Pembaca Setia

22 September 2010

Projek kewarganegaraan : Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau



Pengenalan


Hutan hujan tropika adalah suatu ekosistem kompleks yang menampung pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan. Hutan membantu dalam memelihara sumber genetik dan menyediakan habitat kepada berbagai flora dan fauna. Hutan juga memainkan peranan penting dalam pengawalan iklim, sumber air dan kestabilan alam sekitar. Ia juga merupakan rumah kepada berjuta-juta manusia, memberi perlindungan, makanan, pakaian, bahan tenaga, ubat-ubatan, bahan binaan dan berbagai-bagai sumber yang lain (Groombridge 1992).

Hutan hujan tropika di Malaysia adalah pelbagai antaranya seperti hutan dipterokarp pamah dan bukit, hutan paya gambut dan hutan paya bakau. Hutan paya bakau terdiri daripada pelbagai spesies yang penting kepada sistem ekologi dan biologi. Selain itu ia juga menyumbang kepada ekonomi negara di mana hutan paya bakau ini menghasilkan sumber kayu dan arang. Selain itu hutan paya bakau di persisiran pantai turut memainkan peranan dalam memberi perlindungan kepada pelbagai spesies hidupan dan juga mengekalkan ekosistem semulajadi pantai (Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia 1995).

Oleh yang demikian, satu projek Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau telah diadakan dengan kerjasama Sahabat Alam Malaysia (SAM), Kelab Puncak dan Kelab Aktivis Alam Sekitar Kampus IPG Kampus Tuanku Bainun (CARE) di Sungai Batu Besi, Merbok, Kedah sebagai salah satu usaha untuk memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya bakau yang semakin diancam oleh kemusnahan.


Persoalan kajian

  • Apakah kepentingan ekositem hutan paya bakau?
  • Apakah punca berlakunya kemusnahan di ekosistem hutan paya bakau di Sungai Batu Besi, Merbok, Kedah?
  • Apakah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah kemusnahan ekosistem hutan paya bakau di Sungai Batu Besi, Merbok, Kedah?


Permasalahan kajian

Kemusnahan hutan paya bakau di kawasan persisiran pantai dikatakan berpunca daripada sikap masyarakat yang sering mengabaikan tentang kepentingan hutan ini. Apa yang perlu disedari umum, hutan paya bakau adalah merupakan warisan alam yang perlu dipelihara. Hutan paya bakau sememangnya diketahui menjadi tempat perlindungan pelbagai spesis flora dan fauna seperti buaya, ketam, memerang, beruk, ikan dan pelbagai jenis siput yang masing-masing mempunyai nilai tersendiri. Disamping itu juga hutan paya bakau merupakan habitat bagi lebih daripada 60 spesies tumbuh-tumbuhan. Terdapat empat jenis spesies utama yang paling di kenali iaitu api-api ludat, bakau minyak, perepat dan berus tumu. Antara spesies bakau lain ialah lenggadai, nyireh bunga, bakau kurap dan chegam.

Di Malaysia, hutan paya laut terdapat di sepanjang pantai Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Hutan paya laut di Malaysia merupakan yang ketiga terbesar di Asia Pasifik selepas Indonesia dan Australia. Jumlah luas keseluruhan kawasan tersebut adalah lebih kurang 566 856 hektar iaitu 57 peratus terdapat di Sabah, 26 peratus di Sarawak dan 17 peratus di Semenanjung Malaysia. Kebanyakan hutan paya laut di Malaysia terletak di pantai barat ( Persisiran Selat Melaka ) iaitu di Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Johor.

Namun isu-isu kemusnahan hutan paya bakau semakin hari menjadi semakin kritikal dan jika tidak ditangani dengan bijak dan segera ianya akan memberikan impak negatif bukan sahaja kepada kita, malahan kepada generasi akan datang. Pengeksploitasian sumber biodiversiti yang tidak dikawal sepenuhnya, seperti penerokaan hutan paya bakau untuk pelbagai tujuan pembangunan seperti ternakan ikan dalam sangkar, kolam ternakan udang, perindustrian, perbandaran dan perkampungan nelayan pinggir pantai serta pembuangan sisa cecair oleh kapal dagangan dan bot nelayan secara tidak langsung mengancam ekosistem paya bakau yang amat sensitif terhadap sebarang perubahan guna tanah di kawasan yang berkenaan.

