Pembaca Setia

02 September 2009

KESULTANAN MELAYU MELAKA II

AGAMA

Melaka mencatatkan satu transformasi yang agak besar dalam aspek agama dan kepercayaan. Bermula dengan kepercayaan Hinddu-Buddha yang dipengaruhi dari kerajaan Majapahit dan Srivijaya, seterusnya diganti dengan agama Islam. Islam sampai di beberapa kawasan lain di Asia Tenggara terlebih dahulu sebelum sampai di Melaka. Islam bertapak di Pasai pada kurun ke-13 dan sampai di Terengganu pada tahun 1303. Ini dibuktikan dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu. Pada waktu itu, kerajaan Melaka belum lagi diasaskan.

Kedatangan Islam ke Melaka disambut baik oleh Sultan, pembesar dan rakyat Melaka. Sultan adalah orang yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Islam di Melaka. Buktinya, baginda pernah menjemput ulama dan dan mengajar agama Islam di Melaka.

Istana Melaka dijadikan tempat untuk mempelajari ilmu tentang pengetahuanIslam. Selain itu, istana juga menjadi tempat menterjemah dan mengumpul kitab agama. Ajaran agama Islam semakin maju dan berkembang di surau, madrasah dan masjid. Tempat ini menjadi pusat pengajian agama bagi golongan rakyat di Melaka.

Kedatangan agama Islam ke Melaka telah membawa perubahan dalam kepercayaan. Pemikiran, pentadbiran, perundangan dan nilai hidup masyarakat.

Semasa zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445-1459), agama Islam telah menjadi agama rasmi Melaka. Pemerintah Melaka memakai gelaran Sultan menggantikan gelaran raja ( pengaruh Hindu - Budhha) yang digunakan sebelum ini. Sultan yang memerintah dianggap sebagai khalifah Allah iaitu sebagai wakil Allah yang dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan alam ini.

Pemerintahan Melaka mengikut lunas pemerintahan Islam terutamanya dalam urusan pentadbiran. Misalnya Sultan Mansur Syah mengarahkan pembesar berbincang dan bermuafakat dalam menjalankan tugas mereka. Ini bersesuaian dengan konsep musyawarah yang terkandung di dalam ajaran Islam.

Sultan Alauddin Riayat Syah, mencontohi pentadbiran khalifah Islam kedua iaitu Sayidina Umar al-Khattab. Pada masa pemerintahan Sayidina Umar, baginda sering menyamar diri keluar pada waktu malam untuk mengetahui keadaan sebenar umat Islam. Sultan Alauddin Riayat Syah mencontohi Sayidina Umar untuk membasmi kegiatan mencuri di Melaka. Ini membuktikan bahawa Melaka telah melaksanakan undang-undang jenayah Islam dalam pentadbirannya.

Kemajuan agama Islam di Melaka dibuktikan lagi apabila turut mempengaruhi undang-undang Melaka. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah gabungan hukum adat tempatan dengan undang-undang Syariah dan nilai Islam. Hukum Kanun Melaka Fasal 30, contohnya menjelaskan tentang hukum dan tatacara berniaga serta barang yang boleh diperniagakan mengikut cara Islam.

Selain itu, terdapat banyak lagi perkembangan dan kemajuan dari aspek agama Islam di Melaka yang mempengaruhi gaya hidup rakyatnya. Contohnya, Kalendar Hijrah mula digunakan oleh kerajaan Melaka. Tulisan Arab pula disesuaikan dan dijadikan tulisan jawi. Contoh yang seterusnya ialah pengajian Al-Quran dijadikan asas dalam sistem pendidikan masyarakat Melaka. Upacara seperti berkhatam al-Quran, kenduri arwah dan kesyukuran juga mulai menjadi amalan masyarakat Melaka.



EKONOMI

Kemajuan dari aspek ekonomi ditonjolkan apabila Melaka berjaya menjadi sebuah empayar perdagangan yang besar dan amat terkenal.

Melaka telah menjadi pusat perdagangan yang penting kerana kedudukannya ditengah-tengah laluan perdagangan Timur dan Barat. Keadaan ini memudahkan pedagang singgah sama ada untuk berdagang, mendapatkan bekalan makanan dan minuman atau membaiki kapal.

Melaka juga terlindung daripada tiupan angin monsun Timur Laut oleh Banjaran Titiwangsa, dan daripada angin Monsun Barat Daya oleh Pulau Sumatera. Oleh itu persekitarannya aman dan lautnya tenang kerana tiada ganguan ombak besar. Lautnya yang dalam membolehkan kapal dagang berlabuh dengan selamat. Perairan Selat Melaka yang sempit juga memudahkan kerajaan Melaka mengawal kapal yang lalu di sekitarnya.

Pedagang-pedagang dari serata dunia akan menunngu pertukaran angin Monsun di Melaka untuk pulang. Pedagang dari Barat mengikut angin Monsun Timur Laut dan pedagang dari Timur pula mengikut angin Monsun Barat Daya. Keadaan Melaka yang sedemikian menyebabkan ia menjadi pusat pertemuan kapal dagang.

Terdapat faktor lain juga yang turut membantu memajukan Melaka sehingga menarik kedatangan pedagang luar.

Antaranya ialah, kerajaan Melaka mempunyai jentera pentadbiran yang teratur untuk membantu urusan pelabuhan dan kegiatan perdagangan. Syahbandar dilantik oleh sultan untuk menguruskan pentadbiran di pelabuhan. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka telah digubal oleh kerajaan Melayu Melaka untuk memastikan perdagangan berjalan dengan lancar, kestabilan dan keamanan negeri terpelihara.

