Pembaca Setia

21 September 2010

Definisi kurikulum serta matlamat dan objektif kurikulum

Berdasarkan penulisan Ishak Ramly (2003), kurikulum merangkumi semua pengalaman yang didapati di dalam dan luar sekolah dan perkara yang diajarkan di sekolah dan bilik darjah. Beliau turut mengelaskan kurikulum kepada tiga bahagian iaitu:

  • Kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan di sekolah
  • Kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan secara praktikal di dalam kelas
  • Kurikulum adalah pengisian sepanjang hayat bagi membudayakan ilmu dan pengalaman individu ataupun berkumpulan.

Yusuf Hashim (2000) pula menganggap kurikulum sebagai laluan atau balapan bagi sesuatu pertandingan perlumbaan kereta kuda berdasarkan maksud perkataan kurikulum yang berasal daripada perkataan Latin iaitu Curere yang bermaksud laluan. Manakala dalam bahasa Ingeris, kurikulum bermaksud jelmaan atau metamorphosis. Paduan maksud kedua-dua bahasa ini menghasilkan definisi laluan dari satu peringkat ke satu peringkat.

Banyak lagi sumber-sumber yang menterjemahkan maksud kurikulum yang lebih kompleks. Secara ringkas, kurikulum adalah bidang pengajian di sekolah.

Kurikulum berperanan sebagai garis panduan dan penentu sempadan ilmu yang hendak disampaikan. Ini bermaksud bahawa maklumat-maklumat akan disampaikan mengikut peringkat yang tertentu. Kurikulum di sekolah perlu sentiasa relevan dengan keperluan dan kehendak semasa. Pusat Perkembangan Kurikulum sentiasa merangka kurikulum pendidikan di Malaysia dari semasa ke semasa mengikut aliran tinggi. Kurikulum perlu diubahsuai mengikut keperluan supaya murid-murid sentiasa bergerak seiring dengan trend pengetahuan semasa.

Kurikulum pendidikan dibina atas beberapa tujuan. Antaranya adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi serta berketerampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif.

Selain daripada itu, kurikulum pendidikan juga menggabungkan jaringan unsur nilai moral dan agama merentasi kurikulum. Bagi mencapai hasrat ini, kurikulum telah menitikberatkan aspek kepemimpinan murid-murid melalui ko kurikulum. Kurikulum yang sama digunakan di semua sekolah di Malaysia bermatlamat untuk menguatkan hubungan sosial antara masyarakat majmuk di Malaysia. Kurikulum yang seragam dan adil dapat membentuk masyarakat yang bersatu padu dan menyingkirkan sikap prejudis antara kaum.

Akhir sekali, kurikulum juga diharap dapat membantu pembentukan insan dan warganegara yang mempunyai semangat patriotisme dan cinta kepada tanah air.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...