Pembaca Setia

21 September 2010

Cara-cara dan tujuan untuk berfikir secara kritis dalam pengajaran Pendidikan Jasmani

Kemahiran berfikir adalah kecekapan menggunakan akal menjalankan proses pemikiran. Seseorang yang memperolehi kemahiran berfikir sanggup dan cekap dalam menyusun maklumat, konsep atau idea secara yang teratur dan membuat kesimpulan atau keputusan yang tepat untuk tindakan yang terarah dan sewajarnya. Kemahiran berfikir terbahagi kepada dua iaitu kemahiran berfikir secara kritis dan kemahiran berfikir secara kreatif.

Asasnya, pemikiran kritis menjadikan kita lebih terbuka dalam menerima sesuatu, di samping cuba mempertimbangkannya semula, menganalisa secara kritis dengan mengambilkira pelbagai sudut. Ia juga memungkinkan pencernaan beberapa idea dan konsep baru.

Ilmu pemikiran kritis juga membolehkan selain menganalisa hujah (hujah yang kuat atau lemah, teori berguna atau menyangkalnya), kita juga berupaya berhujah dengan berkesan sekali. Hakikatnya ia mampu membuatkan kita berhujah dengan baik atau menganalisa hujah dengan lengkap.

Pemikiran kritis menjadikan kita lebih kritis dan peka dalam mengkaji sesebuah hujah ataupun penyataan yang dikeluarkan secara pengucapan ataupun penulisan. Ia dapat menyedarkan kita bahawa sesebuah penyataan itu tidak semestinya benar walaupun konteks struktur penyataannya adalah betul.

Pemikiran kritis juga mampu membuka minda kita agar lebih menerima berbanding terus menolaknya secara falasi kejahilan. Kita akan lebih berkeyakinan dalam menangani permasalahan serta jelas dalam melihat sesuatu fenomena.


Pemikiran Kritis Dalam Pendidikan Jasmani

Pemikiran kritis dalam pendidikan jasmani bertumpu kepada tahap kefahaman dan pengetahuan murid dalam semua topik dalam subjek tersebut. Melalui ujian seperti ini guru perlu melihat murid-murid dari aspek kefahaman dan pengetahuan murid ketika murid sedang melaksanakan sesuatu bidang kemahiran. Murid juga perlu diterapkan dan dilatih untuk mentafsir, mengguna dan melaksanakan kemahiran berdasarkan teknik-teknik yang telah diajar oleh guru. Apabila murid mempraktikkan suatu kemahiran, kefahaman dan tahap pengetahuan sedia ada murid ini boleh dijadikan kayu pengukur kepada komponen kognitif.


Cara-cara untuk berfikir secara kritis dalam pengajaran Pendidikan Jasmani.

Pertama, penglibatan murid secara aktif dan selamat. Melalui cara ini, murid diberi ruang yang sama rata untuk melahirkan perasaan atau pendapat mereka mengenai sesuatu tajuk dalam pembelajaran.

Kedua, interaksi yang kreatif dengan rakan, bahan dan alatan. Melalui cara ini, murid diberi suatu peranan atau situasi untuk mereka selesaikan. Melalui manipulasi yang boleh dijalankan oleh murid-murid, mereka akan secara tidak langsung akan cuba berfikir secara luar kotak bagi menyelesaikannya.

Ketiga, penglibatan murid secara penghayatan ilmu. Ianya bermaksud murid-murid diajar untuk memahami dan menghayati dan bukannya dengan cara terima dan hafal sahaja. Dengan cara sebegini, murid-murid mampu mengasah fikiran mereka bagi mengaplikasikan pengetahuan yang mereka ada dengan situasi yang dihadapi.

Keempat, interaksi dengan guru, rakan dan masyarakat. Interaksi murid-murid dengan orang yang lebih dewasa mampu membuka minda murid dalam memahami sesuatu situasi. Peranan guru amat penting dalam memastikan murid-murid mendapat layanan yang mampu mencorak fikiran mereka.

Tujuan untuk berfikir secara kritis dalam pengajaran Pendidikan Jasmani.

Pertama, dapat memahami kepentingan Pendidikan Jasmani dalam kehidupan murid. Kedua, supaya murid dapat mengaplikasikan cara hidup yang sihat melalui pemahamam yang mendalam tentang kesihatan. Ketiga, agar murid tidak memandang Pendidikan Jasmani sebagai satu subjek yang membosankan. Keempat, menjadi medan untuk murid melahirkan pertanyaan mengenai kesihatan yang begitu dekat dengan diri mereka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...