Selain itu, pelbagai kemudahan untuk pedagang telah disediakan oleh pemerintah Melaka di pelabuhan Melaka. Antara kemudahan yang disediakan adalah seperti gudang-gudang besar untuk menyimpan barang, kemudahan pengangkutan (kapal, perahu, jong, lancara, gajah) dan pekerja. Kemudahan membaiki kapal dan tempat tinggal untuk para pedagang turut disediakan oleh kerajaan Melayu Melaka.

Kemajuan sistem kewangan juga berlaku pada zaman ini. Urus niaga di Melaka dijalankan melalui sistem tukar barangdan penggunaan mata wang. Wang logam digunakan dalam urus niaga di Melaka. Wang ini diperbuat daripada timah.

Bahasa perdagangan yang digunakan di Melaka ketika itu ialah bahasa Melayu. Para pedagang berminat datang ke Melaka kerana mereka mudah berurusan dengan pegawai Melaka dan pedagang di Melaka dengan menggunakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu digunakan secara meluas di Kepulauan Melayu dan menjadi lingua franca di pelabuhan Melaka pada zamannya.



POLITIK

Dalam aspek politik, kemajuan dapat dilihat berdasarkan kepada kecekapan pemerintah Melaka mewujudkan beberapa jawatan pembesar untuk membantu melancarkan pentadbiran Melaka. Sistem Empat Lipatan digunakan dalam pentadbiran politik di Melaka.

Jawatan Bendahara diwujudkan sebagai penasihat kepada raja. Selain itu, Bendahara juga bertanggungjawab sebagai Menteri Utama, Ketua Turus Angkatan Perang, Ketua Hakim dan Pemangku Sultan. Penghulu Bendahari pula diwujudkan untuk menjadi Pemungut hasil atau Ufti, Ketua segala Bendahari, Ketua Urusetia Isatna dan juga Ketua segala Syahbandar. Jawatan Temenggung pula ditugaskan untuk menjadi Ketua Polis dan Penjara, Penguasa Bandar, Ketua Protokol Istana dan Hakim di darat. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445-1459), baginda telah mewujudkan jawatan Laksamana yang bertanggungjawab sebagai Ketua Angkatan Laut Melaka.

Selain daripada jawatan-jawatan pembesar yang telah diwujudkan, keadaan politik di Melaka diperkukuhkan lagi dengan adanya undang-undang. Melaka mempunyai Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.

Untuk menjamin kestabilan politiknya, Melaka juga mempunyai angkatan laut yang sangat besar. Orang Laut menjadi tenaga penting dalam angkatan laut Melaka. Melaka mempunyai pahlawan-pahlawan yang gagah, berani dan setia seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Sebahagian besar kelengkapan tentera Melaka terdiri daripada kapal, bahtera, ghali, ghalias, jong dan lancaran. Peralatan senjatanya pula ialah panah, keris, lembing, meriam, lela, rentakal, istinggar dan pemuras. Kekuatan yang ada membolehkan Melaka mengadakan serangan dan seterusnya menakluki kerajaan lain.

Melaka juga menjalinkan hubungan politik luar dengan negara luar seperti China. Hubungan politik ini mengukuhkan lagi kekuatan kerajaan Melayu Melaka. Kedatangan Laksamana Yin Ching pada tahun 1403 dan Laksamana Cheng Ho pada tahun 1409 membolehkan Melaka berharap kepada China untuk mendapatkan perlindungan daripada ancaman Majapahit dan Siam.

Melaka terus membangun menjadi sebuah kerajaan yang kuat. Buktinya pada masa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, Melaka dapat mematahkan serangan Siam sebanyak dua kali tanpa bantuan China.



SOSIOBUDAYA

Rakyat Melaka mengamalkan kebudayaan Melayu di dalam kehidupan seharian. Kedatangan Islam ke Melaka telah memberi kesan yang begitu besar ke atas sosiobudaya masyarakat Melaka. Sebagai contoh, konsep dewa raja telah diganti dengan konsep sultan. Rakyat biasa menghormati sultan sebagai pemerintah yang dianggap sebagai wakil tuhan. Rakyat amat taat kepada setiap perintah sultan. Budaya saling mentaati sultan ini diperkuatkan lagi dengan kepercayaan kepada konsep daulat dan tulah. Berdasarkan konsep ini, raja dikatakan berdaulat dan sesiapa yang ingkar dan tidak menghormati sultan akan menerima balasannya yang juga dikenali sebagai tulah.

Dalam aspek kemasyarakatan pula, budaya-budaya kesenian Islam mula dijelmakan melalui amalan seperti upacara berkhatam al-Quran, kenduri arwah dan kesyukuran.

Selain itu, dalam kalangan pemerintah juga terdapat beberapa budaya yang diamalkan. Sebagai contoh, budaya bermusyawarah. Sultan Muzaffar Syah sentiasa mengarahkan para pembesarnya bermusyawarah untuk menjalankan tugas masing-masing.

Adat Temenggung juga menjadi sebahagian daripada budaya amalan rakyat Melaka. Adat Temenggung ini meliputi hal-hal jenayah, awam, kekeluargaan, hukum pelabuhan dan undang-undang laut. Mengikut Adat Temenggung, sultan berkuasa penuh dalam pentadbiran.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...