hymes, Christopher Brumfit dan lain-lain telah cuba membina satu pendekatan pengajaran bahasa berdasarkan teori Halliday.

Ciri-ciri penting dalam pendekatan komunikatif yang pertama ialah aspek makna sangat diutamakan. Kedua, sekiranya dialog digunakan dalam pengajaran, fungsi atau peranan komunikatif dialog itu hendaklah diutamakan dan bukan dilakukan untuk dihafaz. Ketiga, konteks dan situasi penggunaan bahasa amat dipentingkan. Keempat, pembelajaran bahasa merupakan pembelajaran untuk berhubung dan kemahiran bahasa dianggap sebagai kemahiran sosial. Kelima, bahan-bahan pembelajaran yang dipilih hendaklah bersesuaian dengan situasia atau simulasi dalam aktiviti pengajaran. Keenam, stimulus atau aktiviti pembelajaran hendaklah menggalakkan atau memberangsangkan murid-murid bercakap dan berkomunikasi, ataupun menggunakan bahasa dalam pelbagai keperluan berkomunikasi. Ketujuh, keupayaan berkomunikasi dengan menggunakan bahasa secara betul dan berkesan ialah matlamat pendekatan komunikatif.

Menurut ahli-ahli yang telah menyokong pendekatan ini, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dipraktikkan sekiranya kaedah pengajaran hendak dibina berdasarkan pendekatan komunikatif. Prinsip-prinsip tersebut meliputi tujuh perkara.

Pertama, semua latihan dan aktiviti bahasa hendaklah bersesuaian dengan umur, pengalaman, latar belakang, minat dan keperluan pelajar.

Kedua, semua latihan dan aktiviti bahasa hendaklah bercorak realistik dan pragmatik dan menggambarkan keperluan sebenar penggunaan bahasa untuk berkomunikasi dalam dunia yang sebenarnya, iaitu sama ada dalam alam persekolahan, pekerjaan atau pergaulan.

Ketiga, kemahiran berkomunikasi yang dimaksudkan ialah penggunaan bahasa sebagai alat untuk berkomunikasi, sama ada secara lisan atau tulisan.

Keempat, semasa mengajar pula pelajar perlu dilibatkan secara aktif iaitu wujudnya komunikasi dua hala. Dengan kata lain, ada pihak yang memainkan peranan berbahasa yang bersifat produktif dan ada pihak yang memainkan peranan berbahasa yang bersifat reseptif.

Kelima, guru haruslah kreatif dan hendaklah sentiasa mencuba menghidupkan situasi pembelajaran di bilik darjah agar dapat menarik minat dan menyeronokkan murid-murid.

Keenam, aspek tatabahasa sangat penting dan tidak boleh diabaikan. Kseilapan perlu dibetulkan serta-merta apabila berlaku dan tidak boleh dibiarkan berterusan.

Ketujuh, dalam sesuatu aktiviti bahasa yang diadakan di dalam bilik darjah, guru seharusnya bertindak sebagai pengawas, penasihat atau pemerhati sahaja di mana penglibatan guru amat minimum iaitu masa yang diambil olehnya untuk menerangkan sesuatu aktiviti yang dijalankan itu haruslah seringkas mungkin.

Kaedah Gabung Jalin

Kaedah Gabung Jalin, iaitu kaedah pengajaran yang diutarakan oleh H.G Widdowson, dibentuk berdasarkan teori pengajaran pendekatan komunikatif. Prinsip pengajaran Kaedah Gabung Jalin menekankan fungsi bahasa sebagaimana yang benar-benar berlaku dalam komunikasi bahasa.

Perkara-perkara yang digabungjalinkan dalam pengajaran ialah kemahiran bahasa yang betul-betul terlibat dalam komunikasi. Misalnya, kemahiran mendengar dan bertutur, berlaku dalam temu duga, dialog, wawancara, mesyuarat, perbincangan dan sebagainya.

Begitu juga dengan kemahiran mendengar dan menulis, misalnya, apabila kita mendengar syarahan dan menulis nota (tentang syarahan yang didengar). Kemahiran membaca dan menulis, biasanya kita gabungkan apabila kita membaca buku teks dan mencatat nota daripada bacaan tersebut.

Dalam menggunakan kaedah gabung jalin ini, guru hendaklah pandai memilih dan menggabungjalinkan aktiviti-aktiviti bahasa yang realistik dan benar-benar menggambarkan situasi penggabungan kemahiran dalam komunikasi. Kini konsep penggabungjalinan telah diaplikasikan oleh guru dengan cara yang lebih kreatif.

Teknik bercerita

Teknik ialah cara yang lebih khusus yang dicipta untuk mencapai sesuatu objektif pengajaran. Teknik boleh dilihat sebagai satu cara khusus untuk membantu dan menjayakan sesuatu kaedah pengajaran. Pelbagai jenis teknik telah dicipta untuk tujuan pengajaran bahasa seperti teknik bercerita.

Teknik bercerita untuk menyampaikan pelajaran bukanlah satu perkara baru, malahan cara ini pernah dilakukan oleh orang-orang kita sewaktu menyampaikan sesuatu pengajaran kepada anak-anak mereka. Teknik ini mudah menarik minat anak-anak itu. Keadaan yang sama juga boleh dilakukan semasa guru-guru menyampaikan pelajaran kepada anak-anak murid mereka. Biasanya murid-murid akan lebih cepat menumpukan perhatian di samping menjadikan pembelajran itu berlaku dalam keadaan yang menyeronokkan.

Murid-murid, khususnya di sekolah-sekolah rendah, amat gemar mendengar cerita. Walaupun mereka masih kecil, tetapi apa yang diceritakan kepada mereka itu dapat segera difahami dan kadangkala dapat pula sekaligus memahami maksud cerita itu. Oleh yang demikian, jika murid-murid tadi diberi peluang belajar dalam suasana yang menyeronokkan, pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan.

Walau bagaimanapun, guru-guru mestilah sedar bahawa teknik bercerita dan pengajaran cerita adalah dua perkara yang berlainan. Janganlah oleh kerana terlalu seronok bercerita, objektif pengajaran yang sebenar yang hendak disampaikan ketika itu menjadi kabur. Guru perlu ingat, bercerita itu hanyalah sebagai alat untuk menyalurkan isi-isi pelajaran, sedangkan aspek-aspek yang hendak disampaikan itu adalah lebih penting dan seharusnya menjadi tumpuan utama.

Cara melaksanakan teknik bercerita itu samalah seperti guru menjalankan pelajaran cerita, tetapi apa yang penting ialah aspek-aspek bahasa yang hendak diajarkan itu seharusnya ada dan terkandung di dalam cerita itu. Penekanan harus dilakukan kepada aspek-aspek tersebut semasa guru bercerita.

Kelebihan teknik bercerita

Sebagai suatu teknik dalam pembelajaran, bercerita bermanfaat bagi murid-murid dalam memperkembangkan aspek kognitif, afektif mahupun psikomotor. Hal ini demikian kerana melalui cerita, murid-murid boleh mendapatkan maklumat tentang fakta, konsep mahupun pengetahuan yang digabungjalinkan dalam sesuatu kisah. Cerita juga menampilkan model-model tingkahlaku yang ditunjukkan oleh para pemegang watak atau tokoh dalam cerita.

