Pembaca Setia

21 September 2010

Kategori Dan Maksud Kecergasan Keseluruhan Dalam Pendidikan Jasmani.

Berdasarkan kepada sukatan pelajaran, Pendidikan Jasmani dibahagikan kepada tiga tunjang utama iaitu kecergasan, kemahiran dan kesukanan. Dalam konsep tunjang kecergasan, ia menitikberatkan keupayaan murid melakukan aktiviti fizikal secara berterusan tanpa merasa lesu.

Konsep kecergasan keseluruhan dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu kecergasan berasaskan kesihatan dan kecergasan berasaskan perlakuan. Kecergasan berasaskan kesihatan merangkumi elemen-elemen seperti daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan, kelenturan dan komposisi badan.

Kecergasan berasaskan kesihatan bagi komponen daya tahan kardiovaskular ditekankan kepada murid-murid tahap satu dan tahap dua. Hal ini supaya dapat meningkatkan tenaga murid supaya mereka tidak mudah merasa letih meskipun melakukan pelbagai aktiviti. Antara contoh aktiviti daya tahan kardiovaskular ialah lari ulang alik 10m, lompat ketingting mengejar rakan dan naik turun bangku gimnastik.

Sementara kecergasan berasaskan kesihatan bagi komponen daya tahan otot ditekankan kepada murid tahun dua sahaja. Antara aktiviti yang disyorkan ialah bangkit tubi bengkok lutut, tekan tubi dan melompat dua belah kaki sambil bergerak 20m. Melalui komponen ini, diharapkan murid dapat menambahkan ketahanan kekuatan otot.

Kecergasan berasaskan kesihatan bagi komponen kekuatan ditumpukan hanya kepada murid tahap dua kerana ia memerlukan tenaga yang lebih untuk melakukan aktiviti berasaskan kekuatan. Antara aktiviti tersebut ialah tolak beban berpasangan, tekan tubi dan tolak bahu berpasangan.

Komponen kelenturan pula diutamakan pada setiap peringkat sekolah. Komponen ini ditekankan supaya anggota badan murid-murid akan menjadi lebih lembut. Contoh aktiviti-aktiviti yang disyorkan ialah mengilas badan ke kiri dan ke kanan, melentik badan ke kanan kiri dan belakang dan meregang otot-otot kaki statik.

Komponen terakhir sekali dalam kecergasan berasaskan kesihatan ialah komposisi badan. Komponen ini diajarkan kepada murid tahun enam sahaja. Pada ketika ini, murid-murid mula memahami perkembangan fizikal mereka dan mengetahui tentang keadaan bentuk badan mereka. Oleh itu, guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani hendaklah mengajar murid bagaimana mengira indeks jisim badan.

Elemen-elemen yang terdapat dalam kecergasan berasaskan perlakuan pula ialah koordinasi, imbangan, ketangkasan, kuasa, masa tindak balas dan kepantasan.

Tujuan utama pengajaran kecergasan berasaskan perlakuan bagi komponen koodinasi ialah membolehkan murid-murid dapat membuat anggaran dengan betul. Kebanyakan aktiviti-aktiviti bagi komponen ini dilakukan dengan bantuan alat. Antara contoh-contoh aktiviti ialah golek dan kawal gelung rotan, lambung dan pukul bola kecil serta golek dan tangkap bola berpasangan.

Komponen imbangan pula diajar kepada semua murid tanpa mengira tahap. Murid akan diajar aktiviti imbangan yang berunsurkan gimnastik. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti berjalan dan mengimbang di garisan lurus dan guling depan.

Sementara komponen ketangkasan pula diajar pada murid tahap satu dan tahap dua. Aktiviti yang biasa dijalankan ialah lari ulang alik. Namun demikian, unsur ini boleh dimasukkan ke dalam permainan kanak-kanak seperti main sentuh ekor dan galah panjang. Pada tahap dua, lari zig-zag akan menjadi aktiviti untuk menguji ketangkasan murid-murid. Melalui komponen ini juga, diharapkan murid-murid berupaya memukul dan menangkap bola kecil pelbagai aras dan arah.

Kecergasan berasaskan perlakuan bagi komponen kuasa hanya diajar pada murid tahun enam sahaja. Ketika ini, murid-murid boleh diuji sejauh manakah kuasa setelah menjalankan banyak aktiviti-aktiviti kecergasan. Aktiviti yang biasa dijalankan ialah melontar peluru dan lompat jauh.

Dalam komponen masa tindak balas, guru akan menguji sejauh manakah tindak balas murid terhadap sesuatu rangsangan atau pun objek. Hal ini akan meningkatkan kepekaan dan kelajuan tindak balas murid. Contoh-contoh aktiviti yang boleh dilakukan oleh guru ialah permainan sebut nombor dan baling pundi kacang secara berpasangan.

Komponen terakhir sekali dalam kecergasan berasaskan perlakuan ialah kepantasan. Komponen ini hanya diajar pada murid-murid tahap dua sahaja. Murid-murid akan menjalankan aktiviti-aktiviti seperti lari pecut 30m, melantun bola sabil berlari dan lari berganti-ganti 50m.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...