Aktiviti penerokaan paya bakau yang dilakukan secara sewenang-wenangnya sama ada bagi tujuan pembangunan, perumahan, pertanian atau perindustrian tanpa mengambil kira aspek alam sekitar akan menyebabkan hakisan tanah, mengganggu imbangan haba serta keseimbangan ekologi. Kesannya bukan sahaja boleh menyebabkan kepupusan kepada spesies-spesies hidupan yang sedia ada malah boleh membawa bencana yang dahsyat kepada manusia.

Kemusnahan hutan paya bakau turut berlaku di kawasan projek (Sungai Batu Besi). Melalui pemerhatian yang telah dijalankan, punca utama berlakunya masalah di hutan paya bakau ini berlaku kerana kegiatan penebangan dan pembalakan kayu bakau yang dijalankan secara tidak terkawal. Jumlah pokok bakau yang hidup semakin berkurangan.


Kaedah kajian

Dalam pelaksanaan projek kewarganegaraan ini, beberapa kaedah kajian telah diaplikasikan iaitu pemerhatian, temu bual, kaji kes, rujukan sumber dan e-konferen. Berikut adalah penerangan bagi setiap kaedah:

Pemerhatian


Pemerhatian telah dilakukan di sekitar Sungai Batu Besi bagi meninjau kawasan hutan paya bakau yang telah musnah. Tinjauan dilakukan dengan menyelusuri sungai tersebut dengan menggunakan khodmat bot yang telah disediakan oleh Kelab PUNCAK. Beberapa keping foto telah dirakamkan bagi tujuan rekod dan data.

Temubual



Beberapa siri temubual telah dijalankan bersama penduduk tempatan bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan kegiatan pembalakan yang dijalankan. Selain itu, sesi temubual juga dilakukan bersama Tuan Haji Ramli, Pengasas Kelab PUNCAK, Encik Roslan Abdullah , wakil Kelab Puncak, Cikgu Borhan dari SMK Pulau Nyior Jitra dan Encik Azrilnizam, Pegawai Pendidikan Sahabat Alam Malaysia bagi mendapatkan maklumat tambahan.

Kajian kes

Beberapa kajian kes telah dijalankan sepanjang tempoh melaksanakan projek di kawasan terbabit. Menurut penduduk tempatan yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, jumlah hasil tangkapan yang mereka peroleh semakin berkurang sejak kegiatan penebangan hutan paya bakau berlaku. Mereka mendakwa bahawa jumlah hasil tangkapan yang semakin berkurang mempunyai kaitan dengan kegiatan pembalakan yang dijalankan.

Rujukan sumber

Semasa melakukan kajian, satu pertemuan telah diatur bersama dengan Encik Nizam Mashar, Koordinator Sahabat Alam Malaysia bagi mendapatkan beberapa penjelasan saintifik mengenai kemusnahan hutan paya bakau yang sedang berlaku di Sungai Batu Besi. Menurut beliau, kualiti air yang tercemar serta perubahan pH air telah menyebabkan kebanyakan hidupan air seperti ikan, udang, ketam dan lain-lain beremigrasi ke kawasan lain yang lebih baik. Oleh sebab yang demikian, jumlah hasil tangkapan yang diperoleh oleh nelayan di kawasan tersebut tidak menyamai kuantiti tangkapan sebelum ini. Encik Nizam Mashar mencadangkan supaya satu kempen kesedaran dan aktiviti penanaman semula anak pokok bakau dilakukan bagi memastikan kelestarian dan keseimbangan hutan paya bakau di kawasan terbabit dapat dipulihkan seperti keadaan asal.

E- konferen

Komunikasi persidangan secara maya dilakukan sesama ahli Kelab CARE melalui laman blog http://careiptb.blogspot.com bagi membincangkan berkenaan isu kemusnahan hutan paya bakau yang berlaku di Sungai Batu Besi.



Kawasan kajian




^Kedudukan Sungai Batu Besi dalam peta

Kajian ini telah dijalankan di Sungai Batu Besi yang terletak dalam daerah Merbok di Kedah Darul Aman. Kedudukan kawasan kajian ini terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Sungai Petani, Kedah. Kawasan ini dipilih sebagai kawasan kajian dan projek Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau kerana keadaan hutan paya bakau di sini sedang diancam kemusnahan sekiranya tiada usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan dilakukan. Kebanyakan penduduk tempatan disini menjalankan kegiatan ekonomi sebagai nelayan kecil.


