Pembaca Setia

10 April 2009

Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan




PENGENALAN
Pada amnya, perkataan falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta membuktikan kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.

Berdasarkan huraian di atas, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai pedoman, arah tuju atau pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Maka, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah digubal daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis berlandaskan daripada ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestasikan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan, termasuk Rukun Negara. FPK ini akan menjadi suluh yang memberi pedoman dan hala kepada segala usaha pendidikan – sama ada di dalam institusi pendidikan atau di luar institusi pendidikan. Sehubungan ini, FPK adalah digubal secara rapi dan teliti oleh pakar-pakar pendidikan yang mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara.

Berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan atas Laporan dan Akta Pendidikan, Rukun Negara dan ciri-ciri kebudayaan masyarakat Malaysia, maka FPK yang dinyatakan berikut digubal dan diumumkan secara rasmi pada tahun 1988.

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

Berlandaskan kepada FPK yang telah dihuraikan diatas, maka Matlamat Pendidikan Negara ialah bertujuan melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya menjadi warganegara Malaysia yang berguna. Dengan perkataan lain, Matlamat Pendidikan Negara bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:

Percaya dan patuh kepada Tuhan.
Berilmu pengetahuan.
Berakhlak mulia.
Bertanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat, agama dan negara.
Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
Memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.





PERANAN SEKOLAH DALAM MEREALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN.

Peranan sekolah begitu besar dalam melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat setiap murid untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada.

Untuk merealisasikan hasrat FPK, aspek-aspek kepemimpinan, budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan disiplin murid perlu diberi perhatian dan diaktifkan secara menyeluruh.

Aspek Kepemimpinan
Aspek pertama yang perlu diambil perhatian ialah kepemimpinan. Pemimpin sekolah iaitu guru besar merupakan orang penting dalam memajukan institusi pelajaran di Malaysia. Mereka perlu berfikiran kreatif dalam pengurusan dan berhubungan dengan guru dan juga murid. Mereka bertanggungjawab menetapkan falsafah sekolah, membentuk wawasan sekolah, membentuk visi dan misi sekolah yang berlandaskan FPK.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu memastikan aspek-aspek seperti budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan juga disiplin murid diberi penekanan dan perhatian yang sewajarnya supaya hasrat FPK dapat direalisasikan.

Perkembangan semasa memperlihatkan peningkatan peranan guru besar sebagai peneraju utama di sekolah-sekolah. Penyelidikan oleh Morrisson (2005) mendapati bahawa perubahan peranan pentadbir sekolah perlu berlaku dalam aspek-aspek tertentu seperti kepemimpinan, tuntutan kerja, orientasi perniagaan, tanggungjawab, pengurusan sumber manusia, membuat keputusan, komunikasi, kuasa, dan perancangan. Peranan guru besar merupakan antara faktor utama yang akan menentukan kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah. Guru besar yang berkesan mampu mengubah keadaan sesebuah sekolah menjadi cemerlang.

Dalam melaksanakan amanah menyediakan sumber manusia menjelang tahun 2020, fungsi kepemimpinan, pengurusan, dan pentadbiran sekolah menjadi semakin mencabar. Peranan kepemimpinan di peringkat sekolah mestilah dalam bentuk instructional leader yang memainkan peranan tertentu pada tahap serta kedudukan masing-masing untuk melaksanakan sesuatu progam pendidikan. Kepemimpinan pendidikan juga haruslah berperanan sebagai transformational leader iaitu sebagai agen transformasi perubahan.

Pemimpin sekolah yang proaktif akan sentiasa membuat jangkaan-jangkaan tentang perubahan yang sedang dan bakal berlaku agar sentiasa berada dalam keadaan bersedia. Pemimpin sekolah mestilah juga mampu dan berupaya membimbing guru-guru di bawah pengawasannya untuk menjadi lebih berkesan.

Sekolah yang berkesan dapat dilihat berdasarkan stail kepemimpinan yang bukan sekadar mampu bertindak sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran yang berkesan tetapi juga harus mampu membawa perubahan. Justeru itu, di mana-mana sekolah, guru besar merupakan individu yang paling berpengaruh dan bertanggungjawab terhadap sesuatu perubahan.

Menurut kata Wilson dan Corcoran (1988), segala kejayaan dan kegagalan murid terletak kepada pihak sekolah, iaitu guru besar dan guru. Kepemimpinan guru besar pula dikenal pasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali, yang mempengaruhi kualiti dan kuantiti hasil sekolah walaupun proses dalaman dan persekitaran sosial (iklim), atau budaya sekolah juga merupakan pemboleh ubah yang mempengaruhi dan menyebabkan perbezaan dalam pencapaian akademik murid (Rutter et al,1979).

