HUBUNGI SAYA

HUBUNGI SAYA
STESEN BERKHIDMAT SEMASA

Pembaca Setia

17 March 2010

Kerajaan

Definisi Kerajaan

Menurut Wikipedia, Kerajaan (juga disebut "pemerintah") ialah badan dalam suatu pertubuhan yang mempunyai kuasa untuk membuat dan melaksanakan undang-undang dan peraturan dalam sesebuah kawasan tertentu.


Lazimnya, kerajaan merujuk kepada kerajaan awam sama ada pada peringkat tempatan, kebangsaan atau antarabangsa. Bagaimanapun, pertubuhan komersial, akademik, keagamaan dan lain-lain sepertinya juga mempunyai pemerintah dalaman. Saiz kerajaan berbeza mengikut kawasan dan tujuannya.


Kepentingan Kerajaan Sebagai Pemerintah


"Kerajaan bukan lagi terhad kepada "maintenance of law and order" dan memungut hasil. Tetapi peranan Kerajaan sudah diperluaskan sehingga terlibat dengan semua gerak-geri ekonomi, sosial dan politik dalam sebuah negara yang merdeka". (Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad).


Secara umumnya kerajaan berfungsi sebagai pengatur kehidupan dalam sesebuah negara untuk mencapai tujuan berikut:


1. Ketertiban dan keamanan negara

2. Kebajikan rakyat

3. Mengeratkan perpaduan dan keharmonian

4. Pertahanan dan keamanan

5. Perhubungan antarabangsa


Ketertiban dan Keamanan Negara

Dalam usaha untuk mencapai keamanan masyarakat dan negara, anggota masyarakat memerlukan Kerajaan atau lebih tepat lagi pemerintahan. Tugas pemerintah ialah menjaga supaya anggota masyarakat mendapat perlindungan daripada yang bengis dan nakal dalam kalangan mereka. Undang-undang dan peraturan-peraturan adalah digubal, dan dikuatkuasakan oleh pemerintah demi menjayakan matlamat ini.

Sesebuah kerajaan perlu melaksanakan ketertiban (law and order) untuk mencapai tujuan dan matlamat bersama. Ketertiban atau juga boleh ditakrifkan sebagai disiplin perlu dititikberatkan oleh sesebuah kerajaan bagi mencegah berlakunya kepincangan dalam masyarakat. Dalam melaksanakan ketertiban ini, kerajaan akan bertindak sebagai stabilizer atau pihak yang akan menjadi orang tengah sekiranya berlaku perselisihan dalam kalangan masyarakat.


Penggubalan dan pelaksanaan undang-undang membantu kerajaan mewujudkan ketertiban dan keamanan dalam negara. Undang-undang dalam politik dan perundangan, merupakan satu sistem peraturan atau norma yang cuba diikuti oleh ahli-ahli masyarakat. Biasanya ini adalah peraturan sesebuah negara. Jika peraturan-peraturan ini dilanggar, orang yang melanggar peraturan tersebut mungkin dihukum atau didenda oleh mahkamah/polis. Peraturan ini biasanya dibuat oleh pemerintah negara tersebut supaya rakyatnya boleh hidup, bekerja dan bersosial antara satu sama lain.

Kerajaan Malaysia sebagai contoh, mempunyai badan tertentu yang berperanan dalam membentuk undang-undang (Badan Legislatif) dan menguatkuasakan undang-undang (Badan Eksekutif). Perlembagaan Malaysia atau Perlembagaan Persekutuan, ialah undang-undang tertinggi seluruh negara yang menyediakan rangka perundangan untuk undang-undang, perundangan, mahkamah, dan aspek-aspek lain pentadbiran undang-undang. Perlembagaan juga mentakkrifkan kerajaan, raja, dan kuasa-kuasanya, serta hak-hak rakyat.


Kebajikan Rakyat

Dalam konteks rakyat, Kerajaan bukan selalunya bermakna wakil yang dilantik oleh mereka, tetapi lebih kerap ialah pegawai dengan siapa mereka mengadakan perhubungan setiap masa. Di sinilah peranan Kerajaan sebagai pemelihara kebahagiaan dan kebajikan rakyat menjadi penting.

Kerajaan perlu mengusahakan kesejahteraan dan kemakmuran rakyatnya. Pada masa sekarang, fungsi itu dianggap sangat penting, terutama bagi negara-negara baru atau yang sedang berkembang.


