Pembaca Setia

21 September 2010

Nilai murni yang biasa diterapkan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani

Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai:

"Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia" (Wan Mohd. Zahid, 1988).

Secara keseluruhannya, ia merupakan nilai yang positif yang boleh diterima oleh pelajar dan masyarakat. Dalam pendidikan, penerapan nilai yang pertama kali secara rasminya diberi penekanan ialah melalui Lapuran Kabinet (Laporan Mahathir 1979), 1989. Semasa Datuk Sri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin Kementerian Pendidikan beliau membuat penyataan mengenai FPN & KBSM yang mana menyelitkan isu-isu nilai murni untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmoni, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga emosi, rohani dan jasmani.


Nilai Murni Dalam Pendidikan Jasmani

Nilai-nilai murni yang terdapat dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani adalah selaras dengan kehendak matlamat mata pelajaran ini. Antara nilai yang perlu diterapkan dan diamalkan ialah semangat kesukanan, permainan bersih, toleransi, semangat berpasukan, disiplin, berdaya saing, kepemimpinan dan penyertaan.

Nilai-nilai dalam pendidikan jasmani dan kesihatan dibentuk atas prinsip bahawa manusia telah dijadikan sebaik-baik makhluk. Terdapat banyak nilai-nilai murni yang dapat dipupuk dalam diri murid-murid melalui pendidikan jasmani. Contohnya, nilai menghargai, memelihara dan meningkatkan keadaan kesihatan diri dan masyarakat supaya dapat meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan hidup. Kedua, menghargai amalan kelaziman latihan kecergasan dan kesihatan. Ketiga, menghargai pentingnya mengikut prinsip-prinsip latihan. Keempat, menyedari pentingnya rehat dan rekreasi serta mengamalkannya. Kelima, mengamalkan lakuan gerak badan yang baik dan sempurna dalam kegiatan harian. Keenam, mementingkan langkah-langkah keselamatan dalam sebarang kegiatan harian. Terakhir sekali, berkeyakinan dalam menyusun program latihan kecergasan dan melakukannya bagi keperluan diri sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...