Pembaca Setia

Showing posts with label Nota KS. Show all posts
Showing posts with label Nota KS. Show all posts

22 June 2011

Teori Kemoralan Sosial

Teori-teori Etika: Teori Kemoralan Sosial

Teori Kemoralan Sosial cenderung mengaitkan peraturan masyarakat dengan konsep etika. Teori Kemoralan Sosial juga dikenali juga sebagai kemoralan konvensional dan tradisionalisme atau konservatisme dalam kemoralan Ia merujuk kepada standard atau ukuran moral yang merangkumi nilai-nilai yang mementingkan masyarakat. Individu bukan sebagai matlamat kemoralan. Nilai atau peraturan ini adalah ukuran dan persetujuan masyarakat .

Oleh itu individu bertanggungjawab untuk mematuhi standard moral ini demi menjaga kerukunan sosial yang sedia ada. Hakikatnya, teori ini juga wujud di dalam ajaran Islam yang melihat moral melalui kacamata masyarkat dan kehidupannya selagi mana ia tidak bertentangan dengan kehendak shara’. Maksudnya, moral atau undang-undang warisan sesebuah masyarakat secara automatik akan tertolak jika bertentangan dengan Shari’ah.

Individu yang berpegang kepada teori kemoralan sosial menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan peraturan dan situasi masyarakat yang baru sedangkan masa dan keadaan sekeliling selalu berubah.

Perbandingan Teori Kemoralan Sosial dengan teori-teori yang lain

Teori Teleologikal menyatakan sesuatu nilai sama ada betul atau salah adalah bergantung kepada keputusan akhir sesuatu tindakan.

Teori Deontologi lebih mementingkan sifat perlakuan atau ciri-ciri peraturan itu dalam menentukan sama ada nilai itu adalah betul atau salah, akibat/kesan sesuatu perlakuan adalah tidak dititikberatkan dalam teori ini.

Menurut Teori Prinsip Kewajipan, tanggungjawab merupakan satu nilai utama menentukan sama ada tindakan itu bermoral atau tidak.

Teori Keperibadian Mulia menyatakan bahawa setiap keperibadian yang mulia merupakan jalan tengah, iaitu sesuatu nilai yang diamalkan itu adalah tidak berlebihan dan tidak juga terlalu kurang.

Teori Kemoralan Sosial cenderung mengaitkan peraturan masyarakat dengan konsep etika. Standard atau ukuran moral merangkumi nilai-nilai yang mementingkan masyarakat dan individu bukan sebagai matlamat kemoralan.

Kritikan terhadap Teori Kemoralan Sosial

Teori kemoralan sosial merupakan etika yang keterlaluan berlandaskan peraturan masyarakat dianggap dogmatik dan authoritarian. Teori ini melemahkan autonomi serta menyekat pertimbangan bebas dan pilihan sukarela

Semua masyarakat mempunyai peraturan moral masing-masing; nilai, tradisi, undang-undang, adat serta kepercayaan. Ini bermakna terdapat pertentangan peratutan moral dengan masyarakat lain. Hal ini secara tidak langsung boleh bawa ketegangan dan konflik.

Bull (1969) pula menyatakan bahawa Teori Kemoralan Sosial membentuk satu sekatan atau isbat berasaskan apa yang diizinkan atau ditegah oleh autoriti dalam masyarakat. Walaubagaimanapun,boleh hilang kuasanya jika seseorang itu didapati menyembunyikan perbuatan buruk yang melanggar peraturan masyarakat. Misalnya di negara kita berzina satu kesalahan, tetapi terdapat orang bersekedudukan yang tidak segan silu apabila berada di luar negara – yang longgar peraturannya.

24 May 2011

Langkah Pembinaan Jadual Spesifikasi Ujian

  1. Menentukan objektif ujian
  2. Menentukan isi ujian
  3. Mengisi lajur kandungan
  4. Mengisi lajur kemahiran
  5. Menentukan jenis dan bilangan soalan
  6. Menyemak sebaran soalan
  7. Menentukan aras kesukaran soalan

Ciri-ciri Utama Jadual Spesifikasi Ujian

  • Aras kesukaran
  • Peruntukan peratusan item yang akan diuji.
  • Kandungan topik
  • Aras kemahiran
  • Bilangan soalan
  • Bentuk dan tempoh ujian.

Konsep Jadual Spesifikasi Ujian

Satu bentuk 'blueprint' yang dapat membantu guru menyediakan soalan mengikut kriteria tertentu untuk menghasilkan sebuah ujian yang mempunyai keutuhan dan kesahan yang tinggi.

Faktor-faktor yag boleh meningkatkan kebolehpercayaan

  1. Arahan perlu jelas dan tepat.
  2. Penyataan soalan perlu jelas dan tepat.
  3. Soalan hendaklah seragam (homogen).
  4. Situasi masa menjalankan ujian mestilah terkawal.
  5. Elakkan gangguan kepada pelajar.
  6. Elakkan kebimbangan pelajar.

KEBOLEHPERCAYAAN: KETEKALAN UJIAN MENGUKUR APA YANG HENDAK DIUKUR.

    Jenis-jenis ujian

    1. Ujian bakat
    2. Ujian personaliti
    3. Ujian pencapaian
    4. Ujian prestasi
    5. Ujian diagnostik
    6. Ujian kecekapan
    7. Ujian kecerdasan
    8. Ujian rujukan norma
    9. Ujian rujukan kriteria

    Ciri-ciri pentaksiran yang baik.

