Masyarakat negara yang berbilang bangsa kini terikat dengan arus pemodenan dan era globalisasi yang sentiasa menuju ke arah kemajuan dalam pelbagai aspek. Walaubagaimanapun, kebangkitan kemajuan yang semakin menjulang naik kini tidak seharusnya mengikis nilai-nilai murni yang sudah berkurun lamanya diamalkan. Masyarakat di negara kita ini amat dikenali dengan budaya timur yang mementingkan adab dan perlakuan-perlakuan yang baik.
Kita perlu mencontohi budaya dan nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh Masyarakat Melayu Melaka suatu ketika dahulu. Nilai-nilai murni tersebut perlu menjadi pegangan masyarakat masa kini ke arah membudayakan budaya timur yang penuh dengan kesantunan.
Persoalannya, apakah nilai-nilai yang boleh dicontohi oleh masyarakat masa kini? Terdapat pelbagai nilai yang baik yang telah ditunjukkan oleh masyarakat Melayu Melaka semasa zaman kegemilangannya. Setiap nilai-nilai tersebut mempunyai rasionalnya yang tersendiri supaya kita dapat mempelajari, mencontohi dan meneladani apa yang telah dicapai oleh mereka suatu ketika dahulu.
Pertama ialah nilai menghormati pemimpin. Nilai ini amat penting untuk diamalkan di dalam sesebuah kerajaan atau negara. Jika rakyat menghormati pemimpin, maka negara akan sentiasa berada dalam keadaan yang sejahtera, harmoni dan pentadbiran akan menjadi lancar tanpa sebarang gangguan. Buktinya, ketaatan dan kepatuhan yang ditunjukkan oleh Orang Laut kepada Sultan Melaka ketika mempertahankan kedaulatan Melaka daripada pelbagai ancaman musuh telah menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang aman dan mashyur. Negara yang harmoni pula akan mewujudkan suasana ekonomi yang sihat. Sebagai contoh, Melaka menjadi sebuah pusat perdagangan yang terhebat pada zaman kegemilangannya. Kejayaan ini dicapai kerana keadaan di Melaka ketika itu amat tenteram dan selamat. Kepatuhan pembesar-pembesar Melaka melaksanakan urusan pentadbiran yang cekap atas arahan Sultan Melaka telah menarik minat pedagang-pedagang asing untuk berniaga di Melaka malah ada yang memilih untuk menetap di Melaka.
Dalam suasana masyarakat kita sekarang, nilai saling menghormati pemimpin perlu diamalkan dan dihayati dengan sedalam-dalamnya. Jika kita tidak menghormati pemimpin, bagaimanakah kita ingin mencapai kejayaan sebagaimana yang telah dicapai semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka? Perbalahan, pertikaian dan perasaan tidak puas hati antara rakyat dan pemimpin perlulah dilupuskan. Hal ini kerana, perkara-perkara sedemikian hanya akan membawa kemudaratan dan kekacauan seterusnya menjejaskan kesejahteraan hidup kita sendiri. Zaman Kesultanan Melayu Melaka telah membuktikan bahawa nilai menghormati pemimpin mampu menghasilkan sebuah kerajaan yang hebat.
Kedua ialah nilai kesungguhan menuntut ilmu. Ilmu pengetahuan merupakan nadi pembangunan sesebuah bangsa. Tanpa ilmu, maka sesebuah bangsa itu akan menjadi lemah dan mundur jika dibandingkan dengan bangsa yang gigih menuntut ilmu dan menguasai pelbagai kemahiran. Semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, sultan amat menitikberatkan pembelajaran ilmu agama. Sebagai contoh, Sultan Melaka pernah menjemput ulama dan dan mengajar agama Islam di Melaka. Baginda juga sanggup menjadikan Istana Melaka sebagai tempat untuk mempelajari ilmu tentang pengetahuan Islam. Selain itu, istana juga menjadi tempat menterjemah dan mengumpul kitab agama. Ajaran agama Islam semakin maju dan berkembang di surau, madrasah dan masjid. Tempat ini menjadi pusat pengajian agama bagi golongan rakyat di Melaka. Berdasarkan kepada penyataan di atas, maka dapatlah disimpulkan bahawa kejayaan semasa zaman Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka sedikit sebanyak dipengaruhi oleh penguasaan ilmu yang mereka miliki. Oleh itu, kita perlu mencontohi nilai murni ini supaya kita juga mampu menjadi bangsa yang berilmu. Bangsa yang berilmu mampu menjana kejayaan sesebuah negara samaada dari segi penjanaan ekonomi, teknologi dan sebagainya. Negara yang memiliki bangsa yang kaya dengan ilmu akan dipandang tinggi dan dihormati oleh negara-negara yang lain.
Ketiga ialah nilai saling bekerjasama. Nilai saling bekerjasama yang diamalkan oleh masyarakat semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka perlu dicontohi oleh masyarakat pada masa kini. Selepas kedatangan Islam ke Melaka, rakyatnya yang beragama Islam sering bergotong –royong untuk mengadakan pelbagai majlis keramaian dan keagamaan seperti upacara berkhatam al-Quran, kenduri arwah dan kesyukuran. Nilai kerjasama dapat mewujudkan perpaduan sesama masyarakat dan seterusnya mendorong ke arah kewujudan sebuah negara yang penyayang dan harmoni. Masyarakat pada masa kini dilihat semakin meminggirkan budaya bekerjasama. Gaya hidup yang sentiasa sibuk membataskan pergaulan mereka sesama masyarakat setempat. Sebaiknya perkara seperti ini dielakkan dan diubah ke arah yang lebih positif. Kita harus meneladani sikap masyarakat semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka jika kita hendak menjadi masyarakat yang berjaya.
Nilai yang seterusnya ialah saling bermuafakat dan berbincang antara satu sama yang lain. Sultan Mansur Syah semasa zaman pemerintahannya sentiasa memastikan semua pembesarnya agar bermusyawarah dan berbincang sekiranya ingin membuat sebarang keputusan. Baginda berbuat demikian agar setiap keputusan yang dicapai dapat memberi manfaat kepada setiap rakyatnya. Begitulah pentingnya amalan bermuafakat semasa zaman pemerintahan baginda sultan. Jika diteliti dengan sehalus-halusnya, nilai bermuafakat ini mampu memberi kesan yang begitu mendalam ke atas diri setiap individu. Dengan bermuafakat, kita dapat mencapai satu keputusan dengan sebulat suara dan dengan bermuafakat juga kita dapat mengelakkan timbulnya perasaan tidak puas hati dan perbalahan sesama masyarakat. Jadi, kita sebagai seorang rakyat yang hidup bermasyarakat di dalam sebuah negara yang berbilang bangsa perlulah mengamalkan permuafakatan dan sentiasa bermusyawarah bagi mengekalkan keharmonian negara yang tercinta.
Sebagai kesimpulannya, segala nilai murni yang telah ditunjukkan oleh masyarakat semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka perlulah diteladani kerana segala yang baik itu akan mendatangkan kesan yang baik dan begitu juga sebaliknya. Kejayaan sesebuah bangsa, empayar atau negara bermula dengan nilai-nilai murni yang diamalkan. Oleh itu, masyarakat pada masa kini perlulah mengambil iktibar daripada segala yang telah dinyatakan. Sejarah mengajar kita mengenal asal usul dan sejarah memberitahu kita apa yang patut kita lakukan dan apa yang tidak patut kita lakukan.