Pembaca Setia

13 May 2012

PROSES KAUNSELING KELOMPOK


Dalam proses perkembangan Kaunseling Kelompok, terdapat beberapa fasa atau peringkat yang perlu berlaku dan perlu dilalui oleh kaunselor dan klien-kliennya untuk memastikan sesuatu Kaunseling Kelompok itu mencapai kejayaan serta keberkesanannya.


Fasa-fasa yang perlu berlaku dalam proses Kanseling Kelompok ialah fasa pengenalan atau permulaan, fasa konflik dan konfrontasi, fasa perkembangan dan bersepadu, fasa hasil dan akhir sekali ialah fasa penamatan.
Setiap fasa-fasa dalam proses perkembangan Kaunseling Kelompok ini mempunyai sifat-sifat dan ciri-cirinya yang tersendiri dalam menentukan sesi Kanseling Kelompok itu mencapai matlamatnya.
 

FASA PENGENALAN DALAM PROSES KAUNSELING KELOMPOK
 
Fasa yang pertama ialah fasa pengenalan atau peringkat permulaan. Peringkat ini biasanya akan dimulakan dengan sesi berkenalan secara ringkas oleh ahli-ahli kelompok. Kepercayaan di antara ahli-ahli kelompok masih belum wujud dan masih diragui. Selain itu, ahli-ahli kelompok juga akan menerangkan tujuan mengikuti sesi  itu dan apa yang ingin mereka capai melalui kelompok itu (Zuraidah,1999).
 
Matlamat dan tujuan utama fasa pengenalan ini adalah untuk mengekalkan kelompok dan  membina asas yang kukuh dalam sesuatu kelompok yang dibentuk. Dalam tahap ini juga, ahli-ahli kelompok dengan kaunselornya boleh membina hubungan yang mesra, terbuka , bebas, ikhlas  serta jujur  di mana hubungan ini boleh menambahkan kejelikitan di antara mereka dalam menghadapi dan mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi (Malek,2007).

Tugas-tugas ahli pada peringkat permulaan
  1. Penglibatan dan mencari identiti diri di mana ahli menyeimbangkan identiti diri dengan komitmen kepada kelompok.
  2. Setiap ahli digalakkan untuk berkenalan dengan ahli kelompok supaya mereka berasa lebih selesa untuk berkongsi maklumat sepanjang sesi kelompok berlangsung.
  3. Membina kepercayaan di kalangan ahli. Ahli juga perlu memiliki tahap kepercayaan yang tinggi bagi menggalakkan penglibatan mereka dalam sesi Kaunseling Kelompok.


Peranan Pemimpin pada peringkat permulaan
  1. Memulakan proses  berkenal-kenalan antara satu sama lain.
  2. Menjadi model dalam sesi kaunseling seperti cara percakapan, penerimaan tanpa syarat, kejujuran, keterbukaan dan lain-lain.
  3. Pemimpin mesti membuat penstrukturan
  4. Pemimpin juga perlu membantu mengenal pasti matlamat kelompok
  5. Pemimpin perlu menjelaskan soal peranan dan batas-batas kemampuan serta etika setiap ahli daripada segi penglibatan dalam kelompok.
  6. Pemimpin juga perlu mengajar kemahiran komunikasi asas kepada ahli lain seperti kemahiran mendengar dan memberi respon.


FASA KONFLIK

Fasa konflik adalah peringkat kedua selepas peringkat pertama iaitu selepas fasa pengenalan atau orientasi. Menurut  Zuraidah Abdul Rahman (2006), fasa konflik timbul apabila sifat-sifat tidak puas hati terhadap ketua kumpulan (Kaunselor) dan kegagalan kumpulan mengemukakan sesuatu pembaharuan dalam kumpulan itu.
 
Pada fasa ini, ahli-ahli masih lagi ‘bertopeng”, berasa gemuruh, ragu dan berasa tidak selamat. Akibatnya, timbullah tingkah-tingkah laku yang bertentangan seperti menarik diri, berprasangka buruk, suka menyalahkan orang lain dan rendah diri. Pada peringkat ini juga timbulnya ahli yang bersifat monopoli dan memusuhi kelompok dan ditunjukkan melalui tingkah laku berjenaka dan sindiran secara sinis.
 
Terdapat tiga kategori konflik yang biasanya dialami dalam kelompok.
  1. Konflik yang berpunca daripada dalaman diri ahli.
  2. Konflik yang wujud antara ahli kelompok.
  3. Konflik yang berlaku antara ahli dengan pemimpin kelompok.


Beberapa tanda-tanda peringkat konflik.
  1. ahli mula bertelingkah, mula mengeji dan mengkritik ahli lain serta kaunselor di luar kelompok
  2. ahli yang berhasrat meninggalkan kelompok dan cuba mempengaruhi rakan lain,
  3. ahli kurang mendengar dan tidak begitu menyokong,
  4. ahli suka merungut dan mengatakan kelompok tidak berfaedah,
  5. ahli kurang rela mengambil bahagian,
  6. ahli yang mula datang lewat dan tidak hadir, enggan bercakap dan sengaja mendiamkan diri serta ahli berasa kecewa kerana matlamatnya tidak diberi perhatian.


Peringkat ini merupakan peringkat yang paling mencabar dan sukar bagi kaunselor tetapi dia harus sedar bahawa kehadirannya adalah penting bagi kelompok. Kaunselor perlu mantap menguruskan kelompok yang menghadapi konflik dengan cara yang sesuai dan berkesan. 

