Pembaca Setia

22 September 2010

Teori Transformasi-Generatif

Teori Transformasi-Generatif diperkenalkan oleh Noam Chomsky untuk digunakan dalam Rancangan Pengajaran Harian.

Noam Chomsky ialah ahli psikolinguistik dari Amerika Syarikat. Chomsky berpendapat bahawa kanak-kanak dilahirkan dengan alat pemerolehan bahasa yang dikenali sebagai LAD (Language Acquisition Devise). Menurut beliau, secara semula jadi, sewaktu dalam lingkungan umur tiga tahun, kanak-kanak sudah boleh bercakap dengan menggunakan tatabahasa transformasi-generatif. Tatabahasa transformasi-generatif (iaitu kebolehan kanak-kanak membentuk dan memanipulasi ayat-ayat) tidak dipelajarinya secara formal. Kebolehan itu “dipelajari” kanak-kanak melalui komunikasi lisan dengan orang dewasa.

Chomsky telah membezakan antara “kebolehan bahasa” dengan “pengetahuan bahasa”. Menurutnya, kebolehan bahasa bermaksud kebolehan kanak-kanak menggunakan bahasa. Pengetahuan bahasa bermaksud pengetahuan kanak-kanak tentang bahasa, iaitu tentang bentuk ayat, sistem makna dan sistem bunyi yang didengar dalam bahasa yang digunakannya. Pengetahuan tersebut tidak diajar secara formal tetapi ditiru, dipelajari dan difahami iaitu dengan mendengar dan bertutur. Menurut Chomsky, sungguhpun kanak-kanak memang tidak dapat menerangkan rumus-rumus tatabahasa yang telah diserapinya, dia bagaimanapun dapat menggunakannya dengan betul. Dengan kata lain, daripada perlakuan bahasa kanak-kanak, kita boleh menilai sejauh mana dia telah memahami dan mempunyai pengetahuan tentang bahasa yang dituturnya. Menurut Chomsky, kanak-kanak dilahirkan dengan keupayaan semulajadi untuk menyerap pengetahuan tersebut, termasuk pengetahuan tentang tatabahasa bahasa yang didengar atau dituturnya.

Alat pemerolehan bahasa atau LAD yang dikatakan oleh Chomsky itu dipercayai berada di dalam otak manusia. Alat dan kebolehan semulajadi untuk mempelajari dan memahami bahasa itu dinamakan language universals, yang terdapat pda semua manusia dan boleh digunakan untuk mempelajari semua bahasa di dunia. Misalnya, semua bahasa memerlukan subjek dan predikat dalam sebaris ayat. Bentuk ayat itu mungkin berbeza. Ada yang berbentuk biasa dan ada yang berbentuk songsang. Ada kata adjektif yang terletak sebelum kata nama dan ada yang terletak selepas kata nama. Sungguhpun demikian, manusia boleh mempelajari pelbagai bahasa, dan ini boleh berlaku pada peringkat awal lagi, iaitu pada peringkat kanak-kanak sebelum mereka masuk ke alam persekolahan dan belajar secara formal. Maka oleh itu, Chomsky pernah mengatakan bahawa “Grammar is caught and not taught”. Maksudnya, aspek tatabahasa itu diserap oleh kanak-kanak dan tidak diajarkan kepada mereka secara formal.

Teori Ciri-ciri

  • Penutur jati berupaya menggunakan bahasa apabila berhadapan dengan pelbagai keadaan.
  • Bahasa adalah sistem tentang rumus-rumus bahasa.
  • Ayat mempunyai struktur dalaman dan permukaan.
  • Pengetahuan bahasa merupakan suatu fenomena mental.
  • Bahasa bersifat sejagat dan kreatif.
  • Penutur dilahirkan dengan kecekapan semulajadi.

Kesimpulannya, teori Chomsky yang tergolong dalam kumpulan mentalis cuba menerangkan perkembangan bahasa kanak-kanak. Chomsky telah mengaitkan pemerolehan bahasa itu dengan alat pemerolehan bahasa semulajadi (LAD). Teori Chomsky juga dinamakan sebagai teori nativistik kerana teorinya menekankan sifat semulajadi atau keaslian yang terdapat hanya dalam diri manusia. Sifat asli itu ialah potensi berbahasa yang secara semulajadinya sudah pun wujud apabila kanak-kanak dilahirkan dan pembelajaran bahasa itu boleh berlaku tanpa pengajaran formal yang terdapat di sekolah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...