Pembaca Setia

05 July 2011

Permainan Kelas Ganti : Rumah Idaman

Ketika anda berada di sekolah, sama ada untuk menjalani PBS ataupun praktikum, pasti anda tidak akan terlepas dari mengisi kekosongan waktu kelas yang ada (kelas ganti). Apa yang selalu anda lakukan ketika menggantikan kelas tersebut? Adakah anda akan menyuruh murid-murid anda membuat kerja masing-masing atau mengambil kesempatan ini untuk mengembangkan potensi mereka?

Terdapat guru yang mampu merancang dengan spontan aktiviti untuk kelas ganti. Ada juga yang mati kutu. Oleh yang demikian, slot PERMAINAN KELAS GANTI ini sengaja diwujudkan untuk berkongsi idea-idea rakan-rakan guru yang mungkin boleh dilaksanakan semasa kelas ganti.

Selamat mencuba! 



Pengenalan Permainan Rumah Idaman

Permainan Rumah Idaman memerlukan setiap kumpulan membina sebuah rumah. Murid-murid akan dididik untuk saling bekerjasama membina rumah tersebut.


Kesesuaian Subjek : Kajian Tempatan, PSK, PSV
Sasaran : Tahun 4/5
Tempoh cadangan : 30 minit
Alat: Kapur tulis/ pen marker, papan tulis.
Objektif: Mengembangkan bakat melukis dan imaginasi murid.
Nilai: Kerjasama.


Kaedah
  1. Bahagi murid kepada kumpulan-kumpulan yang seimbang bilangan ahlinya.
  2. Lantik ketua bagi setiap kumpulan.
  3. Edarkan sebatang kapur/pen marker untuk setiap kumpulan melalui ketua masing-masing.
  4. Jelaskan arahan permainan kepada murid.
Arahan untuk murid

Setiap kumpulan dikehendaki melukis sebuah rumah idaman dengan menggunakan kapur/pen marker di papan hitam. Setiap ahli kumpulan hanya dibenarkan melukis satu garisan sahaja dan seterusnya disambung oleh ahli yang lain. Teruskan lakukan aktiviti ini secara bergilir-gilir dengan memastikan semua ahli terlibat. Siapkan rumah anda dalam tempoh lima minit. Rumah yang paling kreatif akan memenangi permainan ini.

Panduan guru

Guru hanya bertindak sebagai fasilitator. Berikan kebebasan yang terkawal kepada murid supaya mereka dapat mempamerkan imaginasi dan kreativiti mereka. Berilah dorongan dan galakan kepada murid yang lemah. Asuh mereka supaya mengamalkan nilai-nilai bekerjasama. Setelah permainan tamat, guru meminta ketua kumpulan untuk membentangkan hasil kerja masing-masing. Jika kena pada gayanya, permainan ini akan menjadi sangat menarik!

Alternatif

Selain melukis rumah, guru juga boleh menentukan objek-objek lain yang lebih sesuai dengan subjek kelas ganti.
 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...