Di dalam sesebuah negara, taraf ekonomi dan taraf hidup rakyatnya terdiri dari pelbagai latar belakang yang berbeza. Ada yang miskin dan ada yang kaya. Jurang sebegini rupa sememangnya wujud dalam mana-mana kerajaan. Jika kebajikan rakyat dinafikan haknya, maka akan berlaku kepincangan dan ketidakstabilan sosial dalam negara. Oleh sebab yang demikian, kerajaan sebagai badan pemerintah yang bertanggungjawab perlulah mengambil kira hal ehwal kebajikan setiap rakyatnya tanpa mengira kaum atau kepentingan yang tertentu tertentu. Pembangunan ekonomi dan sosial harus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

Kerajaan Malaysia sebagai contoh, amat menitikberatkan aspek kebajikan rakyatnya. Sejak di awal kemerdekaan Malaysia, kerajaan telah berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup rakyatnya melalui pelbagai dasar yang telah diperkenalkan. Dasar Ekonomi Baru diwujudkan sebagai salah satu strategi kerajaan untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Selain itu, dasar ini juga berfungsi untuk menyusun semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Jelas, keseimbangan kemewahan secara adil adalah perlu bagi menyelesaikan masalah sosial masyarakat seperti kemiskinan, pengangguran, kebuluran dan sebagainya.


Mengeratkan Perpaduan dan Keharmonian

Pembangunan sosial juga amat penting dalam pembangunan dan perpaduan negara. Dalam sesebuah negara, pembangunan sosial dan pembangunan ekonomi saling melengkapi. Kerajaan sebagai pemerintah perlu berusaha mengatur langkah dan strategi untuk membina perpaduan dan keharmonian. Kerajaan perlu membina hubungan yang erat dengan rakyat. Hubungan dua hala di antara pemerintah dengan yang diperintah mampu menyumbang kepada keharmonian negara.

Kerajaan memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan perpaduan dan keharmonian. Tanpa perpaduan dan keharmonian, kestabilan sosial negara akan tergugat dan boleh berpecah belah. Sekiranya perkara yang negatif ini berlaku, maka seluruh sistem kerajaan akan lumpuh dan terganggu. Kerajaan wujud hasil daripada kesepaduan dan kesepakatan anggota masyarakatnya. Apabila perpaduan menjadi lumpuh, kerajaan juga akan turut lumpuh.
Sekiranya kerajaan tidak mampu untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara rakyatnya yang terdiri dari pelbagai kaum dan ideologi, maka keamanan, ketenteraman dan keselamatan negara akan terancam. Rusuhan kaum yang berlaku di Malaysia pada 13 mei 1969 jelas membuktikan bahawa tanpa perpaduan, negara akan menjadi huru-hara. Menyedari hakikat itu, kerajaan Malaysia terus menggubal Rukun Negara dan ideologi ini telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Rukun Negara mempunyai beberapa matlamat yang penting. Antaranya ialah untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Perpaduan rakyat sangat penting supaya rusuhan kaum seperti yang telah terjadi tidak berulang kembali. Rukun Negara juga bermatlamatkan memelihara cara hidup demokratik, serta mencipta sebuah masyarakat yang adil. Ia juga ingin menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai.

Untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian, kerajaan perlu bijak merancang dan membina matlamat untuk merealisasikan agenda ini. Kerajaan Malaysia sebagai contoh, sedang berusaha membudayakan Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menterinya yang Keenam, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Menurut beliau, matlamat gagasan 1Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian ini yang selama ini menjadi kekuatan negara dan akan kekal sebagai bekalan terbaik negara untuk masa hadapan. Kesungguhan kerajaan Malaysia melaksanakan gagasan ini membuktikan bahawa perpaduan amat penting untuk diwujudkan dan kerajaan bertanggungjawab untuk menjayakannya.


Pertahanan dan Keamanan

Sesebuah kerajaan bertanggungjawab untuk mengusahakan pertahanan untuk menjaga kemungkinan serangan dari luar. Negara harus dilengkapi dengan alat-alat pertahanan yang kuat dan canggih.

Sesebuah kerajaan juga perlu mempertahankan kelangsungan hidup warganegaranya dari setiap ancaman dan gangguan yang timbul dari dalam mahupun datang dari luar negara. Ancaman dan gangguan tersebut mungkin berupa serangan dari luar negeri mahupun golongan-golongan dari dalam negeri yang ingin memecah belah masyarakat dan perpaduan bangsa.