    1. Kekomprehensifan
    2. Keobjektifan
    3. Kebolehtadbiran
    4. Kesahan skor
    5. Kebolehpercayaan skor
    6. Kemudahtafsiran

    Kepentingan pentaksiran

    • Mendapatkan gambaran prestasi murid dalam P&P.
    • Menilai aktiviti yang dijalankan semasa proses P&P.
    • Guru boleh memperbaiki proses P&P.

    Penilaian dan Ujian

    Jenis-jenis Penilaian
    • Penilaian formatif.
    • Penilaian sumatif.

    Jenis-jenis Ujian
    • Ujian rujukan norma
    • Ujian rujukan kriteria
    • Ujian pencapaian
    • Ujian kecerdasan
    • Ujian prestasi
    • Ujian diagnostik
    • Ujian personaliti
    • Ujian bakat

    Bentuk-bentuk ujian
    • Ujian individu dan kumpulan
    • Ujian bertulis dan lisan
    • Ujian objektif dan subjektif

    13 May 2011

    Kemahiran Sosial

    12 May 2011

    16 February 2011

    Sumber Pengajaran dan Pembelajaran dalam Pengajian Sosial

    1.0 Pengenalan

    Dalam psikologi dan pendidikan, pembelajaran umumnya ditakrifkan sebagai suatu proses yang menyatukan kognitif, emosional, persekitaran pengaruh dan pengalaman untuk mendapatkan, meningkatkan atau membuat perubahan dalam pengetahuan, kemahiran, nilai dan pandangan dunia seseorang individu (Illeris, 2000; Ormorod, 1995). Belajar sebagai suatu proses berfokus kepada apa yang terjadi ketika pembelajaran berlangsung. Penjelasan tentang apa yang terjadi merupakan teori-teori belajar. Sebuah teori belajar adalah usaha untuk menggambarkan bagaimana manusia belajar, sehingga membantu kita memahami proses dasarnya kompleks belajar. Teori pembelajaran mempunyai dua nilai utama menurut Hill (2002). Salah satunya adalah dalam menyediakan kita dengan kosa kata dan rangka kerja konseptual untuk menafsirkan contoh pembelajaran yang kita amati. Yang lain adalah dalam mencadangkan kaedah bagi mencari penyelesaian untuk masalah-masalah praktikal. Teori-teori tidak memberikan kita penyelesaian, tetapi mereka mengarahkan perhatian kita kepada mencipta pembolehubah yang sangat penting dalam mencari penyelesaian.

    Ada tiga kategori utama atau rangka falsafah teori-teori pembelajaran iaitu behaviorisme, kognitivisme dan konstruktivisme. Behaviorisme hanya tertumpu kepada aspek peniruan, pemikiran dan perasaan dalam pembelajaran. Teori kognitif melihat melampaui perilaku untuk menjelaskan pembelajaran berasaskan otak manakala pandangan konstruktivisme belajar sebagai sebuah proses di mana pelajar aktif membina atau membina idea-idea baru atau konsep.

    Robert M Gagne, Jerome Seymour Bruner, Albert Bandura dan Lev Vygotsky merupakan tokoh-tokoh penting yang telah mencetuskan pelbagai teori pembelajaran dan memberi sumbangan yang besar dalam dunia pendidikan. Mereka juga mengutarakan pelbagai sumber pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan teori masing-masing.

    2.0 Hubungkait teori-teori pembelajaran dengan kepentingan penggunaan sumber-sumber dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


    i. Gagne: Bahan bercetak.

    Robert M. Gagne dalam bukunya Essentials of Learning for Instruction (1975) memperkenalkan sebuah teori mengenai bagaimana manusia memperoleh maklumat dalam sesuatu proses pembelajaran.

    Mengikut teori, semua rangsangan dari persekitaran luar akan diterima oleh sistem saraf melalui deria-deria manusia. Maklumat ini akan ditafsirkan dalam stor ingatan, kemudian dihantar kepada stor ingatan jangka panjang dan akhirnya kepada penggerak tindak balas melalui sistem saraf.

    Gagne memilih bahan bercetak sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran yang paling sesuai berdasarkan kepada teori beliau. Bahan bercetak merupakan sumber pelajaran yang paling mudah didapati dan disediakan. Penggunaan bahan cetak sebagai bahan pengajaran tidak terhad asalkan ia menepati objektif. Bahan-bahan bercetak yang terdapat di sekolah boleh diklafikasikan kepada dua jenis iaitu bahan bergambar dan bahan tidak bergambar.

    Contoh bahan bergambar ialah surat khabar, poster, majalah dan gambar. Bahan-bahan bergambar membantu murid meluaskan pengetahuan dan pemahaman. Hal ini sesuai dengan teori beliau di mana rangsangan luaran seperti gambar mampu membina set-set di dalam stor ingatan seseorang individu sama ada berbentuk ingatan jangka masa panjang mahupun ingatan jangka masa pendek.

    Contoh bahan tidak bergambar ialah seperti graf, peta dan tanda isyarat jalan raya. Teori Gagne juga dikenali sebagai teori pemprosesan maklumat. Berdasarkan kepada penggunaan bahan-bahan tidak bergambar, murid-murid akan didedahkan dengan cabaran kerana mereka dikehendaki mentafsir maklumat yang diterima seperti membuat graf atau melukis dan member peluang kepada murid untuk meluaskan penggunaan bahasa seperti membuat ramalan dan membuat huraian lanjut tentang sesuatu laporan.

    ii. Bruner: Penggunaan Peta Minda dan Bahan Eksperimen

    Bruner lebih menegaskan pembelajaran secara penemuan iaitu mengolah apa yang diketahui murid itu kepada satu corak dalam keadaan baru (lebih kepada prinsip konstruktivisme).