Murid-murid sebagai pendengar cerita, biasanya juga terlibat secara emosional ketika mendengar atau membaca cerita. Dengan hal yang demikian, maka baik aspek kognitif, afektif maupun psikomotor murid-murid dapat dibantu perkembangannya melalui bercerita.

Sebagai suatu teknik dalam pembelajaran juga, bercerita memiliki beberapa kelebihan jika dibandingkan dengan teknik-teknik yang lain.

Pertama, melalui penyampaian cerita, guru dapat membina satu suasana yang menyenangkan dan mengasyikkan. Hal ini demikian kerana cerita merupakan bentuk dari seni sastera yang memiliki keindahan dan kenikmatan, lebih-lebih lagi jika jalan cerita yang disampaikan mempunyai hubungkait dengan lingkungan kehidupan murid-murid.

Kedua, cerita yang sarat dengan nilai-nilai murni, mampu menanamkan sikap jujur, berani, setia, ramah dan sikap positif lainnya yang berguna dalam pembentukan budi pekerti atau keperibadian murid-murid.
Ketiga, melalui teknik bercerita, murid-murid dapat mengenali fakta-fakta alam sekitar mahupun pengetahuan sosial yang berguna bagi perkembangan kognitif mereka.

Keempat, terdapat banyak aspek yang boleh dipelajari oleh murid-murid dalam satu-satu masa. Penggabungjalinan kemahiran berbahasa seperti mendengar, bertutur, menulis dan membaca yang berlaku ketika murid-murid mendengar atau membaca cerita dapat membantu mereka menajamkan lagi kemahiran-kemahiran yang terlibat.

Selepas sesi bercerita, sesi perbincangan pula perlu dijalankan untuk menguji kefahaman pelajar tentang cerita yang disampaikan, perbincangan hendaklah merangkumi:

  • Pengajaran dan nilai murni daripada cerita yang disampaikan.
  • Latihan tatabahasa.
  • Merumuskan isi-isi penting dalam cerita.

21 September 2010

Guru bahasa yang baik : Pengenalan

Bahasa merupakan alat perhubungan yang penting dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa seseorang itu dapat berkomunikasi dengan orang lain untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, buah fikiran, pengetahuan, mendapatkan informasi, menambahkan ilmu pengetahuan, memahami orang lain dan sebagainya (Raminah Hj. Sabran, 1993). Pembelajaran bahasa secara formalnya berlaku di sekolah. Oleh itu, guru-guru bahasa Melayu memainkan peranan yang utama bagi memastikan murid-murid di sekolah dapat mempelajari bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya.

Kepentingan terhadap penguasaan bahasa lebih ketara dalam bidang pendidikan kerana bahasa menjadi medium utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahasa digunakan dalam interaksi lisan antara guru dengan murid. Hal ini jelas dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia (Melayu) sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Banyak aktiviti dan kemahiran yang menekankan aspek-aspek kemahiran bahasa dalam sukatan pelajaran. Perkara ini diberi tumpuan utama bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran bahasa Melayu iaitu membolehkan murid-murid mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

Oleh itu, guru bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan murid-murid mereka dalam penguasaan bahasa Melayu. Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt dan Ab. Rahim Selamat (1997) menggariskan empat peranan guru bahasa Melayu iaitu sebagai perancang pengajaran dan pembelajaran; penggerak dan pendorong pengajaran dan pembelajaran; pembimbing murid; dan pemupuk semangat dan pembentuk sahsiah murid.

Seorang guru bahasa Melayu yang baik adalah guru yang mampu memilih kaedah, pendekatan dan teknik pengajaran yang sesuai dengan sesebuah aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa.

Tiga faktor utama yang harus diteliti dalam merancang dan melaksanakan aktiviti Pendidikan Jasmani



Terdapat tiga faktor utama yang harus diteliti dalam merancang dan melaksanakan aktiviti Pendidikan Jasmani. Faktor yang pertama ialah infrastruktur dan tenaga. Faktor kedua pula ialah perkembangan murid dan yang ketiga ialah faktor persekitaran.

Infrastruktur Dan Tenaga Pengajar

Dalam faktor ini, terbahagi pula kepada beberapa unsur iaitu kemudahan, peralatan dan kepakaran. Kemudahan merangkumi kedudukan sekolah sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, kemampuan kewangan sekolah, kemudahan-kemudahan semasa penyediaan aktiviti dan tenaga pengajar.

Peralatan pula merangkumi pemilihan alatan yang perlu berdasarkan kepada spesifikasi umur dan pertandingan. Faktor keselamatan pengguna haruslah diambil kira terlebih dahulu. Kualiti alat juga perlu dipertimbangkan dalam memilih alatan.

Kepakaran lebih menjurus kepada guru Pendidikan Jasmani itu sendiri yang bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas semasa mengajar. Mereka perlu menanggung risiko yang bakal ditempuhi semasa melaksanakan aktiviti. Pengetahuan dan kepatuhan terhadap prosedur dan disiplin dalam aktiviti Pendidikan Jasmani perlu kerana ia dapat mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.



Perkembangan Murid

Perkembangan murid boleh dibahagikan kepada beberapa domain.


Domain kognitif

Perkembangan domain kognitif pelajar melibatkan cara berfikir, merasa dan bertindak. Penyusunan domain kognitif perlu mengikut keupayaan pelajar dari mudah kepada lebih sukar. Hal ini membolehkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dirancang dan dijalankan dengan lebih sistematik. Domain kognitif ini merujuk kepada Taksonom Bloom yang membahagikan kepada enam peringkat iaitu didahului dengan kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan diakhiri dengan penilaian.


Domain afektif

Objektif Domain Afektif mempunyai hubungan dengan perasaan, emosi, minat, sikap, penghargaan dan nilai. Domain afektif juga mempunyai peringkat penghayatan daripada yang paling rendah kepada paling tinggi iaitu bermula dari peringkat penerimaan, kemudian gerakbalas, penilaian, organisasi dan akhirnya perwatakan.


Domain psikomotor

Psikomotor adalah kemahiran berkaitan pergerakan anggota fizikal seseorang. Di peringkat rendah, murid-murid dilatih untuk menguasai pergerakan yang biasa dilakukan dalam kehidupan harian dan juga pergerakan baru dalam senaman. Domain psikomotor juga turut mempunyai hierarki tersendiri iaitu daripada peringkat mudah kepada susah bermula dengan peringkat persepsi, persediaan, pergerakan terkawal, pergerakan mekanistik, pergerakan kompleks dan akhirnya pergerakan suaian.


Domain sosial

Domain sosial ini khusus untuk hubungan atau tingkah laku. Domain ini terdiri daripada lapan peringkat objektif iaitu : berhubung, berkomunikasi, melibatkan diri, berunding, bekerjasama, menghakim, memulakan dan menukar.



