HUBUNGI SAYA

HUBUNGI SAYA
STESEN BERKHIDMAT SEMASA

Pembaca Setia

29 October 2011

Penilaian Melalui Projek

Projek ialah satu aktiviti pembelajaran yang dijalankan dalam satu tempoh masa yang tertentu. Ia biasanya melibatkan kutipan serta analisis data persediaan satu laporan yang betul. Dalam konteks kurikulum sekolah, projek bermaksud secara amali. 

Tugasan ini boleh dijalankan secara individu atau secara berkumpulan dan dilaksanakan dalam satu jangka masa yang munasabah. Penilaiannya dijalankan pada setiap tahap proses sehinggalah kepada tahap hasil disediakan.

Penilaian cara ini berupa aktiviti aktiviti yang memerlukan pelajar mengaplikasi atau membuat tunjuk cara pengetahuan dan kemahiran dalam situasi sebenar. (Wiggins, 1989).


Apakah tujuan pembelajaran Projek ini?
  • Menggalakkan pelajar bekerjasama dan memikul tanggungjawab
  • Memberi kebebasan pelajar untuk menunjukkan kreativiti dan inovasi. 
  • Memberi peluang pelajar menggunakan bahan sumber yang terdapat di luar bilik darjah.


Ciri-ciri Penilaian Projek
  • Projek mempunyai pelbagai reka bentuk ( lisan, visual, kinestetik ).
  • Jangka masa yang panjang
  • Menunjukkan peranan sebenar dalam situasi sebenar.
  • Pelajar boleh membina penyelesaian alternatif. Tidak ada satu jawapan yang benar.
  • Pelajar perlu melibatkan diri secara aktif sama ada ketika menyediakan projek atau dalam kumpulan.
  • Tugasan boleh dilaksanakan secara kumpulan atau individu.
  • Merupakan peluang menilai pelajar dalam kreativiti, kemahiran merancang, integrasi pengetahuan, kebolehan membuat tugasan bersama orang lain. 
  • Pelajar menunjukkan kebolehan mengkaji/membentukkan sesuatu.
  • Pelajar melaksana dan menghasilkan sesuatu.
  • Pelajar mengamalkan kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah.

Jenis-jenis penilaian Projek
  • Latihan dan soalan ‘open-ended’ untuk pelajar meneroka secara lisan atau bertulis.
  • Extended tasks assignment seperti menulis puisi, melaksana dan menerangkan keputusan ujikaji, membina model.
  • Portfolio-koleksi tugasan berdasarkan prestasi.
  • Tugasan prestasi – drama, lakonan, persembahan, poster atau model.

Langkah-langkah untuk menjalankan Projek.

Langkah 1 : Penentuan tajuk dan skop Projek.
Langkah 2 : Penilaian awal projek.
Langkah 3 : Pelaksanaan strategi.
Langkah 4 : Pemprosesan Maklumat.
Langkah 5 : Penilaian hasil projek.

Perbezaan ujian sumatif dan ujian formatif

Perbezaan antara ujian formatif dan sumatif pada asasnya berdasarkan skop kemahiran, jangka masa P&P atau objektif pengajaran dan pembelajaran yang hendak diuji.

Ujian Formatif
Ujian Formatif adalah bahan atau alat ujian yang dibina oleh guru untuk menguji sesuatu kemahiran atau subkemahiran bahasa yang diajar. Biasanya skop pengajaran dan pembelajaran ujian tersebut agak terhad dan tidak luas.Tujuan utama guru menjalankan ujian formatif untuk memperbaiki lagi mutu proses pengajaran dan pembelajaran. Ujian Formatif dapat mengesan kelemahan dan pembelajaran murid secara serta-merta. Biasanya ujian ini dijalankan dalam bentuk pemerhatian atau pun dalam satu siri ujian yang pendek.

Ujian Sumatif
Ujian sumatif ialah proses penilaian yang dijalankan secara menyeluruh pada akhir satu peringkat pembelajaran untuk menentukan tahap pembelajaran dalam kalangan murid. Skop pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk Ujian Sumatif diasaskan dan dibina secara luas dan melibatkan kesemua kemahiran dan aspek bahasa.

Penilaian Melalui Portfolio

Penilaian Melalui Porfolio

Portfolio ialah satu kaedah yang digunakan oleh guru untuk mengumpul dan merekod bukti pencapaian pelajar dalam satu jangka masa yang dipersetujui bersama. Terdapat beberapa jenis portfolio untuk tujuan dan konteks pembelajaran yang berbeza. Selain portfolio, rekod anekdot dan lain-lain bukti pembelajaran yang lain boleh digunakan untuk menghasilkan penilaian yang menyeluruh.
Portfolio berbentuk dokumentasi yang berstruktur. Ia memerlukan perancangan, pelaksanaan dan penilaian yang teliti. Proses pembelajaran dijalankan secara kolaboratif untuk mencapai kefahaman dan mendokumentasikan pemikiran secara kritis dan kreatif serta pemilihan maklumat dan fakta dari peringkat awal hingga ke akhir.