    Dalam mempelajari manusia, Bruner menganggap manusia sebagai pemproses, pemikir dan pencipta informasi. Beliau juga menyatakan bahawa pembelajaran itu meliputi tiga proses kognitif, iaitu memperoleh informasi baru, transformasi pengetahuan, dan menguji relevansi dan ketepatan pengetahuan.

    Penggunaan peta minda dan bahan eksperimen dikenalpasti sebagai sumber utama pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kepada teori beliau. Melalui sumber-sumber tersebut, murid akan memperoleh keberkesanan dalam proses pembelajaran kerana aktviti seperti eksperimen melibatkan penglibatan langsung murid-murid dan akan mendedahkan mereka kepada pengalaman-pengalaman yang baru. Murid-murid belajar melalui pengalaman. Dengan itu guru perlu menyediakan peluang untuk murid-murid meneroka, memegang, mencium dan merasa. Pengalaman seperti ini mewujudkan proses pembelajaran yang bermakna.

    Bruner amat menekankan pembelajaran konsep atau kategori. Oleh yang demikian, penggunaan peta minda diterapkan di dalam teori beliau. Pengetahuan perlu disusun dan diperingkatkan agar pembentukan konsep bermula daripada peringkat yang mudah kepada peringkat yang rumit.

    iii. Bandura: Relia dan Model

    Mengikut teori peniruan dan permodelan yang diperkenalkan oleh Bandura, pembelajaran melalui pemerhatian merupakan pembentukan asas tingkah laku manusia.Melalui pemerhatian terhadap proses dan hasil perubahan tingkah laku orang lain, individu secara tidak langsung, mempelajari pula perubahan tingkah laku tersebut.

    Penggunaan relia dan model sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran menepati teori yang dikemukakan oleh Bandura. Hal ini kerana, Bandura menyatakan bahawa proses pembelajaran meliputi pemerhatian, pemikiran, peringatan, peniruan dengan tingkah laku atau gerak balas yang sesuai dan diakhiri dengan peneguhan positif.

    Model seperti bahan tiga dimensi yang baik seperti kraftangan, replika bangunan boleh ditunjukkan kepada murid-murid sebagai contoh dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan pengetahuan murid-murid melalui pemerhatian dan pemikiran.

    Guru dan murid juga merupakan model semulajadi di dalam sesebuah kelas. Implikasinya, penyampaian guru hendaklah cekap dan menarik supaya menjadi role model yang boleh dicontohi oelh murid. Guru juga boleh menjadikan rakan sebaya yang cemerlang menjadi role model untuk membuat demonstrasi di dalam bilik darjah.

    iv. Vygotsky: Rakan Sebaya dan Penggunaan Bahan Sumber / Alat

    Vygotsky menekankan peranan sosial dan budaya dalam perkembangan minda murid. Kebanyakan daripada kemahiran kognitif murid terhasil daripada interaksi sosial dengan rakan sebaya. Perkembangan mental murid terhad disebabkan oleh sistem biologi yang belum berkembang dan matang. Walaupun begitu persekitaran dan sistem lingkungan budaya murid membantu mereka mengadaptasi perkembangan kognitif. Setiap budaya menerapkan cara hidup dan cara berfikir kepada murid-murid.

    Vygotsky turut menekankan penggunaan bahan sumber dan alat. Bahan boleh membantu guru menjelaskan apa yang hendak diajar, membantu murid memahami apa yang diajar. Bahan pengajaran penting sebagai media komunikasi, rangsangan, penjelas makna, penggerak pelbagai deira, sumber pengalaman, unsur yang mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran serta pendorong pengajaran terancang.

    3.0 Kepentingan dan tujuan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam Pengajian Sosial.

    Sumber ialah segala bahan dan alat yang terdapat di alam ini. Dalam bidang pendidikan, sumber ialah segala bahan dan alat yang dapat membantu guru mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

    Dalam program Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang baru dilaksanakan, pembelajaran Pengajian Sosial yang berkesan dikaitkan dengan penggunaan alat dan bahan yang sesuai, terutamanya yang boleh dilihat, didengar, dirasa, dihidu dan disentuh oleh murid. Mereka boleh mengalami sendiri apa yang disampaikan oleh guru. Ini membuatkan mereka lebih memahami dan apa yang difahami itu pula akan lebih kekal dalam stor ingatan mereka.

    Secara umum, bahan bermakna apa sahaja yang digunakan dalam pengajaran termasuklah pengetahuan dan nilai-nilai. Dari segi teknologi pendidikan, apa yang diguna untuk menyampaikan pengajaran dan menjadi rangsangan pelajaran digolongkan sebagai media pendidikan.

    Kesemua sumber, jika digunakan dalam situasi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai akan bertindak sebagai rangsangan untuk mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih bermakna. Dengan cara ini, murid akan dapat belajar dalam situasi yang berkesan.

    Penggunaan sumber penting dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial. Hal ini kerana sumber boleh membantu guru menjelaskan isi pelajaran kepada murid dan membantu murid memahami apa yang diajar oleh guru. Sumber pengajaran dan pembelajaran bertindak sebagai media komunikasi, rangsangan, penjelas makna, penggerak pelbagai deria, sumber pengalaman, unsur yang mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran serta pendorong kepada pengajaran terancang.

    i. Kepentingan sumber sebagai media komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

    Komunikasi melibatkan penyampaian dan penerimaan maklumat. Proses pengajaran dan pembelajaran juga merupakan satu aspek komunikasi kerana pembelajaran berlaku melalui penyampaian dan penerimaan maklumat. Maklumat-maklumat itu disalurkan melalui media tertentu seperti media cetak dan tayangan video. Media inilah yang menjadi sumber pengajaran. Filem video ialah satu alat komunikasi yang boleh digunakan dengan baik di dalam bilik darjah. Tayangan peristiwa dan pemandangan yang sebenar akan membolehkan murid-murid tahu tentang peristiwa-peristiwa tersebut dengan lebih dekat dan jelas.

    Dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial di sekolah, guru bertindak sebagai pengirim atau penyampai maklumat dan penerimanya ialah murid. Sementara mesejnya ialah maklumat, fakta, konsep, kemahiran atau nilai yang disampaikan. Sumber ialah saluran atau media yang digunakan untuk menyampaikan maklumat tersebut.

    ii. Kepentingan sumber sebagai rangsangan dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

    Murid akan lebih berminat belajar tentang sesuatu tajuk sekiranya dia dapat melihat, mendengar atau menyentuh objek yang menjadi ii pelajaran. Dengan adanya bahan rangsangan ini, murid akan dapat memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam lagi. Oleh itu mereka dapat mengeluarkan idea dengan lebih cepat dan bermakna. Bahan merupakan satu faktor utama bagi mempelbagaikan rangsangan murid di samping mengalihhalakan tumpuan mereka kepada perkara-perkara yang menarik, bermakna dan penting dalam pembelajaran.


    iii. Kepentingan sumber sebagai penjelasan makna dan konsep dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

    Dalam pengajaran sesuatu topik, terdapat perkataan dan frasa yang maknanya tidak dapat dihurai dengan perkataan sahaja. Maknanya akan lebih jelas jika diterangkan dengan contoh-contoh tertentu yang memerlukan bahan audio visual atau kedua-duanya sekali. Bahan-bahan ini boleh digunakan di dalam atau di luar bilik darjah seperti siaran langsung atau rakaman peristiwa-peristiwa sebenar melalui radio dan televisyen.

    Penerangan guru yang diiringi dengan bahan yang dipilih dengan rapi dan sesuai dapat memperkembangkan corak pemikiran murid serta membantu mereka memahami sesuatu dengan lebih jelas.

    iv. Kepentingan sumber sebagai penggerak penggunaan pelbagai deria dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

    Secara semulajadi, kita belajar melalui berbagai-bagai deria iaitu rasa, dengar, lihat, sentuh dan bau. Dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah juga, guru perlu menggunakan berbagai-bagai bentuk dan jenis bahan supaya deria-deria ini boleh digunakan.

    Kajian telah menunjukkan bahawa manusia mengingati 10% daripada apa yang mereka dengar sahaja, 20% daripada apa yang mereka lihat sahaja dan 65% daripada apa yang mereka dengar dan lihat.

    Kajian ini jelas membuktikan bahawa lebih banyak deria dilibatkan dalam aktiviti pembelajaran, lebih teguh pula daya ingatannya. Untuk memastikan apa yang disampaikan itu kekal lama dalam ingatan murid, guru patut mempelbagaikan bahan pengajaran.

    v. Kepentingan sumber sebagai sumber pengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

    Terdapat bahan yang memberikan pengalaman secara langsung dan tidak langsung kepada murid. Alam sekitar boleh memberikan pengalaman langsung. Contohnya, apabila murid membuat lawatan ke sesuatu tempat, dia akan memahami dan mengetahui apakah bahan maujud yang ada di situ, di samping mengetahui proses menghasilkan bahan-bahan tersebut. Misalnya semasa melawat ke ladang getah, murid-murid dari bandar boleh melihat pokok getah, daunnya, buahnya dan bagaimana susu getah diperoleh dan kemudian diproses menjadi getah keping untuk dipasarkan. Bahkan mereka juga mungkin dapat mengalami sendiri pekerjaan tersebut.

    Pengalaman ini akan memberi kesan yang mendalam kepada proses pembelajaran murid-murid tersebut. Kita lebih banyak belajar melalui pengalaman sendiri daripada maklumat yang diberi oleh orang lain. Murid-murid juga akan lebih memahami dan mengingati pelajaran yang diterima sekiranya mereka diberi peluang untuk mencuba, mengkaji dan meneliti bahan-bahan yang digunakan.

    Filem, video atau gambar boleh mengayakan pengalaman seseorang murid. Misalnya, semasa menonton tayangan filem tentang kejadian dan perubahan musim di negara beriklim sejuk dengan pemandangan yang berlainan, murid-murid akan berasa seolah-olah mengalaminya sendiri. Ini akan meningkatkan dan mengukuhkan pemahaman mereka tentang perubahan musim yang mereka tidak pernah mengalami secara langsung.

    vi. Kepentingan sumber mempelbagaikan kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

    Setiap bahan mempunyai cara penggunaannya yang tersendiri. Ini memberi kesan terhadap kaedah dan teknik pengajaran. Dengan menggunakan berbagai-bagai bahan yang ada, kaedah dan teknik pengajaran juga boleh dipelbagaikan. Kemahiran yang sama boleh dikuasai mengikut cara dan teknik yang berlainan berdasarkan jenis alat dan bahan yang digunakan. Misalnya pengetahuan tentang alam sekitar boleh disampaikan melalui tanyang video, teks bacaan atau pengalaman langsung murid.

    Kepentingan sumber sebagai pendorong pengajaran terancang dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

    Penggunaan sumber perlu dirancang dari segi kesesuaian, tujuan, masa dan cara menggunakannya. Ini melibatkan perancangan keseluruhan pengajaran dari awal hingga akhir. Dengan cara ini, guru akan merancang sesuatu pelajaran dengan lebih sempurna.