Aspek Budaya Sekolah
Aspek kedua yang perlu diberi penekanan ialah budaya sekolah. Budaya sekolah, kadang kala dikenali sebagai iklim sekolah merupakan salah satu aspek yang penting dalam merealisasikan FPK. Iklim sekolah yang terbuka menggalakkan murid bebas berinteraksi di antara murid dengan murid, murid dengan guru serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sekolah. Guru pula boleh bekerja dalam keadaan yang mesra, berasa tenteram serta melaksanakan tugas dengan adil, dedikasi, gembira dan sempurna.

Iklim sekolah yang terbuka seperti ini merupakan iklim sekolah yang demokratik dan iklim ini akan dapat membantu sekolah mencapai aspirasinya seperti membentuk murid lebih berdedikasi, lebih berinisiatif, lebih rela bekerjasama, lebih ramah dan mesra, lebih spontan dan berkreativiti serta lebih tinggi motivasinya.

Budaya sekolah atau iklim sekolah ini mengandungi empat aspek utama iaitu aspek fizikal, aspek sosial, aspek perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa.
Aspek fizikal merangkumi perkara-perkara seperti kebersihan kawasan sekolah, keselamatan anggota-anggota sekolah, kemudahan-kemudahan sekolah yang lengkap, keselesaan yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran dan juga keindahan sekolah.

Dari aspek sosial pula, ia merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan keharmonian di antara anggota-anggota sekolah seperti budaya hormat-menghormati dan mengucap salam, kerjasama, rasa tanggungjawab, perpaduan, kemesraan dan keadilan.

Seterusnya aspek perkembangan intelek. Ia merangkumi aspek budaya ilmu seperti semangat mahu belajar sama ada dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah. Sebagai contoh, sekolah memainkan peranannya melalui penganjuran program-program akademik seperti Program NILAM dengan tujuan membudayakan aktiviti membaca dalam diri murid-muridnya. Program ini secara tidak langsung dapat mengembangkan daya pemikiran murid sama ada kritis atau kreatif. Menurut Ee (1994), tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama membina budaya ilmu ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan.

Aspek yang terakhir ialah penggunaan bahasa. Aspek ini meliputi penggunaan bahasa secara betul dan jitu sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Untuk meningkatkan prestasi dalam aspek penggunaan bahasa, aktiviti pertandingan, perbahasan, syarahan dan pidato boleh dianjurkan oleh pihak sekolah sebagai galakan penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa kedua – Bahasa Inggeris juga perlu diberi perhatian sejajar dengan matlamat FPK yang ingin melahirkan modal insan yang mampu berdaya saing di peringkat global.
Suasana sekolah yang ceria, kondusif dan meransang pembelajaran diwujudkan bertujuan menghasilkan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Aspek Ko-kurikulum
Aspek ketiga pula ialah ko-kurikulum. Untuk merealisasikan FPK, sekolah juga perlu memainkan peranan yang berkesan dalam melaksanakan gerak kerja ko-kurikulum. Gerak kerja ko-kurikulum merupakan gerak kerja bercorak pendidikan yang dijalankan di dalam dan di luar waktu sekolah. Gerak kerja merupakan aktiviti-aktiviti kumpulan secara informal. Gerak kerja ko-kurikulum berasaskan pembelajaran di bilik darjah adalah kesinambungan kurikulum yang dilaksanakan di sekolah. Walaupun aktiviti-aktiviti ko-kurikulum lebih bercorak informal, tetapi gerak kerja yang dijalankan adalah terancang.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah diharapkan akan menyemai sifat-sifat kepemimpinan, kerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat di kalangan murid. Aktiviti ko-kurikulum juga perlu dirancang supaya semua murid mempunyai perseimbangan antara perkembangan mental dengan perkembangan sosial, jasmani dan rohani. Pelaksanaan ko-kurikulum cuba melihat minat dan bakat murid-murid. Melalui kegiatan kumpulan, semua murid boleh dididik dan mendidik diri sendiri.

Sekolah ialah institusi yang bertanggungjawab dan boleh memainkan peranan dalam mendidik murid-murid untuk mengembangkan minat dan bakat. Begitu juga masyarakat yang bertanggungjawab boleh memainkan peranan mereka dalam mendidik murid-murid. Ini disebabkan alam masyarakat di luar sekolah sebenarnya amat kaya dengan ilmu pengetahuan yang boleh dimanfaatkan oleh murid-murid. Aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam gerak kerja ko-kurikulum ialah pasukan unit beruniform, persatuan/kelab dan juga sukan. Pihak sekoalh perlu memastikan semua murid melibatkan diri dalam ko-kurikulum ini kerana gerak kerja ini dianggap sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah dan sebagai satu bidang pendidikan.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah mempunyai beberapa matlamat penting yang merangkumi aspek pendidikan, aspek pembelajaran, dan aspek sosialisasi.

