Pembaca Setia

11 March 2010

Pengkhususan Kuasa (Pengasingan Kuasa)

Negara Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Dalam sistem pemerintahan ini terdapat tiga buah badan utama iaitu :

1) Badan Pemerintah (Eksekutif)

2) Badan Perundangan (Legilatif)

3) Badan Kehakiman (Judisial)

Kuasa ketiga-tiga badan ini tidak bertindan dan masing-masing mempunyai peranannya yang tersendiri. Tidak ada campur tangan antara satu badan dengan badan yang lain. Bertujuan untuk memastikan keneutralan setiap badan tersebut. Setiap badan tidak boleh mempengaruhi keputusan atau tindakan yang dibuat oleh badan-badan yang lain. Konsep ini dikenali sebagai pengkhususan kuasa atau pengasingan kuasa.

Badan Perundangan

Berfungsi menggubal, meminda dan meluluskan undang-undang. Terdapat dua tahap badan perundangan:

  1. Peringkat persekutuan di parlimen
  2. Peringkat negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN)

Perlembagaan Persekutuan mengizinkan badan pemerintah iaitu Jemaah Menteri (eksekutif) bagi menggubal, meminda dan meluluskan undang-undang atas nama Parlimen untuk dikuatkuasakan oleh menteri atau pihak berkuasa yang lain (penjawat eksekutif). Ini bermakna kuasa menggubal undang-undang, menurut Perlembagaan telah diamanah dan diwakilkan kepada badan pemerintah (eksekutif). Amalan sedemikian dinamakan undang-undang perwakilan. Keadaan yang sama berlaku pada peringkat negeri, di bawah bidang kuasa yang diberikan DUN pula menggubal undang-undang. Undang-undang inilah yang dijadikan panduan bagi pihak eksekutif di kedua-dua peringkat, persekutuan dan negeri untuk mentadbir dan menguruskan pemerintahan negara. Undang-undang yang siap digubal oleh Parlimen atau DUN tidak boleh dikuatkuasakan sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi peringkat persekutuan dan Sultan atau Yang Dipertua Negeri bagi peringkat negeri.

Sistem Kerajaan Berparlimen

Parlimen memiliki kuasa untuk menggubal undang-undang. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi yang memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal Undang-undang Persekutuan dan juga negeri-negeri di dalamnya. Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas mengenai perkara-perkara di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan dan Parlimen untuk membuat undang-undang. Perlembagaan persekutuan juga menentukan perkara-perkara di bawah tanggungjawab Kerajaan-kerajaan Negeri dan DUN yang boleh membuat undang-undang. Perlembagaan Persekutuan mencatatkan dengan jelas perkara-perkara di mana Parlimen dan DUN secara bersama boleh menggubal undang-undang. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) adalah Ketua Utama Negara. Baginda hanya menjalankan kuasa-kuasa baginda mengikut peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan. Begitu juga dengan fungsi mahkamah, walaupun ia berkuasa mentafsir perlembagaan, membatal mana-mana Undang-undang Persekutuan dan Negeri-negeri serta membuat penentuan sah atau tidak akan sesuatu tindakan Kerajaan, namun ia bukan badan tertinggi berbanding Perlembagaan Persekutuan. Namun, mahkamah mempunyai kuasa-kuasa tertentu sekiranya Parlimen dan Badan Pemerintah bertindak di luar bidang kuasa dan yang bertentangan dengan Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan menentukan bentuk dan tugas-tugas Badan Pemerintah Negara iaitu YDPA, Parlimen, Jemaah Menteri, Mahkamah, Pilihan Raya dan Perkhidmatan Awam. Perlembagaan Persekutuan juga menentukan berbagai-bagai prinsip seperti hak kebebasan asasi, kewarganegaraan, agama rasmi, dan bahasa rasmi serta kedudukan istimewa kepada kaum tertentu di negara ini.

Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

Komponen utama dalam Parlimen Malaysia. Tidak menghadiri Persidangan Parlimen. Bertitah di pembukaan rasmi penggal parlimen. Berkuasa memanggil, membatal dan membubarkan parlimen. Mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri. Ketua utama Negara Malaysia. Tidak boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah. Raja yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut peraturan yang termaktub di dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan. Pengecualian jika baginda tidak cukup umur atau menolak atau tidak layak disebabkan keuzuran akal dan kesihatan. Memegang jawatan selama lima tahun. Tiga perkara yang boleh dilakukan mengikut budi bicara baginda sendiri. Melantik Perdana Menteri. Tidak mempersetujui permintaan membubarkan parlimen. Meminta supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja. Pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Berkuasa mengisytiharkan darurat.

Dewan Negara

Komponen kedua dalam Parlimen Malaysia. Majlis Tertinggi atau Senat. Membahaskan sesuatu rang undang-undang dengan lebih halus dan terperinci. Membincangkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan umum.

Mengikut perlembagaan Persekutuan Perkara 45, keanggotaan Dewan Negara adalah seperti berikut:

Tertakuk kepada Fasal (4), Dewan Negara hendaklah mengandungi ahli-ahli yang dipilih dan dilantik seperti berikut :

1. Dua orang ahli bagi tiap-tiap satu negeri hendaklah dipilih mengikut Jadual Ketujuh

(a) Dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah dilantik oleh YDPA, dan

(b) 40 orang ahli hendaklah dilantik oleh YDPA

2. Ahli-ahli yang akan dilantik oleh YDPA ialah orang yang telah membuat jasa cemerlang dalam perkhidmatan awam atau telah mencapai kepujian dalam lapangan profesional, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan atau perkhidmatan masyarakat atau yang mewakili kaum-kaum kecil bilangannya atau yang mempunyai kebolehan mewakili kepentingan Orang Asli

3. Tertakluk kepada Peruntukan Jadual Ketujuh, tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan tempoh itu tidaklah tercacat oleh pembubaran parlimen

4. Parlimen boleh dengan undang-undang :

  1. Menambah bilangan ahli yang akan dipilih bagi tiap-tiap satu negeri hingga tiga orang
  2. Membuat peruntukan supaya ahli-ahli yang akan dipilih bagi tiap-tiap satu negeri dipilih dengan undi terus oleh pemilih-pemilih negeri itu
  3. Mengurangkan bilangan ahli yang dilantik atau menghapuskan ahli-ahli yang dilantik

Seseorang ahli Dewan Negara boleh berhenti daripada menjadi ahli dengan menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Negara. Tidak hadir dalam tiap-tiap mesyuarat Dewan Negara selama enam bulan tanpa mendapat izin Dewan Negara maka Dewan mengisytiharkan tempat ahli tersebut sebagai kosong. Jika ahli tidak hadir dalam tiga bulan selepas dipilih, maka terhentilah beliau daripada menjadi ahli. Jika berlaku kekosongan, ia hendaklah diisi mengikut syarat-syarat yang terkandung di bawah Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan. Setiap ahli Dewan Negara akan mengangkat sumpah sebelum mengambil tempatnya di Dewan Negara. Bagi mengendalikan perjalanan persidangan atau Mesyuarat Dewan Negara, seorang Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua dipilih di kalangan ahli-ahli Dewan itu sendiri. Jika seseorang ahli Dewan Negeri telah terpilih, maka beliau hendaklah berhenti menjadi ahli Dewan Negeri. Sekiranya Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua tidak hadir dalam persidangan Dewan Negara, maka tugas Yang Dipertua bolehlah dilaksanakan oleh seorang ahli Dewan yang lain yang dipilih mengikut peraturan Dewan Negara. Dewan Negara juga mempunyai seoarang setiausaha yang dilantik oleh YDPA.

Dewan Rakyat

Komponen ketiga dalam Perlimen Malaysia. Satu majlis khas untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pendapat serta mendapatkan pembelaan menerusi wakil-wakil mereka. Kesemua ahli Dewan Rakyat dipilih menerusi pilihan raya. Setiap ahli akan mewakili satu kawasan pilihan raya iaitu kawasan pilihan raya Dewan Rakyat.