Persekitaran

Menurut Amram Schienfeld, persekitaran merujuk kepada luaran seseorang individu dan faktor bakanya bermula dari peringkat persenyawaan.

Norman L. Munn pula mentakrifkan persekitaran sebagai segala benda yang terdapat di sekeliling unit-unit kebakaan.

W. Edgar Vinacke menerangkan bahawa persekitaran ialah kuasa ekstrinsik yang kompleks yang boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang individu.

Pengertian-pengertian di atas menunjukkan dengan jelas bahawa persekitaran merujuk kepada alam sekitar seseorang individu sama ada di peringkat pralahir atau selepas lahir.

Urie Bronfenbrenner seorang ahli psikologi Amerika menjelaskan perkembangan murid-murid sebagai hasil interaksi di antara alam persekitaran dengan murid-murid tersebut. Beliau mengetengahkan model ekologi berbentuk lapisan bulatan (Sistem Ekologi Bronfenbrenner ) yang masing-masing mempunyai pengaruh dan tahap tertentu. Terdapat empat tahap dalam perkembangan ini iaitu:

Mikrosistem. Murid-murid terdedah kepada persekitaran yang berbentuk pada apa yang ada di depan mata termasuklah pengaruh objek-objek fizikal seperti patung dan teknologi, struktur persekitaran, serta peranan dan persekitaran ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa dan adik beradik.

Mesosistem. Merangkumi hubungan murid-murid dengan persekitaran yang lebih luas dan bagaimana persekitaran ini mempengaruhi murid-murid. Contohnya, bagaimana murid-murid bergaul di sekolah lebih-lebih lagi apabila mahu memulakan alam persekolahan dan pertama kalinya berpisah dengan keluarga.

Eksosistem. Menghubungkaitkan murid-murid dengan persekitaran yang mungkin kurang berkaitan dalam hidup mereka. Melihat bagaimana murid-murid didedahkan dengan jiran tetangga, tempat kerja ibu bapa, rakan-rakan ibu bapa dan institusi sosial lain.

Makrosistem. Makrosistem adalah lapisan paling luar yang menyentuh pengaruh hubungan murid-murid dengan persekitaran yang jauh lebih besar. Hubungan ini termasuklah sistem nilai sosial, perubahan sejarah, polisi sosial dan media massa.

Menurut Bronfenbrenner, teori yang dikemukakan oleh beliau bersandarkan tanggapan bahawa faktor persekitaran tidak sepenuhnya memainkan peranan kepada perkembangan murid-murid tetapi antara keduanya saling berkait rapat. Murid-murid tidak lari daripada berhadapan dengan persekitaran sosial mereka setiap hari yang mana ini secara tidak langsung dapat mempengaruhi perkembangan mereka.

Konsep kesepaduan

Konsep kesepaduan ialah gabungan beberapa aspek kemahiran atau aspek-aspek perkembangan fizikal kanak-kanak.

Kesepaduan merupakan penyatuan dua atau lebih subjek yang menjadi satu matapelajaran yang bersepadu dan membekalkan murid dengan ilmu yang bersepadu dan tidak terasing.

Konsep kesepaduan dalam kurikulum menghilangkan sempadan mata pelajaran dan disiplin.

Pelajar akan melihat ilmu sebagai satu yang bersepadu dan lebih bermakna.

Penggabungjalinan dalam pendidikan jasmani

Dalam konteks KBSR, penggabungjalinan dilihat dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu yang pertama, penggabungjalinan antara kemahiran-kemahiran yang ada di dalam satu matapelajaran itu. Keduanya ialah penggabungjalinan kemahiran daripada beberapa matapelajaran yang lain.

Penyerapan pendekatan gabung jalin dalam proses pembelajaran dan pengajaran adalah satu inovasi dan anjakan ke arah mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang kondusif bagi menimbulkan minat dan rasa seronok dalam kalangan murid.

Terdapat tiga jenis penggabungjalinan. Pertama, Penggabungjalinan antara kemahiran dalam satu mata pelajaran. Kedua, penggabungjalinan dengan kemahiran mata pelajaran lain. Ketiga, menggabungkan kedua-dua jenis penggabungjalinan dalam satu pengajaran.


Contoh Penggabungjalinan

Penggabungjalinan antara kemahiran dalam satu mata pelajaran.

Contoh permainan - bola sepak. Di dalam permainan ini, terdapat pelbagai kemahiran yang didedahkan kepada murid seperti menghantar, menggelecek, menjaring, menendangr dan sebagainya. Guru boleh menggabungkan dua atau lebih kemahiran dalam satu-satu sesi pengajarannya, contohnya menggabungkan kemahiran menggelecek dan menendang. Dalam lakuan ini, murid dikehendaki menggelecek bola dalam jarak yang ditetapkan sebelum membuat tendangan dengan teknik yang betul. Di sini, kita dapat perolehi satu contoh penggabungjalinan dalam pendidikan jasmani.


Penggabungjalinan dengan kemahiran mata pelajaran lain.

Contoh aktiviti – regangan. Di dalam aktiviti ini, guru boleh menerapkan kemahiran membilang dan mengira yang diajar dalam mata pelajaran matematik. Guru hanya perlu meminta murid-murid membuat pergerakan regangan sambil mengira dari nombor satu hingga ke nombor lapan. Melalui aktiviti ini, murid secara tidak langsung dapat memperbaiki kekuatan memori mereka terhadap angka.


Menggabungkan kedua-dua jenis penggabungjalinan dalam satu pengajaran.

Contoh aktiviti – senamtari (senamrobik). Aktiviti ini melibatkan pergerakan, aktiviti membilang dan muzik. Guru akan memasang muzik yang berbeza rentak dan kemudian meminta murid-murid melakukan pergerakan fizikal mengikut rentak lagu. Ketika murid melakukan pergerakan, mereka juga dikehendaki untuk membilang beramai-ramai sehingga nombor lapan supaya pergerakan mereka menjadi seragam, kemas dan teratur. Pengajaran yang dijalankan akan menjadi lebih bermakna dan menyeronokkan. Ia bergantung kepada keupayaan guru untuk member penerangan yang jelas kepada murid sebelum melaksanakan aktiviti tersebut.

Rancangan kerja tahunan

Rancangan Kerja Tahunan

Rancangan kerja tahunan merupakan perancangan pengajaran untuk tempoh setahun (12 bulan). Rancangan kerja tahunan perlu disediakan oleh guru pada awal sesi persekolahan.

Rancangan Pelajaran Tahunan mengandungi secara ringkas isi pengajaran dan pembelajaran berdasarkan sukatan pelajaran kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.


Kepentingan Rancangan Kerja Tahunan

Rancangan Kerja Tahunan mempunyai beberapa kepentingan yang sangat membantu tugas guru. Melalui rancangan yang telah disediakan, guru dapat memastikan sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan mengikut jadual. Terdapat enam kepentingan menyediakan rancangan kerja tahunan.

