Dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), beberapa perkara perlu diberi perhatian dengan sewajarnya. Aspek-aspek keselamatan perlu dititikberatkan sama ada sebelum, semasa atau selepas menlaksanakan aktiviti PJK.
Persediaan keselamatan sebelum menjalankan aktiviti PJK
Terdapat tujuh perkara yang perlu diberi perhatian untuk keselamatan sebelum menjalani aktiviti PJK.
Pertama, melakukan aktiviti memanaskan badan, regangan otot dan kelonggaran sendi sebelum melakukan aktiviti yang lebih berat. Suhu badan boleh ditingkatkan dengan berlari. Berjoging selama tiga atau empat minit sudah mencukupi. Jika anda berada di sekolah, adalah lebih menyeronokkan jika berlari diadakan dalam bentuk permainan, contohnya permainan kejar-mengejar seperti police and thief. Denda dengan melakukan tekan tubi sebanyak lima kali apabila dapat ditangkap oleh rakan yang mengejar boleh menjadi motivasi yang baik dengan berlari lebih laju apabila menyertai semula permainan itu.
Kedua, latihan bersistematik. Latihan perlu dirancang dan ditentukan terlebih dahulu sebelum melaksanakannya. Jangan sesekali melakukan aktiviti yang tidak diketahui faedah dan akibatnya.
Ketiga, kenal pasti kecergasan diri. setiap individu mempunyai tahap kecergasan yang berbeza. Tetapkan objektif latihan mengikut kecergasan diri masing-masing.
Keempat, kenal pasti kemampuan diri. Lakukan aktiviti mengikut tahan kemampuan masing-masing. Jangan memaksa diri melakukan aktiviti melebihi had keupayaan masing-masing. Kesihatan murid perlu diberi perhatian dan diambil kira. Murid yang mempunyai penyakit kronik tidak boleh dipaksa mengambil bahagian. Bagi semua aktiviti lasak, murid-murid dikehendaki menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu. Murid-murid yang cedera, semput atau lelah (asthma) tidak dibenarkan mengambil bahagian.
Kelima, persekitaran dan tempat aktiviti mestilah sesuai. Pastikan persekitaran tempat yang selamat. Selamat untuk diri sendiri dan orang lain. Kawasan latihan, permainan atau sukan hendaklah berada dalam keadaan yang baik dan terurus
Keenam, kemudahan peralatan. Pastikan anda mempunyai peralatan yang sesuai untuk melakukan aktiviti. alatan termasuklah juga pakaian yang sesuai untuk aktiviti. Guru-guru hendaklah memastikan semua alat sukan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum digunakan. Peralatan sukan yang dianggap merbahaya dan jika diabaikan boleh membawa maut adalah Lembing, Peluru, Cakera, Tukul Besi, Tiang Lompat Tinggi, Tiang Lompat Bergalah, Kayu Hoki, Kayu Golf, Bad Kriket, Bola Hoki, Bola Kriket, Bola Golf, Bola Baling, Bola Billiard, Dart, Spikes, Anak Panah dan Peralatan Gimnastik. Pastikan semua latihan sukan yang menggunakan peralatan yang merbahaya seperti yang dinyatakan diadakan pada hari atau masa yang berasingan dengan latihan sukan lain.
Ketujuh, perlakuan yang betul. jangan melakukan aktiviti dengan cara yang salah. ini akan membahayakan diri anda. Segala aktiviti sukan seperti gimnastik terjun dan lain-lain yang memerlukan kemahiran tinggi perlu diajar oleh guru sukan yang bertauliah.