Mengikut Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, keanggotaan Dewan Rakyat adalah seperti berikut:

Dewan Rakyat hendaklah mengandungi 194 orang anggota yang dipilih. Daripada bilangan itu, 182 orang anggota ialah dari negeri-negeri dalam Malaysia dan 12 orang ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Kelayakan Menjadi Ahli Parlimen

Setiap warganegara yang bermastautin di Persekutuan Malaysia adalah layak menjadi ahli Dewan Rakyat, jika beliau berumur tidak kurang daripada 21 tahun, melainkan jika seseorang itu hilang kelayakan menjadi ahli menurut perlembagaan itu atau mengikut mana-mana undang-undang yang dibuat mengikut di bawah Perkara 48. Tempoh jawatan ahli Dewan Rakyat akan tamat apabila Parlimen dibubarkan, tetapi mereka boleh berhenti dengan menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Seseorang ahli Dewan Rakyat dianggap berhenti dari menjadi ahli jika beliau hilang kelayakan mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, seperti berikut:

Ia adalah dan telah didapati atau diisytiharkan sebagai seorang yang tidak sempurna akal. Ia seorang bankrap yang belum dilepaskan. Ia memegang sesuatu jawatan berpendapatan. Tidak menghantar apa-apa penyata perbelanjaan pilihan raya yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki. Ia telah disabitkan suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM 2000 dan ia tidak mendapat ampun.

Atau

Ia telah dengan sengaja memperoleh kewarganegaraan mana-mana negeri luar Persekutuan, atau telah dengan sengaja menggunakan hak kewarganegaraan di suatu negeri asing atau telah membuat sesuatu akuan taat setia kepada mana-mana negeri luar Persekutuan.

Persidangan Parlimen

Bersidang apabila dipanggil oleh YDPA. Tidak boleh dibiarkan enam bulan berselang antara mesyuarat akhir bagi satu penggal dengan mesyuarat pertama bagi penggal yang akan dating. Parlimen akan kekal selama lima tahun daripada tarikh mesyuaratnya yang pertama. Parlimen tidak bersidang di sepanjang penggal tetapi mengadakan mesyuarat sebanyak tiga atau empat kali dalam satu penggal.

Keistimewaan Parlimen

Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah. Tiada seorang pun boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah mengenai apa-apa yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberi olehnya apabila mengambil bahagian dalam apa-apa perjalanan mana-mana Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya. Tiada seorang pun boleh dikena dakwa dalam apa-apa perbicaraan dalam mana-mana mahkamah mengenai apa-apa jua yang disiarkan dengan atau di bawah kuasa mana-mana Majlis Parlimen.

Pilihan Raya

Ciri utama bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen ialah pilihan raya bebas. Objektif: rakyat dapat menggunakan hak mereka untuk memilih corak Kerajaan yang boleh memerintah dengan baik dan adil. Parti politik yang paling banyak mendapat kepercayaan rakyat berhak menggunakan mandat selama lima tahun sehingga pilihan raya yang baru diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya

Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya ini dilantik oleh YDPA selepas perundingan dibuat dengan Majlis Raja-Raja.

Tugas : menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negeri, menyiapkan dan menyemak daftar pengundi, menjalankan pilihan raya bagi Kerajaan Tempatan, menyemak dan mengubah kawasan pilihan raya dan membuat peraturan tertentu bagi melaksanakan tugas-tugas tersebut. Seseorang pengerusi dan ahli-ahli suruhanjaya tidak boleh dilucutkan jawatannya kecuali setelah mendapat pandangan dan syor-syor daripada Jemaah Hakim.

Kelayakan Pengundi

Setiap warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan. Bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh (kelayakan) itu atau jika tidak bermastautin, ia dianggap sebagai pengundi tidak hadir. ‘Tarikh kelayakan’ bermaksud tarikh yang menurutnya daftar-daftar pemilih atau pengundi telah disediakan atau disemak. ‘Pengundi tidak hadir’ mengenai sesuatu bahagian pilihan raya, ertinya mana-mana warganegara yang didaftarkan sebagai seorang pengundi tak hadir bagi bahagian pilihan raya itu di bawah peruntukan mana-mana undang-undang berhubung dengan pilihan raya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...