Pertama, dapat mempertingkatkan daya profesionalisme Pengetua/Guru besar dan guru-guru dalam melaksanakan kurikulum sekolah melalui proses pengajaran-pembelajaran sejajar dengan falsafah, matlamat dan objektif sistem pendidikan negara.

Kedua, membantu memupuk, memelihara dan memperkukuhkan hubungan profesionalisme dan Interaksi yang positif antara Pengetua/Guru Besar dengan guru, guru dengan guru dan antara guru dan murid.

Ketiga, membantu guru-guru menjalankan tugas harian dengan lebih berkesan dan membentuk sikap guru ke arah yang lebih positif.

Keempat, memperbaiki dan meningkatkan mutu dan kekesanan pengajaran dan pembelajaran.

Kelima, berikhtiar dan berusaha untuk mendapatkan strategi-strategi mengajar yang inovatif dan boleh mendorong serta menggerakkan kecenderungan para pelajar terhadap pembelajaran.

Keenam, memperbaiki prestasi pelajar di dalam peperiksaan (berasaskan sekolah dan awam) dalam mata pelajaran berkenaan berpandukan atau berasaskan kepada prestasi / target yang ditunjukkan dalam rancangan akademik sekolah.



Garis panduan menyediakan Rancangan Kerja Tahunan.

  1. Rancangan tahunan bagi sesuatu mata pelajaran hendaklah disediakan berpandukan Sukatan Pelajaran, Huraian Sukatan Pelajaran, kesesuaian tahap kebolehan murid/pelajar dan keadaan semasa.
  2. Rancangan tahunan hendaklah disediakan mengikut bilangan minggu yang diperlukan untuk menghabiskan sesuatu tajuk. Rancangan tahunan ini juga hendaklah mengambil kira bilangan minggu persekolahan pada setiap tahun.
  3. Rancangan tahunan boleh dicetak atau difotostat dengan jelas dan terang (tidak dicetak berulang-ulang).
  4. Sekiranya rancangan tahunan ini ditulis, hanya pen berdakwat biru atau hitam sahaja dibenarkan.
  5. Rancangan tahunan hendaklah disahkan oleh Guru Besar atau Pengetua atau wakilnya sebelum digunakan. Jika disediakan dalam bentuk media elektronik (komputer), salinannya hendaklah disahkan oleh guru besar atau pengetua atau wakilnya.
  6. Rancangan tahunan hendaklah ditulis mengikut lajur-lajur (seperti jadual di atas) yang mengandungi perkara-perkara seperti berikut:
  • Tajuk/bidang pembelajaran
  • Objektif/kemahiran
  • Hasil pembelajaran yang dihasratkan
  • Bilangan minggu
  • Catatan





Kurikulum dan hubungkaitnya dengan Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani.

A Curriculum is a written document which may contain many ingredients, but basically it is a plan for the education of pupils during their enrolment in given school -
George A.Beauchamp (1986)

Berdasarkan kepada George A. Beauchamp, beliau mendefinisikan kurikulum sebagai dokumen bertulis di mana di dalamnya terkandung pelbagai bahan tetapi asasnya ia adalah satu rancangan untuk pendidikan murid-murid semasa mereka berada di sekolah

Kurikulum yang digubal mempunyai kepentingan tertentu yang berkait rapat dengan mata pelajaran pendidikan jasmani. Kurikulum yang dibentuk dapat membantu melahirkan insan yang seimbang dari keupayaan psikomotor, afektif dan kognitif. Aspek pembangunan insan merupakan keperluan negara dalam proses pembentukan modal insan yang berkualiti.

Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani ialah satu garis panduan kepada guru-guru dalam merujuk kandungan-kandungan pelajaran yang harus diberikan, diajarkan dan diterapkan kepada murid-murid. Di dalam sukatan pelajaran tersebut, terdapat tajuk-tajuk, kemahiran-kemahiran, cadangan aktiviti yang sesuai dengan murid mengikut tahap tertentu serta cadangan bahan-bahan yang hendak digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Justeru dapat kita kenal pasti di sini bahawa Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani adalah sub unit yang terdapat di dalam kurikulum. Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani adalah garis panduan yang lebih khusus untuk diteliti oleh guru yang hendak mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani.

Sukatan Pendidikan Jasmani merupakan satu kaedah yang terbaik untuk melahirkan individu yang mempunyai keseimbangan yang baik sama ada dari segi keupayaan psikomotor, afektif mahupun kognitif. Unsur membina kesepaduan dan korelasi dalam kurikulum sukatan pelajaran pendidikan jasmani diselitkan unsur-unsur sains, maka kesepaduan mata pelajaran dapat dibentuk. Terdapat juga unsur-unsur mata pelajaran lain yang disepadukan dalam pendidikan jasmani seperti muzik, matematik, fizik, biologi dan lain-lain.

Subjek pendidikan jasmani mengaplikasikan kurikulum berpusatkan murid. Perkara ini dapat dilihat melalui permainan kecil yang disertai oleh mereka. Sebagai contoh, permainan kecil adalah permainan kegemaran semulajadi kanak-kanak. Oleh itu, unsur permainan diselitkan dalam sukatan pendidikan jasmani untuk menarik minat murid-murid.


Nilai murni yang biasa diterapkan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani

Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai:

"Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia" (Wan Mohd. Zahid, 1988).

Secara keseluruhannya, ia merupakan nilai yang positif yang boleh diterima oleh pelajar dan masyarakat. Dalam pendidikan, penerapan nilai yang pertama kali secara rasminya diberi penekanan ialah melalui Lapuran Kabinet (Laporan Mahathir 1979), 1989. Semasa Datuk Sri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin Kementerian Pendidikan beliau membuat penyataan mengenai FPN & KBSM yang mana menyelitkan isu-isu nilai murni untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmoni, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga emosi, rohani dan jasmani.


Nilai Murni Dalam Pendidikan Jasmani

Nilai-nilai murni yang terdapat dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani adalah selaras dengan kehendak matlamat mata pelajaran ini. Antara nilai yang perlu diterapkan dan diamalkan ialah semangat kesukanan, permainan bersih, toleransi, semangat berpasukan, disiplin, berdaya saing, kepemimpinan dan penyertaan.

Nilai-nilai dalam pendidikan jasmani dan kesihatan dibentuk atas prinsip bahawa manusia telah dijadikan sebaik-baik makhluk. Terdapat banyak nilai-nilai murni yang dapat dipupuk dalam diri murid-murid melalui pendidikan jasmani. Contohnya, nilai menghargai, memelihara dan meningkatkan keadaan kesihatan diri dan masyarakat supaya dapat meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan hidup. Kedua, menghargai amalan kelaziman latihan kecergasan dan kesihatan. Ketiga, menghargai pentingnya mengikut prinsip-prinsip latihan. Keempat, menyedari pentingnya rehat dan rekreasi serta mengamalkannya. Kelima, mengamalkan lakuan gerak badan yang baik dan sempurna dalam kegiatan harian. Keenam, mementingkan langkah-langkah keselamatan dalam sebarang kegiatan harian. Terakhir sekali, berkeyakinan dalam menyusun program latihan kecergasan dan melakukannya bagi keperluan diri sendiri.