Tujuan portfolio ialah untuk :
  • Memberi peluang pelajar mendokumentasi kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh melalui pengalaman sewaktu menyempurnakan tugasan.
  • Menggalakkan pelajar menyemak dan menganalisis pembelajaran mereka secara sistematik.
  • Menyediakan ruang pelajar membuat refleksi dan menentukan matlamat peribadi.
Kegunaan Portfolio
  • Menilai perkembangan dalam satu tempoh (authentic assessment).
  • Menilai perkembangan kemahiran dan kebolehan.
  • Digunakan bagi menggambarkan keperluan spesifik dalam penyempurnaan gred.
  • Menilai secara sumatif pembelajaran.
  • Menunjukkan kesesuaian kurikulum dan kejayaan pelajar

Ciri-ciri Portfolio
  • Menggambarkan sejelas-jelasnya aktiviti pelajar iaitu rasional, matlamat, halatuju, prosedur kerja, pengalaman dan harapan.
  • Sesuatu yang dilaksanakan oleh pelajar secara auntentik. Ini adalah kaedah konkrit untuk pelajar menghasilkan kerja melalui pengalaman sendiri ketika melakukan kerja-kerja amali atau kerja-kerja lapangan.
  • Menunjukkan perlakuan pelajar yang dibimbing oleh guru seperti ulasan, komen, dan cadangan harus direkod untuk menghadapi dan mengatasi sesuatu tugasan pembelajaran.
  • Membuat catatan pembimbing yang membantu pelajar merenung dan membuat refleksi tentang kerja yang dibuat untuk menentukan tindakan susulan.
  • Kriteria penilaian yang dipilih diterangkan dan dipersetujui bersama dengan pelajar sebagai penggalak kepada pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif.

Jenis-jenis Portfolio Yang Boleh Dibina. 
  • Portfolio Kerja Harian
  • Portfolio Hasil Terbaik
  • Portfolio Dokumen

Kebaikan Penilaian Portfolio 
  • Penglibatan murid sepenuhnya dalam pengajajaran dan pembelajaran
  • Guru mendapat banyak maklumat untuk menilai pencapaian muri-murid
  • Merupakan satu cara untuk menilai tahap perkembangan murid-murid
  • Dapat memotivasikan murid-murid dan meningkatkan tahap kefahaman kendiri mengenai tugasan pembelajaran yang diberi oleh guru.

ujian kefasihan

Ujian Kefasihan bertujuan untuk menentukan setakat manakah seseorang telah mengetahui dan menguasai sesuatu bahasa secara keseluruhan.

Ujian ini menilai kebolehan umum seseorang terhadap bahasa yang dipelajarinya. Biasanya ujian ini digunakan untuk menempatkan seseorang dalam kumpulan pembelajaran yang sesuai dengan pengetahuan dan kebolehan mereka.

Ujian pencapaian

Ujian ini boleh dijalankan pada akhir kursus atau setelah tamatnya sesuatu unit pembelajaran.Sejauh mana sesuatu kemahiran itu dikuasai dalam satu jangkamasa yang ditetapkan boleh ditentukan melalui dua set ujian yang berlainan. Ujian ini dinamakan ujian pra dan ujian pos.

Ujian diognastik

Ujian diagnostik merupakan satu instrument yang digunakan untuk mengukur daerah kelemahan murid secara terperinci. melalui ujian ini, guru dapat mengenal pasti apakah masalah sebenar murid di peringkat awal. Hal ini secara tidak langsung akan memudahkan guru merancang kejayaan program Pemulihan kelak.

Ujian diagnostik dibina berdasarkan beberapa perkara iaitu :
soalan dibahagikan kepada beberapa bahagian :
  • Diagnostik Pengamatan
  • Diagnostik Lisan
  • Diagnostik Tulisan

Diagnostik Pengamatan
Tujuan pelaksanaan ujian ini adalah untuk mengesan kelemahan keupayaan murid seperti gerak mata, koordinasi mata-tangan dan kecekapan saraf. Sebahagian soalan mengandungi arahan-arahan yang perlu disebut oleh guru dan dilakukan oleh murid.


Diagnostik Lisan
Tujuan pelaksanaan ujian ini adalah untuk mengesan kelemahan keupayaan murid seperti pertuturan, gagap, gerak mata, membaca, menyebut, mengeja, membatang perkataan. Sebahagian soalan ada meminta murid memberikan pendapat mengenai sesuatu gambar yang ditunjukkan.