Antara tindakan kaunselor yang sepatutnya
  1. Bersikap positif
  2. Mendengar dengan aktif
  3. Buat rumusan berkaitan perbezaan pendapat
  4. Nilai kesan konflik kepada anda dan kelompok
  5. Guna teknik yang sesuai


FASA BERSEPADU
 
Hansen dalam Mohamed Fadzil dan Rasidah (2002), fasa bersepadu yang merupakan peringkat di mana wujudnya suasana kemesraan dan kepercayaan bersama. Ini disebabkan ahli-ahli dalam kelompok mula berasa selesa dan boleh berinteraksi dengan lebih terbuka sesama mereka. Menurut Ida Hartina (2006), peringkat ini memperlihatkan penyatuan di kalangan ahli di mana mereka menerima antara satu sama lain dan bermulanya satu hubungan yang lebih produktif dan seterusnya memudahkan kelompok digerakkan ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan. Ahli-ahli kelompok dapat bekerjasama, saling percaya, memahami dan menghormati antara satu sama lain. Ahli-ahli mendapat manfaat kerana kesediaan berkongsi dan berbincang akan menghasilkan banyak pendapat, idea dan pengetahuan yang sekaligus dapat membantu ahli sendiri.

Ciri-ciri fasa ini:
  1. kewujudan rasa kepercayaan yang tinggi akan memberi keyakinan dan keselesaan di kalangan ahli-ahli. Menurut Malek Muhamat Said (2007) keadaan ini menggalakkan ahli-ahli melibatkan diri dalam komunikasi terbuka, menerokai masalah, berkongsi emosi, pengalaman dan bekerjasama memberi pendapat yang jujur .
  2. Menurut Corey dalam Ida Hartina (2006), berlaku interaksi yang lebih bebas dan berterus-terang.
  3. Ahli-ahli tidak berasa kekok atau terancam untuk meluahkan perkara yang ingin dibincangkan.
  4. Ahli kelompok bersedia mengambil risiko dengan membuat pendedahan rahsia diri dan merasakan hak kepunyaan bersama dalam sesebuah kelompok itu.
  5. Wujudnya empati, jujur, ikhlas, penerimaan, kasih mesra dan kejelikitan menyebabkan kelompok semakin matang.
  6. Menurut Zuraidah Abdul Rahman (1999) ahli-ahli kelompok akan mengelakkan perselisihan faham dan mengurangkan amalan memihak sebaliknya pada peringkat ini, ahli mementingkan norma-norma kumpulan.
  7. Maklumbalas ahli lain diterima atau ditolak dengan berhati-hati tanpa perasaan defensif atau kecil hati.

Kaunselor yang berfungsi sebagai pemimpin juga memainkan peranan:
  1. membekalkan pengukuhan secara sistematik pada tingkah laku yang meningkatkan perpaduan dan produktiviti.
  2. bijak mengawal isu agar isu yang dibincangkan dapat dikongsi di kalangan ahli dan tidak tertumpu kepada seseorang ahli atau sesuatu topik sahaja.
  3. memodelkan sikap yang bersesuaian untuk dicontohi oleh ahli.
  4. mendorong, menggalak dan menyokong kesediaan ahli mengambil risiko serta mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
  5. menggalakkan ahli menumpukan kepada matlamat dan berusaha mencapainya selain melakukan perubahan positif dan berterusan.



FASA KEJAYAAN
 
Salah satu peringkat yang penting dalam kaunseling kelompok ini ialah peringkat keempat iaitu Fasa Kejayaan.  Menurut Tang Chee Yee (1989), Fasa kejayaan ini juga turut dikenali sebagai Fasa penyelesaian masalah. 

Peringkat ini memecahkan masalah dan semua mesti terlibat dan sama-sama merancang.  Ahli-ahli diberi peluang menyelidik masalahnya lebih dekat, berbincang tentang pilihan resolusi dan mencuba tingkahlaku baharu. Ahli menyokong sesama sendiri dan kerjasama erat sekali.  Peringkat ini memperlihatkan peringkat berfungsi dan produktiviti.

Kaunselor dalam fasa ini haruslah pandai memainkan peranannya terutama dalam memastikan kejayaan akan dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya kaunselor dapat membantu klien meletakkan keutamaan ke atas masalah yang telah dikenal pasti.



FASA PENAMATAN

Fasa Penamatan berlaku apabila keseluruhan sesi perjumpaan kelompok telah mengisi keperluan kelompok atau ahli.

Penamatan ini memang disedari oleh ahli kerana mereka telah diberitahu sejak awal lagi tentang bilangan sesi yang akan dijalankan.
 
Seorang kaunselor harus belajar menamatkan sesi kaunseling dengan berkesan. Kaunselor harus biasa dengan isu-isu dan kemahiran yang terlibat secara langsung dalam proses penamatan bagi menamatkan hubungan dalam kaunselingnya.

Fungsi kaunselor pada fasa ini ialah:
 
  1. Membuat rumusan perjalanan sesi kelompok.
  2. Membantu ahli menangani perasaan berkaitan penamatan atau feelings related.
  3. Membuka peluang kepada ahli bagi menyelesaikan unfinished business dalam kelompok.
  4. Menekankan semula kepentingan menjaga kerahsiaan sesi walaupun selepas sesi berakhir.
  5. Mengenal pasti ahli yang memerlukan sebarang sesi lanjutan.

Ketua kelompok yang sentiasa peka dengan perkembangan ahli-ahlinya akan menjadi orang pertama yang menyuarakan supaya kelompok itu ditamatkan pada masa yang sesuai dan ditetapkan selepas merasakan matlamat kelompok telah tercapai.
 
Ketua kelompok akan cuba mengingatkan ahli-ahli kelompok bahawa sesi telah hampir kepada penamatan.
 
Dengan itu, keseluruhan kelompok akan cuba pula untuk menyesuaikan dengan keadaan dan bersedia untuk berpisah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...