Cara-cara dan tujuan untuk berfikir secara kritis dalam pengajaran Pendidikan Jasmani

Kemahiran berfikir adalah kecekapan menggunakan akal menjalankan proses pemikiran. Seseorang yang memperolehi kemahiran berfikir sanggup dan cekap dalam menyusun maklumat, konsep atau idea secara yang teratur dan membuat kesimpulan atau keputusan yang tepat untuk tindakan yang terarah dan sewajarnya. Kemahiran berfikir terbahagi kepada dua iaitu kemahiran berfikir secara kritis dan kemahiran berfikir secara kreatif.

Asasnya, pemikiran kritis menjadikan kita lebih terbuka dalam menerima sesuatu, di samping cuba mempertimbangkannya semula, menganalisa secara kritis dengan mengambilkira pelbagai sudut. Ia juga memungkinkan pencernaan beberapa idea dan konsep baru.

Ilmu pemikiran kritis juga membolehkan selain menganalisa hujah (hujah yang kuat atau lemah, teori berguna atau menyangkalnya), kita juga berupaya berhujah dengan berkesan sekali. Hakikatnya ia mampu membuatkan kita berhujah dengan baik atau menganalisa hujah dengan lengkap.

Pemikiran kritis menjadikan kita lebih kritis dan peka dalam mengkaji sesebuah hujah ataupun penyataan yang dikeluarkan secara pengucapan ataupun penulisan. Ia dapat menyedarkan kita bahawa sesebuah penyataan itu tidak semestinya benar walaupun konteks struktur penyataannya adalah betul.

Pemikiran kritis juga mampu membuka minda kita agar lebih menerima berbanding terus menolaknya secara falasi kejahilan. Kita akan lebih berkeyakinan dalam menangani permasalahan serta jelas dalam melihat sesuatu fenomena.


Pemikiran Kritis Dalam Pendidikan Jasmani

Pemikiran kritis dalam pendidikan jasmani bertumpu kepada tahap kefahaman dan pengetahuan murid dalam semua topik dalam subjek tersebut. Melalui ujian seperti ini guru perlu melihat murid-murid dari aspek kefahaman dan pengetahuan murid ketika murid sedang melaksanakan sesuatu bidang kemahiran. Murid juga perlu diterapkan dan dilatih untuk mentafsir, mengguna dan melaksanakan kemahiran berdasarkan teknik-teknik yang telah diajar oleh guru. Apabila murid mempraktikkan suatu kemahiran, kefahaman dan tahap pengetahuan sedia ada murid ini boleh dijadikan kayu pengukur kepada komponen kognitif.


Cara-cara untuk berfikir secara kritis dalam pengajaran Pendidikan Jasmani.

Pertama, penglibatan murid secara aktif dan selamat. Melalui cara ini, murid diberi ruang yang sama rata untuk melahirkan perasaan atau pendapat mereka mengenai sesuatu tajuk dalam pembelajaran.

Kedua, interaksi yang kreatif dengan rakan, bahan dan alatan. Melalui cara ini, murid diberi suatu peranan atau situasi untuk mereka selesaikan. Melalui manipulasi yang boleh dijalankan oleh murid-murid, mereka akan secara tidak langsung akan cuba berfikir secara luar kotak bagi menyelesaikannya.

Ketiga, penglibatan murid secara penghayatan ilmu. Ianya bermaksud murid-murid diajar untuk memahami dan menghayati dan bukannya dengan cara terima dan hafal sahaja. Dengan cara sebegini, murid-murid mampu mengasah fikiran mereka bagi mengaplikasikan pengetahuan yang mereka ada dengan situasi yang dihadapi.

Keempat, interaksi dengan guru, rakan dan masyarakat. Interaksi murid-murid dengan orang yang lebih dewasa mampu membuka minda murid dalam memahami sesuatu situasi. Peranan guru amat penting dalam memastikan murid-murid mendapat layanan yang mampu mencorak fikiran mereka.

Tujuan untuk berfikir secara kritis dalam pengajaran Pendidikan Jasmani.

Pertama, dapat memahami kepentingan Pendidikan Jasmani dalam kehidupan murid. Kedua, supaya murid dapat mengaplikasikan cara hidup yang sihat melalui pemahamam yang mendalam tentang kesihatan. Ketiga, agar murid tidak memandang Pendidikan Jasmani sebagai satu subjek yang membosankan. Keempat, menjadi medan untuk murid melahirkan pertanyaan mengenai kesihatan yang begitu dekat dengan diri mereka.

Kategori Dan Maksud Kecergasan Keseluruhan Dalam Pendidikan Jasmani.

Berdasarkan kepada sukatan pelajaran, Pendidikan Jasmani dibahagikan kepada tiga tunjang utama iaitu kecergasan, kemahiran dan kesukanan. Dalam konsep tunjang kecergasan, ia menitikberatkan keupayaan murid melakukan aktiviti fizikal secara berterusan tanpa merasa lesu.

Konsep kecergasan keseluruhan dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu kecergasan berasaskan kesihatan dan kecergasan berasaskan perlakuan. Kecergasan berasaskan kesihatan merangkumi elemen-elemen seperti daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan, kelenturan dan komposisi badan.

Kecergasan berasaskan kesihatan bagi komponen daya tahan kardiovaskular ditekankan kepada murid-murid tahap satu dan tahap dua. Hal ini supaya dapat meningkatkan tenaga murid supaya mereka tidak mudah merasa letih meskipun melakukan pelbagai aktiviti. Antara contoh aktiviti daya tahan kardiovaskular ialah lari ulang alik 10m, lompat ketingting mengejar rakan dan naik turun bangku gimnastik.

Sementara kecergasan berasaskan kesihatan bagi komponen daya tahan otot ditekankan kepada murid tahun dua sahaja. Antara aktiviti yang disyorkan ialah bangkit tubi bengkok lutut, tekan tubi dan melompat dua belah kaki sambil bergerak 20m. Melalui komponen ini, diharapkan murid dapat menambahkan ketahanan kekuatan otot.

Kecergasan berasaskan kesihatan bagi komponen kekuatan ditumpukan hanya kepada murid tahap dua kerana ia memerlukan tenaga yang lebih untuk melakukan aktiviti berasaskan kekuatan. Antara aktiviti tersebut ialah tolak beban berpasangan, tekan tubi dan tolak bahu berpasangan.

Komponen kelenturan pula diutamakan pada setiap peringkat sekolah. Komponen ini ditekankan supaya anggota badan murid-murid akan menjadi lebih lembut. Contoh aktiviti-aktiviti yang disyorkan ialah mengilas badan ke kiri dan ke kanan, melentik badan ke kanan kiri dan belakang dan meregang otot-otot kaki statik.

Komponen terakhir sekali dalam kecergasan berasaskan kesihatan ialah komposisi badan. Komponen ini diajarkan kepada murid tahun enam sahaja. Pada ketika ini, murid-murid mula memahami perkembangan fizikal mereka dan mengetahui tentang keadaan bentuk badan mereka. Oleh itu, guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani hendaklah mengajar murid bagaimana mengira indeks jisim badan.

