1. Pengenalan
Theory of Constraints (TOC) adalah salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang inovatif daripada perspektif guru dan murid. Teknik ini dapat “menghidupkan” pengajaran dan pembelajaran sejarah sekaligus meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran ini.
2.Apakah TOC?
TOC adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah berdasar pemikiran yang logik dan sistematik. Teknik ini adalah sebagai satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid.
3. Kelebihan TOC
Menerusi perlaksanaan teknik TOC dalam pengajaran dan pembelajaran, murid dan guru berupaya;
• mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran.
• menyelesaikan masalah dengan berkesan.
• membuat keputusan secara bertanggungjawab dan bersama.
• berkomunikasi dengan baik dan
• memperoleh pembelajaran sepanjang hayat.
Melalui aplikasi teknik TOC, tiga kemahiran dapat digabungjalinkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu;
• kemahiran berfikir secara kritis
• kemahiran berfikir secara kreatif
• kemahiran generik
4. Aplikasi TOC dalam pendidikan
Dalam pendidikan, teknik TOC boleh diaplikasikan menerusi;
• kandungan kurikulum.
• pengajaran dan pembelajaran konsep.
• membuat keputusan berkaitan dengan permasalahan pembelajaran.
• perancangan strategik untuk mencapai matlamat.
Cadangan kaedah penggunaan teknik TOC dalam pendidikan adalah sebagaimana berikut;
• sesi bercerita ( pemahaman konflik dan cara watak membuat keputusan).
• kajian kes ( modifikasi kelakuan dan tingkah laku, pembelajaran nilai murni dan kerohanian).
• Kandungan Huraian Sukatan Pelajaran ( kemahiran berfikir dan perancangan strategik).
5. Teknik dalam TOC
Dalam pendidikan terutamanya pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah, terdapat tiga teknik TOC yang boleh diaplikasikan iaitu;
• Teknik Awan ( The Cloud )
• Teknik Sebab dan Akibat ( Logic Branch )
• Teknik Penyelesaian Masalah ( Problem Solving )
5.1 Teknik Awan ( The Cloud )
Teknik ini memikirkan tentang sesuatu kejadian, idea, situasi dan penyelesaian konflik yang bertentangan kehendak. Konflik yang hendak diselesaikan mungkin berbentuk konflik internal yang hanya melibatkan satu pihak sahaja atau konflik eksternal yang melibatkan dua pihak.
5.2 Teknik Sebab dan Akibat (Logic Branch)
Teknik ini menerangkan bagaimana sesuatu tingkah laku, idea atau kejadian mengakibatkan kesan-kesan berikutnya. Murid mampu menerangkan urutan perkara-perkara penting dengan cara hubungan yang logik. Murid juga mampu mengenalpasti hubungan sebab dan akibat dengan cara yang berfokus menerusi permulaan tindakan yang berentet-rentet.
5.3 Teknik Penyelesaian Masalah (Problem Solving)
Teknik penyelesaian masalah adalah satu teknik pengajaran yang bertujuan untuk memberi peluang dan ruang kepada pelajar lebih produktif dan bertukar pandangan dalam usaha untuk menyelesaikan persoalan yang dikemukakan kepada mereka. Teknik ini boleh digunakan bagi merancang langkah-langkah dengan sistematik secara kolaboratif untuk menghadapi dan mengatasi cabaran ke arah pencapaian matlamat yang telah ditetapkan.
6. Aplikasi TOC dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah
6.1 Teknik Awan
i. Berpandukan teks, pelajar terlebih dahulu mengenalpasti konflik yang wujud.
ii. Kenalpasti keperluan yang berdasarkan kehendak yang mencetuskan konflik.
iii. Murid mempertimbangkan anggapan tertentu.
iv. Kenal pasti pula matlamat bersama.
v. Murid akan mencari penyelesaian ‘win-win’ ke arah tercapainya matlamat bersama.
6.2 Teknik Penyelesaian Masalah
i. Murid mengenal pasti matlamat yang hendak dicapai dengan berpandukan kepada teks yang dikemukakan.
ii. Murid mengenal pasti pula cabaran-cabaran yang menghalang pencapaian matlamat.
iii. Kemudian murid mencari langkah-langkah untuk mengatasi cabaran supaya matlamat dapat dicapai.
7. Kesimpulan
Menerusi kaedah TOC pelajar dapat menguasai dan mengaplikasikan kemahiran berfikir dan penyelasaian masalah berdasarkan pemikiran yang logik dan sistematik. Di samping itu setiap keputusan yang dibuat oleh murid untuk menyelesaikan sesuatu masalah adalah dibuat dengan bertanggungjawab dan secara kolektif. Menerusi kaedah TOC juga, murid mampu berkomunikasi dengan baik .