Bagi negara-negara yang berkongsi sempadan darat atau laut atau kedua-duanya dengan negara lain, kerajaan perlu sentiasa mengikuti perkembangan negara jirannya kerana ia juga memberi kesan kepada keselamatan dan pembangunannya. Sebarang gangguan kepada keselamatan dalam kawasan kejiranan, sama ada berbentuk konflik dalaman rantau atau luaran rantau, akan membawa kesan ke atas keselamatan negara.

Sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, Malaysia menyedari bahawa langkah yang paling wajar untuk memelihara kepentingan dan keselamatan negara adalah melalui usaha ke arah keupayaan berdikari yang merupakan teras dasar pertahanan negara. Kerajaan Malaysia telah membentuk Dasar Pertahanan Negara yang mencerminkan hasrat negara untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan negara. Ia menekankan keperluan mengekalkan sekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman.

Hubungan dagangan negara yang kian berkembang, adanya pasaran baru untuk hasil-hasil keluarannya, pelaburan asing yang bertambah dan pengambilalihan negara terhadap syarikat-syarikat swasta yang memiliki kepentingan-kepentingan di seluruh dunia, telah menjadikan kepentingan-kepentingan negara menjangkau luar dari kawasan terdekat dan serantau. Berdasarkan keadaan sedemikian, maka adalah menjadi kepentingan negara untuk memastikan keamanan dunia terpelihara.

Konsep pertahanan menyeluruh berkait dengan usaha yang total dan bersepadu yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam mempertahankan negara. Pemeliharaan keutuhan dan kedaulatan sesebuah negara memerlukan komitmen seluruh rakyat, dan tidak hanya oleh pasukan keselamatan. Sungguhpun tugas mempertahankan negara merupakan tanggungjawab pasukan keselamatan, kewajipan untuk memastikan bahawa pasukan berkenaan mampu menghadapi cabaran adalah tanggungjawab nasional. Kemantapan sistem pertahanan dalam sesebuah kerajaan mampu mewujudkan keamanan negara.


Perhubungan Antarabangsa

Semua negara di dunia perlu saling bergantungan antara satu sama lain demi kepentingan aspek politik, ekonomi dan sosial masing-masing. Bagi sesetengah kerajaan, pelaksanaan perhubungan antarabangsa dianggap penting sebagai salah satu strategi untuk mempertahankan kemerdekaan negara, menjamin keselamatan dan kedaulatan negara, memelihara hubungan baik dengan negara-negara lain dan mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.

Dasar Luar Malaysia yang dibentuk membuktikan bahawa Kerajaan Malaysia sentiasa memberi sokongan dan kerjasama terhadap usaha-usaha untuk mewujudkan perhubungan antarabangsa. Dasar Luar Malaysia adalah berbaik-baik dengan semua negara di dunia. Matlamat pelaksanaan dasar ini oleh Kerajaan Malaysia pula adalah untuk menjamin keselamatan rakyat dan negara, memelihara kepentingan nasional dan mengekalkan kedaulatan negara, menggalakkan pembangunan dan kemajuan ekonomi, mengekalkan keamanan sejagat melalui kerjasama antarabangsa, menjadi warga global yang bertanggungjawab dan peka terhadap usaha memupuk kesejahteraan dunia.

Malaysia melaksanakan dua bentuk hubungan luar dengan negara lain. Bentuk yang pertama ialah hubungan bilateral iaitu hubungan secara terus dengan negara-negara tertentu. Contohnya hubungan dengan negara-negara serantau seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Bentuk yang kedua pula ialah hubungan multilateral iaitu hubungan dalam bentuk kumpulan dan pertubuhan. Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, terdapat tiga pertubuhan serantau yang telah ditubuhkan dan disertai oleh Malaysia antaranya ialah Persatuan Asia Tenggara (ASA), Gagasan Malaysia, Filipina dan Indonesia (MAPHILINDO) dan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Malaysia juga mengambil bahagian yang aktif dalam pertubuhan antarabangsa seperti Komanwel, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi-agensinya seperti Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Perhubungan luar juga diadakan dengan negara Asia yang lain, Amerika Latin, Afrika, Asia Barat serta negara maju (Britain dan Amerika Syarikat).

Sesebuah kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang dinamis dalam strategi melaksanakan perhubungan antarabangsa dengan negara-negara lain untuk memastikan negara dapat terus bersaing dalam dunia yang sedang mengalami perubahan yang pesat dari segi politik, sosial dan ekonomi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...