Pelaksanaan Projek Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau

Pengenalan projek


Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau adalah satu program yang dilaksanakan oleh Kelab CARE, Sahabat Alam Malaysia dan Kelab Puncak secara berterusan bagi mewujudkan lebih banyak kawasan hijau di negara ini. Kempen ini juga selaras dengan gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi agar hutan bakau terus dipulihara bagi membaik pulih ekosistem pesisir pantai untuk mengurangkan kesan hakisan oleh ombak dan juga tsunami. Selain itu, keupayaan spesis tertentu pokok bakau untuk menyerap dua kali ganda karbon dioksida berbanding pokok-pokok biasa amat penting dalam menangani pemanasan global. Penanaman semula anak-anak pokok bakau mampu memulihkan keadaan hutan paya bakau yang menjadi habitat hidupan air.



Objektif penganjuran projek

  • Mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkenaan kepentingan hutan bakau kepada ekosistem pinggir pantai terutamanya nelayan.
  • Menarik minat masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
  • Menyumbang kepada inisiatif masyarakat dalam menangani pemanasan global.
  • Memelihara memulihara ekosistem hutan bakau melalui aktiviti penanaman semula yang dilaksanakan.



Hasil dapatan


Pelaksanaan Projek Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau.


Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau yang dianjurkan kali ini berjaya menghimpunkan penyertaan yang memberangsangkan. Kebanyakan peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada masyarakat setempat, pelajar-pelajar sekolah dan lain-lain. Jumlah peserta keseluruhan ialah 40 orang tidak termasuk 14 orang fasilitator (dari Kelab CARE IPG Kampus Tuanku Bainun).



Slot Indoor

Slot pertama dalam Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau ialah sesi ice breaking ataupun sesi pengenalan. Dalam slot ini, para peserta diterangkan tentang objektif penganjuran kempen. Sesi ini sangat penting kerana para peserta perlu jelas tentang matlamat dan tujuan mereka berada di dalam program tersebut.


Dalam slot ini juga, nilai-nilai murni seperti kecintaan terhadap alam sekitar cuba diselitkan melalui permainan-permainan yang dijalankan. Antara permainan yang dijalankan adalah seperti Kuiz Kitar Ekologi, Trademark Saya, dan lain-lain lagi.

Dalam slot pertama ini juga, pembahagian kumpulan telah dilakukan. Sebanyak enam kumpulan telah dibentuk. Pembentukan kumpulan akan memudahkan pergerakan dan kelancaran program. Sebagai contoh, pergerakan untuk menaiki bot ketika ke tapak semaian anak bakau akan dilakukan mengikut kumpulan.

Pembentukan kumpulan juga bertujuan untuk mengelakkan keciciran peserta dan sebagai langkah keselamatan. Slot pertama diakhiri dengan rumusan yang dibuat oleh fasilitator dan diikuti dengan sesi refleksi oleh para peserta.


Slot kedua pula ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Slot ini diadakan bertujuan untuk membina semangat bekerjasama dalam satu pasukan. Semangat kerjasama merupakan satu nilai murni yang perlu dipupuk. Nilai kerjasama juga penting dalam aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Terdapat beberapa aktiviti di dalam slot ini. Antaranya ialah, para peserta diminta untuk melakarkan sebuah pulau idaman mereka secara berkumpulan di atas sehelai kertas mahjong.

Rasionalnya ialah, apabila para peserta melakarkan pulau idaman mereka, secara tidak langsung mereka akan terdedah kepada alam sekitar. Mereka akan membuat pemikiran secara kritis dan kreatif untuk membina sebuah pula yang mempunyai kelestarian yang seimbang.

Selain itu, mereka juga akan berkongsi maklumat sesama ahli dalam kumpulan tentang konsep alam yang sihat. Seperti slot yang pertama, slot kedua juga diakhiri dengan rumusan yang dibuat oleh fasilitator.


Slot Outdoor


Slot outdoor merupakan slot kemuncak Kempen Kesedaran Hutan Paya Bakau. Di dalam slot ini, para peserta akan turun ke tapak semaian anak pokok bakau untuk menyemai 200 batang anak pokok bakau. Untuk ke tapak semaian anak pokok bakau, para peserta perlu menaiki bot yang telah disediakan oleh Kelab Puncak untuk menyeberangi Sungai Batu Besi.

Sebagai langkah berjaga-jaga, satu sesi taklimat keselamatan telah dibuat oleh fasilitator sebelum para peserta dibenarkan menaiki bot. Taklimat keselamatan lebih menjurus kepada aspek-aspek keselamatan di air dan di lumpur. Para peserta ditunjukkan cara-cara yang betul untuk memakai jaket keselamatan (BA).