Elemen-elemen yang terdapat dalam kecergasan berasaskan perlakuan pula ialah koordinasi, imbangan, ketangkasan, kuasa, masa tindak balas dan kepantasan.

Tujuan utama pengajaran kecergasan berasaskan perlakuan bagi komponen koodinasi ialah membolehkan murid-murid dapat membuat anggaran dengan betul. Kebanyakan aktiviti-aktiviti bagi komponen ini dilakukan dengan bantuan alat. Antara contoh-contoh aktiviti ialah golek dan kawal gelung rotan, lambung dan pukul bola kecil serta golek dan tangkap bola berpasangan.

Komponen imbangan pula diajar kepada semua murid tanpa mengira tahap. Murid akan diajar aktiviti imbangan yang berunsurkan gimnastik. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti berjalan dan mengimbang di garisan lurus dan guling depan.

Sementara komponen ketangkasan pula diajar pada murid tahap satu dan tahap dua. Aktiviti yang biasa dijalankan ialah lari ulang alik. Namun demikian, unsur ini boleh dimasukkan ke dalam permainan kanak-kanak seperti main sentuh ekor dan galah panjang. Pada tahap dua, lari zig-zag akan menjadi aktiviti untuk menguji ketangkasan murid-murid. Melalui komponen ini juga, diharapkan murid-murid berupaya memukul dan menangkap bola kecil pelbagai aras dan arah.

Kecergasan berasaskan perlakuan bagi komponen kuasa hanya diajar pada murid tahun enam sahaja. Ketika ini, murid-murid boleh diuji sejauh manakah kuasa setelah menjalankan banyak aktiviti-aktiviti kecergasan. Aktiviti yang biasa dijalankan ialah melontar peluru dan lompat jauh.

Dalam komponen masa tindak balas, guru akan menguji sejauh manakah tindak balas murid terhadap sesuatu rangsangan atau pun objek. Hal ini akan meningkatkan kepekaan dan kelajuan tindak balas murid. Contoh-contoh aktiviti yang boleh dilakukan oleh guru ialah permainan sebut nombor dan baling pundi kacang secara berpasangan.

Komponen terakhir sekali dalam kecergasan berasaskan perlakuan ialah kepantasan. Komponen ini hanya diajar pada murid-murid tahap dua sahaja. Murid-murid akan menjalankan aktiviti-aktiviti seperti lari pecut 30m, melantun bola sabil berlari dan lari berganti-ganti 50m.

Definisi kurikulum serta matlamat dan objektif kurikulum

Berdasarkan penulisan Ishak Ramly (2003), kurikulum merangkumi semua pengalaman yang didapati di dalam dan luar sekolah dan perkara yang diajarkan di sekolah dan bilik darjah. Beliau turut mengelaskan kurikulum kepada tiga bahagian iaitu:

  • Kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan di sekolah
  • Kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan secara praktikal di dalam kelas
  • Kurikulum adalah pengisian sepanjang hayat bagi membudayakan ilmu dan pengalaman individu ataupun berkumpulan.

Yusuf Hashim (2000) pula menganggap kurikulum sebagai laluan atau balapan bagi sesuatu pertandingan perlumbaan kereta kuda berdasarkan maksud perkataan kurikulum yang berasal daripada perkataan Latin iaitu Curere yang bermaksud laluan. Manakala dalam bahasa Ingeris, kurikulum bermaksud jelmaan atau metamorphosis. Paduan maksud kedua-dua bahasa ini menghasilkan definisi laluan dari satu peringkat ke satu peringkat.

Banyak lagi sumber-sumber yang menterjemahkan maksud kurikulum yang lebih kompleks. Secara ringkas, kurikulum adalah bidang pengajian di sekolah.

Kurikulum berperanan sebagai garis panduan dan penentu sempadan ilmu yang hendak disampaikan. Ini bermaksud bahawa maklumat-maklumat akan disampaikan mengikut peringkat yang tertentu. Kurikulum di sekolah perlu sentiasa relevan dengan keperluan dan kehendak semasa. Pusat Perkembangan Kurikulum sentiasa merangka kurikulum pendidikan di Malaysia dari semasa ke semasa mengikut aliran tinggi. Kurikulum perlu diubahsuai mengikut keperluan supaya murid-murid sentiasa bergerak seiring dengan trend pengetahuan semasa.

Kurikulum pendidikan dibina atas beberapa tujuan. Antaranya adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi serta berketerampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif.

Selain daripada itu, kurikulum pendidikan juga menggabungkan jaringan unsur nilai moral dan agama merentasi kurikulum. Bagi mencapai hasrat ini, kurikulum telah menitikberatkan aspek kepemimpinan murid-murid melalui ko kurikulum. Kurikulum yang sama digunakan di semua sekolah di Malaysia bermatlamat untuk menguatkan hubungan sosial antara masyarakat majmuk di Malaysia. Kurikulum yang seragam dan adil dapat membentuk masyarakat yang bersatu padu dan menyingkirkan sikap prejudis antara kaum.

Akhir sekali, kurikulum juga diharap dapat membantu pembentukan insan dan warganegara yang mempunyai semangat patriotisme dan cinta kepada tanah air.

Kepentingan pendidikan jasmani dalam kurikulum sekolah.

Pendidikan jasmani amat penting untuk dilaksanakan dalam kurikulum sekolah rendah. Hal ini demikian kerana, melalui pendidikan jasmani, pelbagai aspek dapat dikembangkan ke tahap yang lebih tinggi. Sebagai contoh, aspek JERIS seseorang individu mungkin akan terjejas sekiranya mereka mengabaikan aspek pembangunan fizikal dan jasmani diri masing-masing.

Kepentingan pendidikan jasmani dalam kurikulum sekolah rendah tidak dapat dinafikan lagi. Berikut adalah beberapa huraian mengenainya. Pertama, pendidikan jasmani membantu membangunkan dan meningkatkan keupayaan fizikal dan kecergasan seseorang individu. Selain itu, melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani dapat membantu seseorang individu membangunkan kemahiran pergerakan asas. Pendidikan jasmani di sekolah rendah juga dapat membantu murid-murid meningkatkan kefahaman mengenai keselamatan diri, alatan dan tempat beraktiviti. Dalam aspek pembangunan emosi dan sahsiah, pendidikan jasmani membantu murid meneroka kelemahan dan kelebihan diri mereka seterusnya memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk mengenali dirinya. Pendidikan jasmani yang diajar di sekolah berdasarkan kepada kurikulum yang telah digubal mampu menyemai budaya bergiat cergas sepanjang hayat dalam diri setiap murid. Perkara yang sedemikian mampu mempengaruhi gaya hidup yang lebih baik dan sihat.

Sejarah perkembangan pendidikan jasmani di Malaysia.

Menurut laman blog RujukNota, sejarah perkembangan pendidikan jasmani di Malaysia dapat dibahagikan kepada beberapa era.

