Pembaca Setia

02 July 2009

KESULTANAN MELAYU MELAKA


Perkembangan Melaka

Iskandar Shah mangkat pada tahun 1424 dan diwarisi oleh anaknya, Sri Maharaja, yang mengambil gelaran "Sultan Muhammad Shah" (1424-1444). Pada kemangkatannya dalam tahun 1444, beliau diganti oleh putera bongsunya, Raja Ibrahim. Raja Ibrahim kemudian dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran "Sultan Abu Syahid". Raja Kassim menaiki tahta pada tahun 1445 dan memakai gelaran "Sultan Muzaffar Shah" (1445-1459) menaiki takhta dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu. Semasa pemerintahannya, pihak Siam membuat serangan pertama ke atas Melaka pada tahun 1447 tetapi ditewas tidak jauh dari Muar. Pada tahun 1456, Tun Perak menjadi bendahara dengan gelaran "Bendahara Paduka Raja". Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.

Kegemilangan Kesultanan Melaka

Pada tahun 1459, Sultan Mansur Shah (1459 - 1477) menaiki takhta. Disebabkan kedudukannya yang strategik, Melaka menjadi sebuah pangkalan luar yang penting bagi kapal-kapal. Bagi mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka, Maharaja China telah menganugerahkan anaknya Puteri Hang Li Po dengan tujuan untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah. Untuk menyambut Hang Li Po, Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpatih Putih dengan segolongan pengiring ke negeri China untuk mengiringnya. Hang Li Po tiba di Melaka pada tahun 1458 bersama-sama 500 orang pengiring. Salah satu kesan kebudayaan yang berpunca daripada peristiwa ini ialah wujudnya kelompok kaum Peranakan, iaitu hasil daripada perkahwinan campur di antara pendatang Cina dengan penduduk tempatan. Kaum Peranakan ini juga dikenali sebagai orang Baba dan Nyonya pada hari ini.

Semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya dan terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Singapura, dan sebahagian besar Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan. Majapahit kemudiannya tumbang pada kurun ke-15. Siam pula telah menyerang Melaka sebanyak tiga kali tetapi kesemua cubaan serangan tersebut telah gagal.

Kejayaan Melaka

Selepas Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru menggantikan Srivijaya pada Abad ke-15, Melaka telah berjaya mencapai kejayaan yang lebih besar kesan daripada faktor perdagangan yang semakin berkembang pesat. Melaka telah muncul sebagai kuasa besar di Kepulauan Tanah Melayu yang setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam, Srivijaya dan China. Melaka yang pada mulanya merupakan sebuah kerajaan kecil telah berkembang dan mengambil alih peranan pusat perdagangan yang dulunya dipegang oleh Srivijaya. Kejayaan menarik tumpuan perdagangan dari Srivijaya ini telah mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi kerana pada zaman dahulu hanya kuasa-kuasa besar sahaja yang mampu untuk mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan kemudahan infrastruktur yang moden. Keupayaan Melaka telah menyebabkan sebilangan negeri yang dulunya berada di bawah kekuasaan kuasa Siam dan Jawa telah meminta naugan dan perlindungan daripada kekuasaan Melaka. Contoh negeri tersebut ialah seperti Bernam, Klang, Selangor, Sungai Ujung, Kedah dan Patani yang secara sukarela datang mendapatkan nobat daripada Melaka. Manakala Pasai pula sebagai ‘abang tua’ dalam perdagangan dan agama, sentiasa ‘berkirim salam’ dengan Melaka. Bukti kemunculan Melaka sebagai satu kuasa besar yang baru ialah Melaka telah dua kali berjaya menangkis serangan Siam dan akhirnya berjaya menguasai Kelantan, menjelang kurun ke-16 Melaka telah memutuskan hubungan hormat dengan Siam. Hal ini menunjukkan Melaka bukan sahaja berjaya mencontohi kejayaan Srivijaya dalam perdagangan tetapi juga dari segi perluasan wilayah. Kejayaan Melaka memainkan peranannya sebagai sebuah enterport baru dapat dilihat dalam tiga bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Walaupun Melaka merupakan warisan Srivijaya, namun pencapaian Melaka adalah berbeza daripada Srivijaya kerana Melaka merupakan tempat yang menjadi asas kepada pegangan yang menjadi nadi menggerakan seluruh kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.

Kejatuhan Melaka

Pada tahun 1488, Sultan Mahmud Shah mewarisi Melaka yang telah mencapai kemuncak kuasa dan merupakan pusat dagangan yang unggul di Asia Tenggara. Bendahara Tun Perak, pencipta keunggulan Melaka, telah tua. Begitu juga dengan Laksamana Hang Tuah. Pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga mengalami rancangan jahat dan pilih kasih. Beliau bukan seorang raja yang cekap, akan tetapi beliau juga seorang mangsa keadaan. Ayahandanya (Sultan Alaudin Riayat Shah) mangkat pada usia yang masih muda. Oleh itu baginda menaiki takhta ketika masih kanak-kanak. Portugal pada awal abad ke-16 sedang mengasaskan sebuah empayar luar negeri.


http://www.scribd.com/doc/7975799/SejarahForm-1


http://en.wikipedia.org/wiki/Malacca


No comments:

Post a Comment

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...