Diagnostik Tulisan
Tujuan pelaksanaan ujian ini adalah untuk mengesan kelemahan keupayaan murid dari segi pergerakan tangan dan mata. Murid diuji secara langsung berdasarkan soalan dalam aspek koordinasi mata dan tangan, kekemasan menulis, menulis dengan cermat, tulisan yang boleh dibaca, setara dan berstruktur. Sebahagian soalan akan menyerlahkan kesilapan murid semasa menulis seperti menulis terbalik, menulis tidak mengikut susunan, tulisan comot, struktur ayat yang bercampur aduk hufur besar dan kecil.

Selesai pelaksanaan ujian diagnostik, guru bolehlah membuat analisa setelah mengetahui daerah kelemahan murid. Di sini, guru perlu mengasingkan murid mengikut daerah kelemahan masing-masing. sekiranya murid A, B dan F tidak boleh mengeja suku kata KV+KVKK, guru perlu meletakkan mereka dalam satu kumpulan. Jika murid C, G dan H tidak boleh membina ayat, mereka perlu diasingkan dalam satu kumpulan yang lain.

Ujian bakat dalam pentaksiran bahasa Melayu

Ujian bakat bertujuan mengesan bakat seseorang dalam menguasai bahasa asing.

Ujian bakat biasanya melibatkan data-data bahasa yang mengandungi unsur-unsur bahasa seperti fonetik,tatabahasa dan kosa kata. 

Melalui ujian ini murid-murid akan melakukan berbagai-bagai aktiviti bahasa seperti meniru penyebutan bunyi-bunyi, mengubah bentuk, atau struktur sesuatu bahasa, menentukan makna berdasarkan konteks dan sebagainya. 

Setelah hasil ujian dianalisis guru dapat mengenal pasti murid-murid yang berbakat dan berpotensi untuk mempelajari sesuatu bahasa dengan cepat.

Pentaksiran

Pentaksiran ialah satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan.

Maklumat meliputi halhal berkaitan topik, bukti dan prestasi. Penghakiman melibatkan hal-hal seperti pertimbangan dan pencapaian aspek pendidikan, manakala produk pula melibatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Proses pendidikan pula melibatkan operasi, dapatan dan hasil. Aspek-aspek utama dalam pentaksiran ialah:-

i. Instrumen
ii. Kumpulan yang ditaksir
iii. Respon
iv. Kumpulan yang menaksir
v. Skor

Jenis-jenis soalan objektif dalam pengujian dan penilaian kemahiran bahasa Melayu.

Ujian Objektif

Item ujian jenis objektif ini memerlukan pelajar menulis atau memilih satu jawapan yang betul atau yang paling baik. Antara item ujian ini termasuklah:

1. Item Respons Bebas
i. Jenis soalan:
 
contoh:
a) Apakah lawan bagi perkataan rajin? ( malas)
b) Apakah makna simpulan bahasa kaki ayam? (tidak memakai kasut)

ii. Item Melengkapkan Penyataan

contoh:
a) Kita mesti _______bermain sekarang kerana hujan sudah turun.
b) Saya terpaksa ________ adik saya kerana emak saya bekerja.


2. Item Respons Tetap ( Item Objektif Jenis Pilihan)
Soalan jenis ini memerlukan pelajar memilih jawapan betul atau paling tepat. Jawapan mungkin dipilih daripada dua atau lebih pilihan. Item-item itu ialah format salah-betul, padanan, dan aneka pilihan.


3. Item Salah - Betul
Item ini dikenali sebagai Item Dua Pilihan iaitu item yang mengandungi penyataan yang perlu ditandakan dengan dua pilihan sahaja iaitu: betul (B) atau salah (S). Ada ketika guru menggunakan setuju (S) atau tidak setuju (TS) pada penyataan atau ya (Y) atau tidak (T) pada soalan.


4. Item Padanan
Item Padanan atau Suaian biasanya mengandungi dua kumpulan objek/ perkara yang berkaitan. Pelajar dikehendaki memilih jawapannya dengan memadankan objek/ perkara yang berkaitan di sebelah kiri dengan objek/ perkara di sebelah kanan.


5. Item Aneka Pilihan
Item aneka pilihan adalah daripada golongan item jawapan tetap kerana diberikan tindak balas terbatas. Jenis item aneka pilihan adalah seperti yang berikut.

a. Item aneka pilihan berbentuk soalan
b. Jenis jawapan terbaik
c. Analogi


6. Item Jenis Cantuman
Teknik Kloz

Teknik menggunakan ujian kloz, sebagai alat bagi menguji kefahaman bacaan boleh digunakan untuk pelajar-pelajar sekolah rendah . 

Sungguhpun teknik kloz memerlukan prosedur tertentu dari segi pembinaan ujian, pentadbiran dan pemarkahan, ini semua tidak sukar dilakukan, dan sepatutnya boleh diuruskan oleh guru-guru Bahasa Melayu. 