Dari aspek pendidikan, pelaksanaan gerak kerja ko-kurikulum di sekolah diharap akan dapat membina dan menyuburkan sahsiah yang seimbang di kalangan murid; memupuk nilai-nilai ahklak dan pendidikan yang diingini; memajukan kemahiran, minat dan bakat murid; meningkatkan disiplin dan kepemimpinan diri; mengukuhkan dan memperkayakan lagi pengetahuan dan kemahiran; menjadi asas kerjaya pada masa akan datang dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan menyeronokkan.

Dari aspek pembelajaran pula, kegiatan ko-kurikulum bertujuan untuk mewujudkan dan mempertingkatkan suasana sekolah yang lebih menarik dan menggembirakan murid-murid. Selain itu, perhubungan antara guru dengan murid juga dapat diwujudkan.

Dari aspek sosialisasi, gerak kerja ko-kurikulum ini dilihat mampu melahir dan membentuk murid-murid yang mempunyai semangat kekitaan dan kewarganegaraan serta mempunyai rasa dan tanggungjawab berkhidmat untuk masyarakat.
Secara keseluruhannya, pihak sekolah perlu mempertingkatkan kualiti pengurusan ko-kurikulum dan sukan dengan usaha memperkembangkan lagi potensi individu, membentuk sahsiah, membantu pertumbuhan jiwa bermasyarakat, meningkatkan mutu disiplin para murid bagi memperkukuhkan integrasi di kalangan mereka. Selain itu, pihak sekolah juga harus memberi peluang secukupnya kepada murid-murid untuk menyertai pelbagai aktiviti terancang bagi memperkembangkan minat, bakat serta kemahiran masing-masing.



Aspek Guru
Aspek yang seterusnya ialah guru. Peranan guru amat penting dalam merealisasikan FPK. Guru bertanggungjawab memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu yakni insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dengan pengenalan KBSR dan KBSM di negara kita, peranan guru di sekolah juga bertambah lebih kompleks. Guru mula memainkan peranan sebagai pengajar, pengurus, fasilitator, pembimbing, penggalak, penyelaras dan juga sebagai inovator, iaitu orang yang mendatangkan pembaharuan.

Seseorang guru menjalankan seperti menggerakkan, mengatur dan menilai prestasi murid-murid. Sebelum memulakan satu-satu pelajaran, minat murid seharusnya ditimbulkan terlebih dahulu terhadap topik yang akan disampaikan. Proses pembelajaran berlaku dengan lebih cepat sekiranya murid-murid mempunyai minat terhadap pelajaran itu.

Oleh itu, adalah penting bagi guru menggerakkan muridnya dengan berbagai-bagai cara seperti menggunakan pelbagai jenis alat bantu mengajar, mengadakan main peranan (role playing), mengadakan simulasi dan sebagainya.

Selain itu, guru juga mengelolakan semua aktiviti yang dijalankan di dalam sesebuah bilik darjah. Dalam aktiviti pembelajaran mesti ada langkah pertama, langkah kedua, langkah ketiga dan seterusnya. Tiap-tiap langkah pembelajaran haruslah diatur supaya murid-murid mendapat faedah daripada setiap aktiviti pembelajaran. Gurulah yang menjalankan tugas mengatur setiap langkah pembelajaran. Dalam mengatur langkah-langkah pembelajaran, guru akan merancang terlebih dahulu. Apabila membuat sesuatu rancangan, keperluan-keperluan murid, objektif-objektif pelajaran, bahan-bahan dan alat-alat mengajar seharusnya dipertimbangkan. Pengajaran yang dirancangkan dengan baik akan membawa faedah yang besar kepada murid-murid.

Guru juga membimbing murid-murid supaya mereka memahami topik yang diajar. Guru seharusnya mengaitkan tajuk yang diajar dengan pengalaman-pengalaman murid untuk membolehkan mereka memahami konsep-konsep dengan lebih mudah lagi. Perkataan-perkataan yang digunakan oleh guru sepatutnya mudah difahami dan penerangannya padat serta jelas. Penggunaan alat bantu mengajar seperti carta, gambar, perbandingan dan graf dapat menjelaskan lagi sesuatu konsep yang disampaikan. Guru juga menolong murid-murid mengatur fakta-fakta supaya menjadi konsep yang konkrit dan bermakna. Idea yang abstrak boleh dijadikan konkrit dengan menggunakan carta dan alat bantu mengajar lain.