    4.0 Prosedur penghasilan dan penggunaan bahan teknologi pendidikan yang sesuai dan tatacara penyelenggaraannya dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

    Dari segi teknologi pendidikan, apa yang diguna untuk menyampaikan pengajaran dan menjadi rangsangan pelajaran digolongkan sebagai media pendidikan.


    Bahan bercetak

    Bahan-bahan cetak merupakan media pendidikan yang paling mudah didapati dan disediakan. Penggunaan bahan cetak sebagai bahan pengajaran tidak terhad asalkan ia menepati objektif. Contoh bahan bercetak adalah seperti buku teks, buku kerja, buku fiksyen, buku rujukan, majalah, risalah, surat, berita, surat khabar dan nota-nota bercetak. Bahan bercetak seperti ini mengandungi maklumat dalam bentuk perkataan, lukisan atau gambar.

    Pemilihan dan penghasilan bahan bercetak sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran dalam Pengajian Sosial perlu menitikberatkan aspek-aspek yang berikut:

    a. Anggaran kos
    b. Kebolehgunaan
    c. Mobiliti
    d. Bahan mentah
    e. Saiz dan warna
    f. Tatahias dan kemasan
    g. Simpanan dan penyelenggaraan


    a. Anggaran kos
    Bahan bercetak amat murah dan mudah untuk didapati. Pencetakan bahan yang banyak akan mengurangkan kos jika dibandingkan dengan bahan pandang-dengar yang lain. Bahan-bahan bercetak, cetakan tempatan atau cetakan sendiri berharga murah dan boleh disediakan dengan cepat.

    b. Kebolehgunaan
    Teknologi pendidikan ini memudahkan guru untuk mengajar murid melalui bahan bercetak yang maujud. Guru boleh menggunakan bahan bercetak sekerap mungkin sehingga murid benar-benar dapat mengingati fakta atau perkara yang ingin diperlajari. Murid-murid boleh menggunakannya mengikut kadar kecepatan mereka sendiri. Bahan-bahan tercetak boleh dibaca dengan cepat dan maklumat penting boleh dipelajari tanpa mengikut sesuatu masa pengajaran.

    Bahan bercetak tidak mempunyai masalah dari segi penggunaannya kerana ia tidak memerlukan sumber tenaga elektrik seperti komputer. Walaubagaimanapun, ia perlu digunakan di tempat yang terang atau mempunyai cahaya kerana jika tidak bahan yang dipaparkan tidak dapat dilihat.

    c. Mobiliti
    Bahan bercetak ini boleh digunakan di mana sahaja sama ada di dalam atau di luar kelas. Jika bahan tersebut ingin digunakan di kawasan yang luas seperti dewan, bahan tersebut hendaklah diperbanyakkan. Selain itu, murid-murid juga boleh menggunakan pada bila bila masa bahan bercetak tersebut walaupun tanpa guru.

    d. Bahan mentah
    Hampir kesemua bahan bercetak menggunakan kertas sebagai bahan mentah. Penggunaan kertas sangat popular kerana ia mudah didapati selain kos mencetak yang rendah.

    e. Saiz dan warna
    Jika gambar atau poster digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran , guru mestilah memastikan saiznya besar dan boleh dilihat oleh semua murid. Perkara ini penting dalam menyampaikan maklumat dan mengekalkan perhatian serta minat murid. Pemilihan warna juga perlu diberi perhatian oleh guru. Warna yang terlalu terang dan terlalu gelap akan menjejaskan fokus murid terhadap penyampaian guru.

    f. Tatahias dan kemasan
    Sekiranya guru menggunakan lukisan sebagai bahan bantu mengajar, guru perlu memastikan lukisan tersebut mudah difahami oleh murid. Guru juga perlu mengelakkan penggunaan lukisan yang terlalu abstrak. Hal ini akan menyukarkan murid memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Jika guru mencetak bahan-bahan yang mengandungi tulisan tangan, pastikan tulisan tersebut kemas dan mampu dibaca oleh murid. Bahan bercetak yang terlalu banyak gambar dan warna juga tidak digalakkan untuk diguna sebagai bahan bantu mengajar kerana boleh mengganggu tumpuan murid dalammencapai objektif pembelajaran yang sebenar.

    g. Simpanan dan penyelenggaraan
    Bahan bercetak ini perlu disimpan dengan kemas dan teliti kerana bahan ini mudah koyak atau rosak, seperti disimpan di dalam fail, folder, plastik menyimpan kertas dan sebagainya. Gambar-gambar seperti foto dan rajah boleh dimasukkan dalam teks untuk penerangan lebih lanjut mengenai konsep, hujah-hujah dan juga untuk menambahkan minat murid. Bahan-bahan cetakan tambahan boleh dimuatkan di dalam buku teks atau buku latihan sebagai lampiran atau bahan tambahan.

    Penggunaan bahan dengan cermat serta disimpan di tempat yang selamat memudahkan pengesanan semula dan menjamin ketahanan bahan tersebut.

    5.0 Prosedur penghasilan dan penggunaan bahan teknologi maklumat dan komunikasi yang sesuai dan tatacara penyelenggaraannya dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

    Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi secara terancang boleh mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah serta memberi peluang kepada setiap murid untuk menguasai ilmu pengetahuan dengan cara yang lebih menarik dan berkesan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk mengembangkan potensi setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu.

    Definisi teknologi maklumat boleh diringkaskan sebagai satu proses pengaliran, penyebaran, pemprosesan dan penyimpanan maklumat menggunakan perantaraan teknologi. Seperti yang diketahui umum, teknologi disifatkan sebagai satu bentuk pemudah cara yang membolehkan pengaliran maklumat menjadi sangat pantas. Sebenarnya teknologi maklumat tidak terhad kepda internet dan komputer sahaja tetapi ia melibatkan televisyen, telefon, telefon mudah alih, fax, telegram, PDA dan sistem satelit dalam menyampaikan maklumat kepada penerima.

