Pembaca Setia

21 September 2010

Tiga faktor utama yang harus diteliti dalam merancang dan melaksanakan aktiviti Pendidikan Jasmani



Terdapat tiga faktor utama yang harus diteliti dalam merancang dan melaksanakan aktiviti Pendidikan Jasmani. Faktor yang pertama ialah infrastruktur dan tenaga. Faktor kedua pula ialah perkembangan murid dan yang ketiga ialah faktor persekitaran.

Infrastruktur Dan Tenaga Pengajar

Dalam faktor ini, terbahagi pula kepada beberapa unsur iaitu kemudahan, peralatan dan kepakaran. Kemudahan merangkumi kedudukan sekolah sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, kemampuan kewangan sekolah, kemudahan-kemudahan semasa penyediaan aktiviti dan tenaga pengajar.

Peralatan pula merangkumi pemilihan alatan yang perlu berdasarkan kepada spesifikasi umur dan pertandingan. Faktor keselamatan pengguna haruslah diambil kira terlebih dahulu. Kualiti alat juga perlu dipertimbangkan dalam memilih alatan.

Kepakaran lebih menjurus kepada guru Pendidikan Jasmani itu sendiri yang bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas semasa mengajar. Mereka perlu menanggung risiko yang bakal ditempuhi semasa melaksanakan aktiviti. Pengetahuan dan kepatuhan terhadap prosedur dan disiplin dalam aktiviti Pendidikan Jasmani perlu kerana ia dapat mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.



Perkembangan Murid

Perkembangan murid boleh dibahagikan kepada beberapa domain.


Domain kognitif

Perkembangan domain kognitif pelajar melibatkan cara berfikir, merasa dan bertindak. Penyusunan domain kognitif perlu mengikut keupayaan pelajar dari mudah kepada lebih sukar. Hal ini membolehkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dirancang dan dijalankan dengan lebih sistematik. Domain kognitif ini merujuk kepada Taksonom Bloom yang membahagikan kepada enam peringkat iaitu didahului dengan kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan diakhiri dengan penilaian.


Domain afektif

Objektif Domain Afektif mempunyai hubungan dengan perasaan, emosi, minat, sikap, penghargaan dan nilai. Domain afektif juga mempunyai peringkat penghayatan daripada yang paling rendah kepada paling tinggi iaitu bermula dari peringkat penerimaan, kemudian gerakbalas, penilaian, organisasi dan akhirnya perwatakan.


Domain psikomotor

Psikomotor adalah kemahiran berkaitan pergerakan anggota fizikal seseorang. Di peringkat rendah, murid-murid dilatih untuk menguasai pergerakan yang biasa dilakukan dalam kehidupan harian dan juga pergerakan baru dalam senaman. Domain psikomotor juga turut mempunyai hierarki tersendiri iaitu daripada peringkat mudah kepada susah bermula dengan peringkat persepsi, persediaan, pergerakan terkawal, pergerakan mekanistik, pergerakan kompleks dan akhirnya pergerakan suaian.


Domain sosial

Domain sosial ini khusus untuk hubungan atau tingkah laku. Domain ini terdiri daripada lapan peringkat objektif iaitu : berhubung, berkomunikasi, melibatkan diri, berunding, bekerjasama, menghakim, memulakan dan menukar.



Persekitaran

Menurut Amram Schienfeld, persekitaran merujuk kepada luaran seseorang individu dan faktor bakanya bermula dari peringkat persenyawaan.

Norman L. Munn pula mentakrifkan persekitaran sebagai segala benda yang terdapat di sekeliling unit-unit kebakaan.

W. Edgar Vinacke menerangkan bahawa persekitaran ialah kuasa ekstrinsik yang kompleks yang boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang individu.

Pengertian-pengertian di atas menunjukkan dengan jelas bahawa persekitaran merujuk kepada alam sekitar seseorang individu sama ada di peringkat pralahir atau selepas lahir.

Urie Bronfenbrenner seorang ahli psikologi Amerika menjelaskan perkembangan murid-murid sebagai hasil interaksi di antara alam persekitaran dengan murid-murid tersebut. Beliau mengetengahkan model ekologi berbentuk lapisan bulatan (Sistem Ekologi Bronfenbrenner ) yang masing-masing mempunyai pengaruh dan tahap tertentu. Terdapat empat tahap dalam perkembangan ini iaitu:

Mikrosistem. Murid-murid terdedah kepada persekitaran yang berbentuk pada apa yang ada di depan mata termasuklah pengaruh objek-objek fizikal seperti patung dan teknologi, struktur persekitaran, serta peranan dan persekitaran ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa dan adik beradik.

Mesosistem. Merangkumi hubungan murid-murid dengan persekitaran yang lebih luas dan bagaimana persekitaran ini mempengaruhi murid-murid. Contohnya, bagaimana murid-murid bergaul di sekolah lebih-lebih lagi apabila mahu memulakan alam persekolahan dan pertama kalinya berpisah dengan keluarga.

Eksosistem. Menghubungkaitkan murid-murid dengan persekitaran yang mungkin kurang berkaitan dalam hidup mereka. Melihat bagaimana murid-murid didedahkan dengan jiran tetangga, tempat kerja ibu bapa, rakan-rakan ibu bapa dan institusi sosial lain.

Makrosistem. Makrosistem adalah lapisan paling luar yang menyentuh pengaruh hubungan murid-murid dengan persekitaran yang jauh lebih besar. Hubungan ini termasuklah sistem nilai sosial, perubahan sejarah, polisi sosial dan media massa.

Menurut Bronfenbrenner, teori yang dikemukakan oleh beliau bersandarkan tanggapan bahawa faktor persekitaran tidak sepenuhnya memainkan peranan kepada perkembangan murid-murid tetapi antara keduanya saling berkait rapat. Murid-murid tidak lari daripada berhadapan dengan persekitaran sosial mereka setiap hari yang mana ini secara tidak langsung dapat mempengaruhi perkembangan mereka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...