Pertama, sistem pendidikan asal iaitu sistem pendidikan yang telah ada sebelum kedatangan pengaruh Barat. Kedua, zaman penjajahan menghasilkan pendidikan yang formal yang telah menghasilkan pertumbuhan sekolah-sekolah Inggeris, Melayu, Cina dan India. Zaman ini berlanjutan hingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Ketiga, Zaman pendidikan moden, iaitu zaman selepas merdeka.

Sebelum datangnya pengaruh pendidikan Barat, sistem pendidikan merupakan sistem yang tidak formal seperti kelas-kelas agama dan al-Quran, kelas kesenian dan pertukangan. Sistem ini tidak memberatkan ciri-ciri pendidikan secara formal. Oleh itu, tidak ada langsung pendidikan jasmani.

Sistem pendidikan yang formal diperkenalkan di negara ini selepas kedatangan Inggeris di negeri-negeri Selat. Ini adalah usaha penganjur Kristian dan Kompeni Inggeris. Sekolah yang pertama didirikan di Tanah Melayu ialah Penang Free School yang ditubuhkan dalam tahun 1816. Usaha mendirikan sekolah ini dibuat oleh Rev. R.S Hutching. Sekolah itu ialah dibawah pengelolaan Kompeni Inggeris. Pendidikan jasmani tidak dijalankan lagi.

Sehingga tahun-tahun 1920-an masih belum ada sistem dan sukatan pelajaran yang formal walaupun peajaran pendidikan jasmani mula diajar secara tidakm formal. Keutamaan diberi kepada aktiviti senaman, latihan kawat dan permainan yang membawa pengaruh penjajahan Inggeris. Tahun 1924 dilantik seorang pengusaha pendidikan jasmani untuk negeri-negeri Selat.

Sungguhpun begitu, sukatan pelajaran pendidikan jasmani belum tersusun. Guru-guru yang tidak pernah menerima latihan pendidikan jasmani ditugaskan mengajar pelajaran itu. Tahun-tahun 1930-an barulah usaha rancangan pendidikan jasmani untuk sekolah-sekolah dimulakan. Sukatan pelajaran itu merupakan asas untuk pelajaran pendidikan jasmani di Tanah Melayu. Ia berdasarkan kepada sukatan pelajaran Latihan Fizikal untuk sekolah-sekolah Inggeris di England, yang mana telah diperkenalkan dalam tahun 1933. Siri buku-buku Jefferson, How To Teach Physical Training dijadikan asas sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani. J.W Jefferson yang dilantik sebagai penguasa pendidikan jasmani dalam tahun 1932, telah melancarkan rancangan latihan guru pendidikan jasmani ke seluruh negara. Kursus-kursus dalam perkhidmatan diadakan di seluruh negara. Tahun 1946-48, suatu sukatan yang formal untuk sekolah-sekolah rendah dan menengah. Sukatan ini diterbitkan oleh Maktab Perguruan Sultan Idris, (MPSI) Tanjung Malim (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris). Sistem latihan guru pendidikan jasmani dilancarkan secara berperingkat-peringkat, iaitu dari peringkat 1 hingga peringkat 4.

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu menunjukkan pengaruh penjajahan Inggeris dalam perkembangan pendidikan jasmani. Gimnastik, sukan dan rentakrama merupakan bahagian program-program yang terdapat di sekolah-sekolah rendah, sementara di sekolah-sekolah menengah, Inggeris memajukan satu program yang serupa dengan yang terdapat di negara-negara Asia di bawah British Komanwel. Bola sepak, bola keranjang, berenang d tenis adalah popular tetapi permainan badminton paling popular. Pada tahun 1952 guru-guru tempatan mula dihantar ke luar negara untuk meluaskan pengetahuan mengenai pendidikan jasmani. Setahun kemudian, Pendidikan Jasmani dimasukkan sebagai satu mata pelajaran bagi kursus asas dan pilihan utama di Kirby.

Kemudian diadakan pula kursus pendidikan dan kesihatan di Kirby dan Brinsford, England. Tahun 1955, Jawatan Penguasa Pendidikan Jasmani diambil oleh anak tempatan iaitu, En. Teoh Teik Lee. Pada tahun 1958, bahagian Penguasa Pendidikan Jasmani dipindahkan kepada Bahagian Nazir Sekolah-sekolah dan juga disatukan dengan Bahagian Latihan Guru. Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani IPSI dikekalkan dalam tahun 1950-an dengan beberapa penyesuaian dan pindaan.

Pada tahun 1960, B.E Chamber diganti oleh E.D Clay sebagai Nazir Sekolah-sekolah Persekutuan, Bahagian Pendidikan Jasmani. Sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani dikaji semula dan wujudlah sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan pada tahun 1966. Kursus tambahan, satu tahun Pendidikan Jasmani diadakan di Maktab Perguruan Ilmu Khas pada tahun 1960. Kemudian, diikuti dengan kursus tambahan untuk guru-guru perempuan dalam tahun 1961. Pada tahun 1971, sukatan pelajaran disemak semula,kemudiaanya sukatan itu dikeluarkan dalam 2 bahasa iaitu Melayu dan Inggeris. Sukatan ini lebih dinamik dan berkesan kerana memberatkan kepada kesan,pergerakan dan kemahiran. Dimasukkan juga aspek-aspek moden seperti tarian moden atau tarian pendidikan dan gimnastik untuk perempuan.


Hubungkaitkan bagaimana pendidikan jasmani membantu pembentukan individu dari segi jeris?

JERIS adalah singkatan bagi Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial. Sukatan pendidikan jasmani digubal dengan begitu teliti supaya aspek JERIS dapat dicapai melalui segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Dalam aspek jasmani, kurikulum Pendidikan Jasmani digubal untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk masyarakat yang cergas, sejahtera dan produktif. Kurikulum ini dibahagikan kepada tiga tunjang pembelajaran iaitu Kecergasan, Kemahiran dan Kesukanan. Tiga tunjang ini membantu mencapai matlamat dan objektif Pendidikan Jasmani.

Aspek emosi, rohani dan intelek pula dapat dibentuk dalam diri individu apabila murid dapat memahami dan menghayati pengetahuan, kemahiran dan pengalaman Pendidikan Jasmani agar dapat mengamalkan gaya hidup cergas sebagai budaya Malaysia. Murid diorientasikan dengan ilmu dan amalan Pendidikan Jasmani bagi membentuk sahsiah dan sikap untuk menghadapi cabaran hidup. Kurikulum Pendidikan Jasmani yang terancang dan persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan potensi murid ke tahap optimum.

Penerapan nilai-nilai murni dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat membantu pembentukan sosial individu. Nilai-nilai murni yang terdapat dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani adalah selaras dengan kehendak matlamat mata pelajaran ini. Antara nilai yang perlu diterapkan dan diamalkan ialah semangat kesukanan, permainan bersih, toleransi, semangat berpasukan, disiplin, berdaya saing, kepemimpinan dan penyertaan.

Pendidikan jasmani yang perlu difahami oleh guru bagi memenuhi aspirasi dan keperluan yang digariskan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara." (Falsafah Pendidikan Kebangsaan).