    Terdapat 3 asas penting dalam penggunaan teknologi maklumat. Pertama teknologi maklumat adalah untuk mengumpul maklumat. Ia digunakan untuk suntingan dengan menggunakan teknologi. Contoh,dengan menggunakan komputer ia boleh merekod bunyi,imej dan sebagai pengesan gerakkan. Kedua, adalah untuk memanipulasikan maklumat dan proses semula imej. Ketiga, digunakan untuk berkomunikasi iaitu ia menjelaskan bagaimana teknologi maklumat digunakan untuk berkomunikasi bagi mendapatkan maklumat daripada sumber kepada penerima.


    Penghasilan bahan teknologi maklumat: Persembahan Elektronik Multimedia

    Terdapat beberapa perisian yang boleh digunakan untuk menghasilkan Persembahan Elektronik Multimedia, sesuai digunakan dalam kelas. Antara perisian yang biasa digunakan ialah Microsoft Office Powerpoint.

    Sebelum membina persembahan elektronik multimedia Powerpoint, guru perlu memastikan elemen grafik yang digunakan menepati keperluan murid-murid. Grafik ialah kombinasi gambar-gambar, lambang-lambang, simbol-simbol, huruf, angka,perkataan, lukisan, lakaran yang dijadikan satu media untuk memberi konsep dan idea dari pengirim (guru) kepada sasarannya (murid) dalam proses menyampaikan maklumat. Grafik penting untuk menyediakan bahan-bahan pandangan (visual).

    Selain aspek grafik, reka letak visual juga mempengaruhi kualiti persembahan elektronik multimedia Powerpoint yang dihasilkan. Terdapat beberapa perkara yang perlu dikenalpasti oleh guru semasa menghasilkan sebuah persembahan elektronik multimedia Powerpoint iaitu:

    a. Simplisiti
    b. Dominan
    c. Pola
    d. Seimbang
    e. Warna
    f. Huruf


    a. Simplisiti
    Visual yang ditayangkan hendaklah dihadkan kepada satu idea. Idea yang banyak dalam satu visual akan mengelirukan dan seterusnya akan mengalih tumpuan murid keluar daripada objektif pembelajaran.

    b. Dominan
    Dominan bererti pusat penumpuan atau minat. Di dalam slaid persembahan Powerpoint, guru perlu mewujudkan sesuatu yang boleh menarik minat murid-murid. Sebagai contoh, jika guru ingin mengajar tentang negeri Kedah, guru boleh mempersembahkan gambar sawah padi bagi menimbulkan inkuiri murid. Dengan yang demikian, murid dapat mengekalkan minat untuk mengikuti pembelajaran yang seterusnya.

    c. Pola
    Pola merupakan susunan item-item dalam sesuatu rekaan visual. Susunan item perlulah mematuhi urutan yang rasional bagi memudahkan pemahaman murid. Sebagai contoh, guru menggunakan gambar anak panah bagi menunjukkan proses untuk membuat kain batik yang menjadi warisan tradisi di negeri Terengganu.

    d. Seimbang
    Guru perlu bijak untuk menggunakan ruang di dalam slaid persembahan. Keadaan kesamaan dari segi berat, tarikan dan tumpuan perhatian yang terdapat dalam suatu susunan slaid akan menjadikan persembahan lebih kemas dan teratur.

    e. Warna
    Warna merupakan satu elemen reka letak visual yang penting. Pemilihan warna yang tepat membantu keberkesanan persembahan. Warna mempunyai beberapa fungsi iaitu pertama, warna membantu membuat penegasan dan mewujudkan tumpuan. Kedua, warna memudahkan sesuatu item dilihat. Ketiga,warna mewujudkan perasaan harmoni dan melahirkan kesan tertentu seperti panas, sejuk, bergetar, kesan psikologi dan sebagainya kepada murid-murid.

    f. Huruf
    Pemilihan huruf juga penting dalam menghasilkan persembahan elektronik multimedia. Saiz dan jenis huruf mempengaruhi penerimaan murid-murid terhadapa apa yang disampaikan oleh guru. Guru perlu memilih jenis huruf yang senang dibaca. Penggunaan huruf besar hanya sesuai untuk tajuk yang pendek manakala untuk tajuk yang panjang, huruf bersaiz kecil digunakan mengikut kesesuaian. Guru juga perlu memastikan bahawa jarak di antara dua perkataan ialah 1atau 1 ½ lebar huruf. Biarkan ruang di antara huruf kelihatan sama walaupun jaraknya berbeza. Hurufan terang yang diletakkan di atas latar belakang gelap di dapati lebih jelas daripada sebaliknya.

    g. Tatahias dan kemasan
    Guru perlu memilih warna yang mempunyai kontras antara latar dengan imej atau teks. Selain itu, guru juga perlu memilih warna yang lembut dan selesa dipandang oleh penerima iaitu murid. Bagi memastikan slaid yang dihasilakn tersebut kemas dan teratur, gunakan empat warna sahaja dalam satu skrin/slaid. Tatahias warna juga dapat menjelaskan konsep atau menunjukkan penegasan. Contohnya slaid berlatarbelakangkan warna merah menunjukkan penegasan dan perhatian.


    Penyelenggaraan bahan teknologi maklumat: Persembahan Elektronik Multimedia.

    Setiap bahan bantu mengajar perlu diselenggara dengan baik termasuklah persembahan elektronik multimedia. Persembahan yang telah siap dihasilkan perlu disimpan dalam beberapa bentuk iaitu dalam bentuk dokumentasi (hard copy) dan dalam bentuk perisian (soft copy).