Guru perlu juga menolong murid-murid mempraktikkan dan mengulangi aktiviti sehingga pembelajaran itu menjadi berkesan. Guru juga menilai murid-muridnya dengan menjalankan berbagai-bagai ujian. Penilaian ini akan dapat mengesani sejauh manakah objektif pengajaran dan pembelajaran telah tercapai.

Ringkasnya, guru memikul amanah yang amat besar untuk melahirkan insan berilmu dan bersahsiah tinggi dan berperanan untuk merealisasikan matlamat kenegaraan yang akan menentukan jatuh bangun bangsa dan negara di masa hadapan.

Aspek disiplin.
Aspek yang terakhir ialah disiplin. Sekolah sebagai agen sosialisasi utama bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar umbi. Iklim dan persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang perkembangan murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan FPK.

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah cuba mentakrifkan disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu untuk menghormati dan mematuhi undang-undang, sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri; juga kesanggupan seseorang bekerja atau membuat sesuatu dengan cukup tertib, kesanggupan menghormati hak individu lain, mengamalkan tingkah laku hormat-menghormati di antara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong-menolong dan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat untuk masyarakat. Disiplin juga ada kaitannya dengan tatatertib, tatasusila, kesopanan dan ahklak.
Dalam konteks pendidikan, sekolah merupakan institusi yang penting dalam membentuk disiplin murid-murid. Masalah disiplin murid akan menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran. Masalah disiplin ini seharusnya dikawal dengan kerjasama warga sekolah iaitu guru besar, guru disiplin, guru, pengawal keselamatan, masyarakat sekitar sekolah dan ibu bapa. Hal ini penting bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan sebuah jawatan kuasa menangani gejala disiplin murid peringkat sekolah dengan melantik beberapa ahli terdiri daripada kalangan mereka yang tinggal berhampiran dengan sekolah bagi memantau disiplin murid. Pihak sekolah juga hendaklah memantau kawasan sekolah yang terdapat masalah disiplin.

Apa yang lebih penting, murid lemah dan berdisiplin memerlukan perhatian khas daripada pihak sekolah. Semua ini perlu dilakukan dengan bijak supaya tidak berlaku pengasingan dan perbezaan di antara mereka dengan murid lain di sekolah.

Peranan guru bimbingan dan kaunseling penting dalam membentuk dan membina semula sahsiah dan disiplin murid yang bermasalah. Antara tugas utama guru bimbingan dan kaunseling ialah menjalankan bimbingan dan kaunseling dengan murid-murid yang mempunyai masalah disiplin dengan tujuan mewujudkan tingkah laku yang diingini. Selain itu, guru bimbingan dan kaunseling juga berfungsi untuk membina perhubungan dengan ibu bapa/ penjaga murid-murid yang mempunyai masalah disiplin, pegawai kebajikan masyarakat atau pihak polis.

Disiplin yang baik membawa beberapa faedah kepada guru dan murid. Faedah-faedah tersebut adalah seperti berikut:

Pengajaran dapat dijalankan dengan licin dan teratur.
Pembelajaran dapat dilaksanakan dalam suasana yang tenang serta teratur.
Keberkesanan pengajaran-pembelajaran akan dapat ditingkatkan lagi.
Murid-murid menjadi lebih produktif jika mereka berdisiplin.
Keselamatan murid-murid dapat dijamin kerana setiap murid dapat mematuhi peraturan-peraturan sekolah.
Kemalangan yang berlaku di makmal atau bilik darjah dapat dikurangkan.
Segala tugasan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat.

Masalah disiplin perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya persekitaran sekolah yang kondusif dan selamat amat penting dalam membentuk imej dan keyakinan diri murid ke arah kecemerlangan dan kegemilangan, selaras dengan hasrat negara yang menekankan usaha pembentukan modal insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang.



KESIMPULAN
Kesimpulannya, berdasarkan kepada semua huraian diatas, maka ternyatalah bahawa kejayaan sesebuah sekolah dalam merealisasikan FPK adalah bergantung kepada aspek-aspek kepemimpinan, budaya sekolah, ko-kurikulum, guru dan juga disiplin. Semua aspek ini akan menentukan modal insan yang bakal dihasilkan sama ada memenuhi hasrat FPK atau tidak. Kejayaan sekolah dalam merealisasikan FPK juga secara tidak langsung mampu menjana dan membina modal insan yang berkualiti. Merujuk kepada PIPP (2006), negara kita berhasrat untuk menghasilkan “modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berperibadi mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi… perlu mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah”. Sekali lagi dinyatakan bahawa, peranan sekolah amat penting dalam menyahut cabaran yang terkandung di dalam FPK untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.









No comments:

Post a Comment

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...