Dalam ujian kloz pelajar diminta mengisi tempat kosong yang telah sengaja dikosongkan oleh guru/ penguji dalam sesuatu keratan bacaan. Pada mulanya, pelajar diminta melihat dan membaca keratan itu secara keseluruhannya. 

Kemudian, berasaskan kefahaman mereka ke atas teks itu keseluruhannya, mereka akan mencuba mengisi tempat yang dikosongkan dengan perkataan yang paling sesuai menurut makna keseluruhan teks.

Penggunaan soalan subjektif sebagai medium untuk menguji kemahiran bahasa murid.

Jenis-jenis Ujian
Berikut ialah beberapa jenis ujian iaitu ujian objektif dan ujian subjektif.

Soalan Subjektif
Soalan jenis subjektif terbahagi kepada beberapa pecahan seperti berikut:-
  • Item Jenis Struktur
  • Item Jenis Esei
  • Pembinaan Ujian
Kelebihan menggunakan soalan subjektif 
  • Lebih mudah digubal - Tidak banyak soalan.
  • Sesuai untuk semua subjek. Contoh, matematik, sains dan sebagainya.
  • Sangat sesuai untuk keenam-enam aras Taksonomi Bloom.
  • Boleh membuat analisis dan menintegrasikan idea-idea.
  • Kurangkan konsep tekaan / 'skor nasib'.
Kesahan
Penilaian dan Pengujian soalan subjektif mempunyai “Kesahan” (validity) yang tinggi.

a. Kesahan Isi
b. Kesahan Ramalan
c. Kesahan Serentak
d. Kesahan Gagasan

Kebolehpercayaan Ujian Soalan Subjektif
Kebolehpercayaan merujuk kepada ciri skor berhubung dengan ketepatan dan ketekalan skor bagi menggambarkan prestasi calon dalam perkara yang diuji.

05 October 2011

Grafik

Grafik merupakan antara media yang paling utama dan popular digunakan bagi memperlihatkan keterampilan sesebuah aplikasi multimedia. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, grafik membawa maksud ‘perkara berkenaan lukisan atau ukiran’. Dalam hal ini, penggunaan grafik dalam sesuatu persembahan maklumat berkomputer adalah bukan hanya berperanan untuk menonjolkan keindahan atau kecanggihan senibina sesebuah program multimedia tetapi juga berperanan sebagai suatu sumber penyampaian sesuatu maklumat yang amat berkesan. 

Grafik juga memberikan maksud penggunaan visual untuk menerangkan konsep yang tidak dapat atau sukar diterangkan oleh teks. Ia mampu menambah daya tarikan kepada sesuatu paparan atau persembahan. Grafik juga dapat mempercepatkan penyampaian sesuatu maklumat dan dapat memberikan penerangan yang jelas, tepat dan konsisten antara individu yang berbeza.

Grafik dikatakan sebagai sumber penyampai maklumat yang amat berkesan kerana segala bentuk mesej yang diterima oleh manusia melalui penglihatan mereka dapat diterima secara terperinci dan ianya mempunyai daya ketahanan serta daya ingatan yang tinggi.

Grafik berkomputer pula merujuk kepada sebarang imej yang dihasilkan menggunakan sebarang jenis komputer (PC, Macintosh, Silicon Graphicsdan sebagainya). Imej berkomputer ini boleh merujuk kepada imej yang mudah seperti garisan atau bulatan ataupun yang lebih kompleks seperti fractal iaitu imej kompleks yang dihasilkan oleh komputer dari formula atau kod pengaturcaraan yang tertentu.

Kepentingan Grafik 

Grafik sangat penting kerana paparan visual grafik mampu menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih berkesan. Grafik seperti lukisan, gambarfoto atau carta misalnya amat membantu di dalam menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih pantas dan efektif. Visualisasi merupakan antara proses yang amat penting dalam komunikasi maklumat dan grafik boleh digunakan untuk tujuan ini bagi meningkatkan penekanan terhadap sesuatu maklumat. Ia juga berperanan bagi menarik perhatian pengguna, mengilustrasikan sesebuah konsep dan juga bertindak sebagai latar belakang bagi sesuatu konsep. 

Penggunaan grafik di dalam kebanyakan halaman web mampu menjadikan sesebuah halaman internet itu menjadi lebih ceria, menarik dan menyegarkan mata memandang serta menghidupkan lagi suasana pencarian maklumat di sesebuah laman web.

Kajian Tindakan: Meningkatkan Keupayaan Murid untuk Mengingati Barangan Dagangan Di Zaman Kesultanan Melayu Melaka Melalui Kaedah Grafik dalam Kalangan Murid Tahun Lima

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...