    Persembahan elektronik yang dicetak dan didokumenkan boleh dijadikan rujukan pada bila-bila masa manakala persembahan yang disimpan dalam bentuk perisian mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya ialah, isi kandungan di dalam persembahan elektronik tersebut boleh disunting pada bila-bila masa mengikut keperluan murid dan keperluan semasa. Selain itu, persembahan elektronik yang disimpan dalam bentuk perisian juga dapat disalin ke dalam alat-alat teknologi maklumat yang lain seperti cakera padat, thumb-drive dan lain-lain.


    6.0 Rumusan

    Sumber pengajaran ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru/ murid untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di dalam kelas. Peralatan mengajar bukan terhad kepada buku-buku teks, papan hitam, kapur dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran yang melibatkan semua pancaindera melihat, mendengar, rasa, hidu dan sebagainya, merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh murid-murid.

    Bahan bantu mengajar adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan program pembelajaran, menimbulkan rangsangan keinginan pelajar-pelajar untuk mengetahui sesuatu dan untuk menjadikan pembelajaran baik dan lebih menarik. Bahan bantu mengajar bukanlah merupakan sesuatu yang tersisih sifatnya daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Alat bantu itu mestilah dianggap sebagai satu bahagian yang padu dalam proses tersebut. Ia bertujuan untuk menambah kelancaran perhubungan antara guru dan murid dan sebaliknya, murid sesama murid serta membantu atau mempercepatkan proses pemahaman mereka.

    Teknologi pendidikan pula merupakan satu sistem yang meliputi alat dan bahan media, organisasi yang digunakan secara terancang bagi menghasilkan kecekapan dalam pengajaran dan keberkesanan dalam pembelajaran.

    Kecekapan guru menggunakan pelbagai sumber dalam pengajaran dan pembelajaran mampu merangsang pemahaman murid ke tahap yang cemerlang.

    07 January 2011

    Perkaitan pendapat tokoh dengan penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran

    Terdapat empat orang tokoh yang mempunyai pendapat dan kecenderungan yang berbeza dalam aspek penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran.

    Gagne - bahan bercetak.
    Bruner - penggunaan peta minda dan bahan eksperimen.
    Bandura - relia, model.
    Vygotsky - rakan sebaya, penggunaan bahan / sumber / alat.


    Gagne ("Conditions of Learning")

    Menurut pendapat gagne, beliau menyatakan bahawa perkembangan kanak-kanak dipengaruhi oleh faktor persekitaran, rangsangan, deria dan motivasi.

    Baca tambahan I.
    Baca tambahan II.

    Gagne juga berpendapat bahawa penggunaan bahan bercetak sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran mampu membantu murid menguasai pelajaran.



    Bahan bercetak meliputi buku, majalah, jurnal, ensiklopedia, surat khabar, kad katalog, kamus, buku teks dan sebagainya yang dihasilkan secara bercetak. Bahan bercetak seperti ini banyak disimpan di pusat sumber atau di perpustakaan atau pun di arkib. Semuanya dihasilkan oleh penulis-penulis atau pereka-pereka yang mahir dan terkenal dibidang masing-masing. Bahan ini akan diwarisi untuk dijadikan sumber rujukan bagi generasi hari ini dan dan datang.




    05 January 2011

    Konsep Asas Penilaian dan Pengukuran dalam P&P Pengajian Sosial

    Maksud dan perbezaan
    • Pengukuran
    • Pengujian
    • Penilaian
    • Pentaksiran

    PENGUKURAN

    Proses nilai-nilai kuantitatif seperti peringkat dan kedudukan. Pengukuran digunakan untuk menguji pencapaian. Proses ini dijalankan selepasa satu sesi pelajaran. Pengukuran juga digunakan untuk tujuan pengumpulan data.

    PENGUJIAN

    Menurut Gagne, pengujian merupakan cara yang sistematik untuk mengukur perubahan tingkahlaku individu. Pengujian juga merupakan satu proses bagi guru untuk menentukan perubahan tingkahlaku dan membuat pertimbangan nilai. Pengukuran membantu memberi maklumat tentang pencapaian objektif pelajaran, kaedah mengajar seseorang dan keberkesanan sesebuah kurikulum.

    PENILAIAN

    D. Stufflebeam menyatakan bahawa penilaian merupakan proses menentukan, mendapatkan dan memberi maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan mengenai tindakan selanjutnya.




    |Akan bersambung...|

    04 January 2011

    Budaya

    Budaya didefinisikan sebagai satu cara hidup yang menjadi kepunyaan bersama.

    10 November 2010

    Review Soalan Esei PSS 3111 10 Nov 2010

    Untuk rujukan adik-adik junior major Kajian Sosial yang akan melangkah masuk ke Semester 4PISMP nanti. Di sini ada beberapa perkongsian.

    Soalan esei PSS 3111 hari ini (10.11.2010) antaranya ditanyakan tentang:
    1. Rancang satu aktiviti pembelajaran luar bilik darjah mengikut perancangan sebelum, semasa dan selepas aktiviti.
    2. xingat...tp pengajaran mikro.
    3. Bina satu Rancangan Pengajaran Harian berdasarkan tajuk Gaya Hidup Sihat dibawah tema Sedia Menghadapi Cabaran.