Jaket keselamatan wajib dipakai oleh setiap peserta yang menaiki bot bagi mengelakkan sebarang kecelakaan seperti kejadian lemas. Para peserta juga diingatkan supaya menjaga diri masing-masing ketika berada ditapak semaian anaka pokok bakau kerana terdapat juga haiwan liar seperti ular yang tinggal di situ.


Selain itu, para peserta juga ditunjukkan cara-cara yang betul untuk menyemai anak pokok bakau. Kebanyakan peserta tidak mempunyai pengalaman menanam pokok bakau. Fasilitator melakukan beberapa demonstrasi penanaman anak pokok bakau di hadapan para peserta supaya mereka faham dan dapat melakukannya dengan betul ketika berada di tapak semaian.



Setelah penerangan mengenai keselamatan dan kaedah penanaman pokok bakau dilaksanakan, maka para peserta diminta untuk berkumpul mengikut kumpulan. Hal ini bertujuan untuk memudahkan pergerakan ke tapak semaian. Para peserta menaiki bot mengikut kumpulan demi kumpulan untuk ke tapak semaian anak pokok bakau.




Di tapak semaian anak pokok bakau, keadaan air sungai yang surut dan tanah berlumpur lembut memudahkan kerja-kerja semaian anak pokok bakau. Sebanyak 200 batang pokok anak bakau dapat ditanam dalam tempoh satu jam.

Secara keseluruhannya, kempen ini berjaya dilaksanakan mengikut pelan projek yang telah dirancangkan. Walaupun hanya 200 batang anak pokok berjaya ditanam, tetapi kesannya terhadap ekosistem paya bakau tersebut amatlah besar.

Program seperti ini perlu dilaksanakan secara berterusan oleh semua pihak dalam usaha membina masyarakat Malaysia yang peka dan cintakan alam sekitar.


Rumusan




Alam semulajadi telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita, dan kita telah di amanahkan untuk menjaga, memelihara serta menggunakannya secara bertanggungjawab. Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah juga merupakan salah satu daripada tuntutan agama.

Kemusnahan alam semulajadi melalui kegiatan yang tidak terancang akan mengakibatkan malapetaka atau bencana yang mengakibatkan kerugian harta benda dan kadangkala mengorbankan nyawa. Bencana seumpama ini sering berlaku di negara kita seperti 'tsunami' yang meragut puluhan ribu nyawa manusia di beberapa negara termasuklah negara kita.Setiap bencana memberi pengajaran. Dengan itu, kita perlu mengambil ikhtibar dan pengajaran daripada peristiwa 'tsunami' yang berlaku pada 26 Disember 2004. Umpamanya melalui peristiwa tersebut, kita dapati pokok bakau yang terdapat disesetengah persisiran pantai yang dilanda bencana tsunami dapat menghalang daripada berlaku kemusnahan yang teruk. Ini menunjukkan betapa pentingnya memelihara dan memulihara alam hutan paya seperti bakau di negara ini samalah juga dengan pemuliharaan hutan dan kawasan-kawasan semulajadi yang lain.

Penekanan yang diberikan kepada pemeliharaan alam sekitar ini tidaklah bererti kita tidak boleh meneruskan projek-projek pembangunan kita. Apa yang perlu ialah kita harus mengamalkan pembangunan yang terancang yang menitikberatkan alam sekitar dan kesan pembangunan kepada alam sekitar. Sekurang-kurangnya kita perlu memulih kembali kerosakan yang berlaku dengan menanam pokok-pokok yang telah di musnahkan.

Hutan paya laut atau hutan bakau adalah antara hutan yang mempunyai banyak kepentingan dan kegunaannya sama ada kepada manusia, alam sekitar ataupun hidupan lain. Ekosistem yang mudah terjejas ini perlu dipulihara sebagai simpanan alam semula jadi.

Kita tidak seharusnya memandang remeh untuk mengantikan pokok yang telah kita musnahkan dengan pokok-pokok baru yang di tanam secara terancang supaya kita dapat kekalkan alam semula jadi kita. Walaupun penanaman pokok-pokok baru ini tidak akan sama seperti sediakala sekurang-kurangnya pokok-pokok yang ditanam dapat mengembalikan keadaan semulajadi dan mengurangkan kesan daripada aktiviti pembangunan yang dilaksanakan.

Banyak usaha perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran awam serta menanamkan rasa tanggungjawab dalam diri setiap orang untuk memulihara warisan bakau semula jadi yang menyimpan sebahagian daripada flora dan fauna dunia yang terancam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...