Guru perlu memahami dan menyedari kepentingan pendidikan jasmani supaya aspirasi negara untuk melahirkan insan yang seimbang dalam pelbagai aspek termasuk jasmani. Pendidikan Jasmani membantu murid menjadi cergas, aktif dan berpengetahuan melalui pemupukan kemahiran, nilai dan amalan kecergasan.

Kurikulum Pendidikan Jasmani digubal untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk masyarakat yang cergas, sejahtera dan produktif. Kurikulum ini dibahagikan kepada tiga tunjang pembelajaran iaitu Kecergasan, Kemahiran dan Kesukanan. Tiga tunjang ini membantu mencapai matlamat dan objektif Pendidikan Jasmani.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.

Sejajar dengan objektif pendidikan jasmani iaitu murid dapat menguasai kemahiran asas pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri. Pendidikan jasmani juga melibatkan elemen-elemen teori kecerdasan pelbagai seperti kinestatik (pergerakan). Melalui pendidikan jasmani juga, potensi dan kebolehan seseorang individu dapat diterokai dan seterusnya menjadi satu platform untuk melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan.

Pendidikan jasmani bukan semata-mata aktiviti senaman atau kesukanan tetapi lebih dari itu. Ia merangkumi banyak aspek yang penting kepada pembangunan individu. Tiga tunjang pendidikan jasmani iaitu kecergasan, kemahiran dan kesukanan perlu dikuasai oleh setiap individu. Perlu ditekankan bahawa setiap aktiviti yang melibatkan pergerakan perlu bermula dengan kemahiran asas yang betul bagi mengelakkan kecederaan. Pelbagai penyerapan dalam pendidikan jasmani yang menjadi ilmu yang berguna, contohnya anatomi dan fisiologi.

Pendidikan jasmani melahirkan manusia yang berguna, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Aktiviti kesukanan merupakan salah satu cara yang terbaik untuk mengisi masa lapang, seterusnya dapat mengelakkan diri daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan tidak bermoral. Pendidikan jasmani melahirkan individu yang bertanggungjawab, misalnya sebagai ketua dalam kumpulan.

Pendidikan jasmani juga mampu meningkatkan keyakinan diri. Pendidikan jasmani membolehkan seseorang menerima kejayaan dan kegagalan dengan optimis. Individu yang cergas dan cerdas mempunyai keterampilan dan peribadi yang baik dan menonjol. Kemungkinan individu yang banyak memberi alasan adalah kurang diberi pendidikan jasmani dan kurang melibatkan diri dalam aktiviti fizikal.

Maksud main, permainan dan sukan.

Main

Main ditakrifkan sebagai sebarang aktiviti yang memberikan kegembiraan dan kepuasan kepada kanak-kanak tanpa menimbangkan apakah hasil aktiviti itu. Dengan lain perkataan, kanak-kanak bermain bukan kerana ingin akan sesuatu atau mencapai tujuan tertentu. Bermain dianggap sebagai satu pekerjaan bagi kanak-kanak, tetapi bukanlah pekerjaan yang memerlukan hasil akhiran atau tujuan tertentu.

Menurut Kraus (1990), bermain juga bukanlah satu aktiviti yang dipaksa malah merupakan keinginan semulajadi kanak-kanak. Lazimnya apabila sesuatu tugasan itu dianggap mudah, tugasan tersebut sering dirujuk sebagai mainan kanak-kanak memandangkan tidak wujudnya komplikasi dan merupakan nilai yang paling berharga buat perkembangan kanak- kanak.

Mengikut Carr, main merupakan pengalaman katartik, memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meluahkan emosi yang negatif. Sebagai contoh kanak- kanak yang berusia empat tahun yang baru sahaja mendapat adik baru akan mengalami pengalaman negatif seperti penolakan kasih sayang dan perasaan permusuhan terhadap adik tersebut. Untuk perihal ini, main dikatakan dapat menyuarakan perasaan kecewa tersebut.

Dari aspek psikoanalisis, mengikut Freud pula, main memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memperolehi perasaan dapat mengawal keadaan yang dikatakan dapat membantu kanak-kanak untuk berurusan dengan realiti sebenar (Kraua, 1990).


Permainan

Permainan merupakan salah satu alat pengukuhan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Menurut Allessi & Trollip (1991) permainan ialah suatu aktiviti yang melibatkan proses pembelajaran secara tidak formal. Permainan mampu untuk mewujudkan suatu suasana yang dapat merangsangkan pembelajaran atau penguasaan sesuatu kemahiran. Permainan tidak mempunyai tujuan yang jelas tetapi boleh berubah kepada sukan.


Sukan

Sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan untuk pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran, kecemerlangan, dan sebagainya. Perbezaan tujuan inilah yang membezakan sifat sesuatu sukan itu. Misalnya, berenang secara bersaingan di hadapan ribuan penonton akan dikira sebagai sukan tetapi berenang bersendirian di kolam atau laut dilihat sebagai aktiviti rekreasi (Ensiklopedia bebas Wikipedia ).

Definisi Pendidikan Jasmani

Menurut laman web eksiklopedia bebas Wikipedia , Pendidikan Jasmani didefinisikan sebagai suatu proses yang bertujuan meningkatkan prestasi manusia melalui aktiviti fizikal yang berkait rapat dengan pemilikan dan penghalusan kemahiran-kemahiran motor; pembangunan dan pemeliharaan kecergasan untuk kesihatan optimum dan keadaan baik; memperoleh pengetahuan, dan pembangunan sikap-sikap positif terhadap aktiviti fizikal Jenny (1961) dan Williams (1964) berpendapat bahawa Pendidikan Jasmani memberi pendidikan melalui aktiviti fizikal dan matlamatnya mempengaruhi semua perkembangan fizikal termasuk perkembangan mental dan sosial.

Barrow (1971, 1983) menyatakan Pendidikan Jasmani dalam konteks ‘pengalaman pendidikan menyeluruh’ dan berkait dengan hal seumur hidup setiap individu.

Baley & Field (1976), satu proses pengubahsuaian dan pembelajaran berkenaan organik, neuromaskular, intelektual, sosial, budaya, emosional dan estetik, hasil melalui aktiviti-aktiviti fizikal yang terpilih dan agak rancak,

Freeman (1992) menegaskan bahasa Pendidikan Jasmani meliputi pembangunan fizikal dan mental dan menumpu pada tiga domain pendidikan, iaitu psikomotor, kognitif dan afektif.

Lumpkin (1990) berpendapat Pendidikan Jasmani merupakan suatu proses yang membolehkan individu mempelajari kemahiran-kemahiran fizikal, mental dan sosial serta tahap kecergasan yang tinggi.

Dauer (1995) berpendapat Pendidikan Jasmani ialah sebahagian daripada program pendidikan yang menyeluruh, yang memberi sumbangan pada asasnya melalui pengalaman-pengalaman pergerakan kepada perkembangan dan pembangunan keseluruhan kanak-kanak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...