HUBUNGI SAYA

HUBUNGI SAYA
STESEN BERKHIDMAT SEMASA

Pembaca Setia

28 July 2009

DEFINISI SEJARAH & MENGAPA PENTING PELAJARI SEJARAH DALAM PEMBINAAN NEGARA BANGSA?


Menurut Wikipedia, sebuah ensiklopedia bebas, sejarah merupakan pembelajaran mengenai masa lampau terutamanya menggunakan catatan bertulis. Teknologi baru seperti fotografi dan teks fail komputer juga digunakan untuk mengarkib sumber. Apabila berbincang mengenai bidang kajian, sejarah merujuk kepada sejarah manusia yang berkenaan catatan mengenai masyarakat lampau. Mereka yang mengkaji sejarah dikenali sebagai ahli sejarah atau pakar sejarah.

Pakar sejarah menggunakan pelbagai sumber termasuk penulisan atau bahan bercetak, temuramah (sejarah lisan) dan arkeologi. Pendekatan berbeza mungkin lebih kerap digunakan, bergantung kepada tempoh masa kajian tersebut dibuat. Sejarah yang berlaku sebelum rekod manusia dikenali sebagai pra-sejarah.

Sejarah lebih berbentuk rentetan peristiwa yang membincangkan tentang aspek kehidupan masyarakat dan negara dari segi politik, ekonomi dan sosial. Sejarah juga menegaskan kesepaduan unsur pengetahuan, peningkatan daya intelek, pemupukan nilai-nilai murni dan perkembangan kemahiran belajar. Selain itu, Sejarah juga membentuk pemupukan kemahiran berfikir dan kemahiran pemikiran sejarah dalam setiap kalangan warganegara disamping menerapkan nilai-nilai murni dan semangat patriotik dalam usaha mencapai aspirasi membentuk negara bangsa yang berkualiti.

Patriotisme adalah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Perasaan ini perlu wujud di hati setiap individu rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Sehubungan itu, semangat patriotik dapat membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Justeru, berdasarkan pengetahuan dan pemahaman aspek-aspek sejarah negara, setiap warganegara perlu dibimbing untuk menganalisis dan menilai fakta-fakta sejarah secara rasional. Natijah daripada pemahaman dan penghayatan sejarah negara, seluruh rakyat dapat membina kekuatan semangat cinta akan negara.

Wawasan 2020 menyarankan Malaysia menjadi negara maju mengikut acuan kita sendiri. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu mempunyai pengetahuan tentang sejarah dunia luar supaya berkemampuan untuk bersaing dengan mereka. Persaingan tidak dapat dielakkan dalam dunia globalisasi kerana kuasa politik dan ekonomi dikawal oleh masyarakat yang berilmu dan bermaklumat. Maka adalah penting pendidikan Sejarah memperkenalkan para warganegara kepada dunia luar menerusi kurikulum futuris yang turut menekankan kepada pendidikan bertaraf dunia yang berkait rapat dengan teknologi maklumat dan komunikasi.

Daya tahan perlu disuburkan di kalangan warganegara. Pembinaan daya tahan menerusi kemahiran pembelajaran, pemahaman, dan pemikiran sejarah berupaya menyediakan individu warganegara dalam mempelajari sesuatu yang baru, memahaminya dengan mendalam, dan memilih maklumat yang penting dan relevan. Perkembangan pembelajaran turut didorong oleh peningkatan pendidikan sepanjang hayat.

Sehubungan itu penampilan pendidikan Sejarah sebagai satu disiplin ilmu yang dinamik, dilakukan melalui pendekatan pembelajaran yang melibatkan para warganegara secara aktif dan berterusan. Sehubungan itu, sejarah sebagai satu cabang ilmu perlulah ditekankan sebagai ilmu yang praktikal dalam kehidupan seharian dan mampu membentuk setiap warganegara Malaysia berjiwa patriotik.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, para guru seharusnya dapat menjadikan Sejarah itu hidup supaya minat pelajar terhadap Sejarah dapat dipertingkatkan.

Rujukan

http://www.jpnperlis.gov.my/
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah
Baharuddin, S. A. (1990). Masyarakat Malaysia yang Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Saat, I. B. (2005). Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Shah Alam: Karisma Publications.

No comments:

Post a Comment

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...