    Tips:
    • Untuk soalan 1 - adik-adik kena tahu konsep Perancangan, Kerja Amali, Refleksi, Penyediaan portfolio dan Penilaian. (Ada di dalam huraian sukatan pelajaran di bawah point Projek Kewarganegaraan).
    • Bagi soalan 3 - adik-adik kena tahu tema yang diberi adalah untuk tahun berapa dan apa hasil pembelajaran yang diinginkan. Dalam penyediaan Rancangan Pengajaran Harian, adik-adik perlu pastikan susunan komponen seperti matapelajaran, tarikh, masa, tahun dan lain-lain berada dalam susunan yang teratur mengikut keutamaan.
    Difficulty: **** 4 star

    p/s:
    • admin baru selesai menjawab kertas ini.
    • jangan terlalu tumpu kepada soalan spot.
    • baca nota lagi selamat :)

    SEMOGA BERJAYA!

    PSS 3111 THEORY OF CONSTRAINTS FOR EDUCATION (TOCFE) DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH


    1. Pengenalan
    Theory of Constraints (TOC) adalah salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang inovatif daripada perspektif guru dan murid. Teknik ini dapat “menghidupkan” pengajaran dan pembelajaran sejarah sekaligus meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran ini.

    2.Apakah TOC?
    TOC adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah berdasar pemikiran yang logik dan sistematik. Teknik ini adalah sebagai satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid.

    3. Kelebihan TOC
    Menerusi perlaksanaan teknik TOC dalam pengajaran dan pembelajaran, murid dan guru berupaya;
    • mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran.
    • menyelesaikan masalah dengan berkesan.
    • membuat keputusan secara bertanggungjawab dan bersama.
    • berkomunikasi dengan baik dan
    • memperoleh pembelajaran sepanjang hayat.

    Melalui aplikasi teknik TOC, tiga kemahiran dapat digabungjalinkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu;
    • kemahiran berfikir secara kritis
    • kemahiran berfikir secara kreatif
    • kemahiran generik

    4. Aplikasi TOC dalam pendidikan
    Dalam pendidikan, teknik TOC boleh diaplikasikan menerusi;
    • kandungan kurikulum.
    • pengajaran dan pembelajaran konsep.
    • membuat keputusan berkaitan dengan permasalahan pembelajaran.
    • perancangan strategik untuk mencapai matlamat.

    Cadangan kaedah penggunaan teknik TOC dalam pendidikan adalah sebagaimana berikut;

    • sesi bercerita ( pemahaman konflik dan cara watak membuat keputusan).
    • kajian kes ( modifikasi kelakuan dan tingkah laku, pembelajaran nilai murni dan kerohanian).
    • Kandungan Huraian Sukatan Pelajaran ( kemahiran berfikir dan perancangan strategik).

    5. Teknik dalam TOC
    Dalam pendidikan terutamanya pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah, terdapat tiga teknik TOC yang boleh diaplikasikan iaitu;

    • Teknik Awan ( The Cloud )
    • Teknik Sebab dan Akibat ( Logic Branch )
    • Teknik Penyelesaian Masalah ( Problem Solving )

    5.1 Teknik Awan ( The Cloud )

    Teknik ini memikirkan tentang sesuatu kejadian, idea, situasi dan penyelesaian konflik yang bertentangan kehendak. Konflik yang hendak diselesaikan mungkin berbentuk konflik internal yang hanya melibatkan satu pihak sahaja atau konflik eksternal yang melibatkan dua pihak.

    5.2 Teknik Sebab dan Akibat (Logic Branch)

    Teknik ini menerangkan bagaimana sesuatu tingkah laku, idea atau kejadian mengakibatkan kesan-kesan berikutnya. Murid mampu menerangkan urutan perkara-perkara penting dengan cara hubungan yang logik. Murid juga mampu mengenalpasti hubungan sebab dan akibat dengan cara yang berfokus menerusi permulaan tindakan yang berentet-rentet.

    5.3 Teknik Penyelesaian Masalah (Problem Solving)

    Teknik penyelesaian masalah adalah satu teknik pengajaran yang bertujuan untuk memberi peluang dan ruang kepada pelajar lebih produktif dan bertukar pandangan dalam usaha untuk menyelesaikan persoalan yang dikemukakan kepada mereka. Teknik ini boleh digunakan bagi merancang langkah-langkah dengan sistematik secara kolaboratif untuk menghadapi dan mengatasi cabaran ke arah pencapaian matlamat yang telah ditetapkan.

    6. Aplikasi TOC dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah

    6.1 Teknik Awan
    i. Berpandukan teks, pelajar terlebih dahulu mengenalpasti konflik yang wujud.
    ii. Kenalpasti keperluan yang berdasarkan kehendak yang mencetuskan konflik.
    iii. Murid mempertimbangkan anggapan tertentu.
    iv. Kenal pasti pula matlamat bersama.
    v. Murid akan mencari penyelesaian ‘win-win’ ke arah tercapainya matlamat bersama.

    6.2 Teknik Penyelesaian Masalah
    i. Murid mengenal pasti matlamat yang hendak dicapai dengan berpandukan kepada teks yang dikemukakan.
    ii. Murid mengenal pasti pula cabaran-cabaran yang menghalang pencapaian matlamat.
    iii. Kemudian murid mencari langkah-langkah untuk mengatasi cabaran supaya matlamat dapat dicapai.

    7. Kesimpulan

    Menerusi kaedah TOC pelajar dapat menguasai dan mengaplikasikan kemahiran berfikir dan penyelasaian masalah berdasarkan pemikiran yang logik dan sistematik. Di samping itu setiap keputusan yang dibuat oleh murid untuk menyelesaikan sesuatu masalah adalah dibuat dengan bertanggungjawab dan secara kolektif. Menerusi kaedah TOC juga, murid mampu berkomunikasi dengan baik .



    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...