Pembaca Setia

29 August 2011

Aktiviti Ko-Kurikulum Ke Arah Pemupukan Nilai dan Etika : Suatu Pemerhatian

Oleh: Mohamad Syamsul Izwan Bin Md Fauzi
Guru Pelatih Jabatan Sains Sosial, IPG Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang

1.0 Pengenalan

Aktiviti kokurikulum adalah sebahagian daripada kurikulum sekolah, dan setiap murid harus melibatkan diri. Aktiviti ini boleh dijalankan di dalam dan di luar bilik darjah, mengikut kesesuaian sesuatu aktiviti. Dengan andaian bahawa murid-murid tidak mendapat pengalaman tertentu di bilik darjah, maka aktiviti kokurikulum dapat menyediakan pelbagai pengetahuan dan pengalaman untuk perkembangan mental, minat, bakat, jasmani, rohani dan pembentukan nilai-nilai estetika serta sosial yang positif.

2.0 Matlamat Aktiviti Ko-Kurikulum Ke Arah Pemupukan Nilai dan Etika

Matlamat utama aktiviti kokurikulum adalah untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara. Antara matlamat yang hendak dicapai ialah seperti berikut:


  • Menyemai kesedaran murid-murid terhadap agama dan kepercayaan kepada Tuhan.
  • Menyeimbangkan antara perkembangan mental dengan perkembangan rohani, jasmani dan emosi murid-murid.
  • Mengukuhkan perhubungan dan pergaulan di kalangan murid dalam sekolah dan di antara sekolah.
  • Membina dan meningkatkan minat dan bakat murid-murid dalam aktiviti yang diceburi;
  • Membina dan meningkatkan disiplin murid; 
  • Mewujudkan budaya sekolah yang menarik dan menggembirakan;
  • Membina dan meningkatkan kerjasama dan sumbangan hubungan dua hala antara sekolah dan masyarakat;
  • Mewujudkan sekolah berwatak.

Suatu Pemerhatian



Satu pemerhatian telah dibuat selama dua bulan di sebuah sekolah kebangsaan untuk mengkaji dan mengenalpasti beberapa jenis aktiviti ko-kurikulum yang boleh merangsang pemupukan nilai dan etika. Aktiviti ko-kurikulum tersebut ialah Persatuan Pengguna, Kelab Bola Sepak dan Tunas Kadet Remaja Sekolah.


3.0 Analisis Ringkas

Analisis terhadap kegiatan ko-kurikulum bagi setiap komponen dibuat secara ringkas meliputi empat bahagian iaitu:

  • Matlamat
  • Strategi
  • Pelaksanaan
  • Impak kepada murid

3.1 Persatuan Pengguna

3.1.1 Matlamat

Persatuan Pengguna ditubuhkan di peringkat sekolah rendah bagi melahirkan generasi muda yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam bidang kepenggunaan. Persatuan ini juga dilihat mampu mengorganisasikan kelompok murid melalui kepimpinan yang diterajui oleh murid-murid itu sendiri.

3.1.2 Strategi


Persatuan Pengguna ini mensasarkan penyertaan murid dari Tahap Dua iaitu tahun empat, tahun lima dan tahun enam. Terdapat beberapa modul yang digunakan untuk menggerakkan persatuan ini. Ada di antara modul yang digunakan diperoleh dari agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Banyak nilai murni yang diterapkan kepada ahli-ahli persatuan melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Sebagai contoh, melalui penganjuran bengkel kepenggunaan, setiap ahli (murid) didedahkan dengan persekitaran yang penuh dengan nilai murni. Buktinya, slot pengguna bijak menerapkan ciri-ciri yang baik seperti bijaksana, saling menghormati, bertolak ansur, jujur dan banyak lagi.

Berdasarkan kepada perkara-perkara berikut, maka persatuan ini berjaya mencapai matlamat asal penganjurannya.


3.1.3 Pelaksanaan

Aktiviti Persatuan Pengguna ini dilaksanakan pada setiap hari Rabu (minggu kedua setiap bulan) sebagai salah satu aktiviti ko-kurikulum. Tempoh masa yang diperuntukkan untuk setiap sesi ialah selama dua jam sahaja bermula jam 2 hingga 4 petang.

3.1.4 Impak kepada murid

Penganjuran aktiviti Persatuan Pengguna ini berjaya memberi impak yang positif kepada semua ahlinya iaitu murid-murid. Perubahan sikap positif yang ditunjukkan oleh mereka memberi petanda bahawa aktiviti yang dijalankan memberi manfaat kepada mereka. Buktinya, mereka lebih berhemat ketika membeli makanan di kantin, lebih bertimbang rasa dan lain-lain lagi. 


3.2 Kelab Bola Sepak

3.2.1 Matlamat


Penubuhan Kelab Bola Sepak dilakukan untuk menyahut Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan individu yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah. Murid yang sihat dan cergas akan menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam segala aspek. Selain itu, penubuhan Kelab Bola Sepak juga menyahut seruan kerajaan untuk menjayakan 'Sukan Untuk Perpaduan'. Selain itu, ia juga berkesan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan murid yang menyertainya.

3.2.2 Strategi


Penyertaan kepada Kelab Bola Sepak dibuka kepada murid-murid tahap satu dan dua. Penggabungan kedua-dua tahap ini sengaja dilakukan untuk beberapa tujuan. Antaranya ialah untuk memudahkan pengurusan dan juga memberi peluang kepada murid untuk mempelajari kemahiran tertentu daripada rakan-rakan yang lain. Ini merupakan satu langkah yang bijak untuk menyemai semangat bersatu-padu antara mereka.


Selain itu, terdapat juga perlawanan persahabatan di antara guru dengan murid yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Langkah ini diambil untuk mengeratkan silaturrahim antara guru dan murid. Ini menunjukkan bahawa hubungan antara guru dengan murid tidak hanya terbatas dalam bilik darjah sahaja, tetapi melibatkan seluruh persekitaran sekolah. Strategi yang diambil ini berjaya memupuk nilai-nilai murni dalam kelompok Kelab Bola Sepak.

3.2.3 Pelaksanaan

Aktiviti Kelab Bola Sepak dilaksanakan juga pada setiap hari Rabu (minggu ketiga setiap bulan). Murid-murid yang menyertai kelab ini akan menjalani latihan secara teori dan amali selama dua jam secara berkumpulan.

3.2.4 Impak kepada murid
 
Latihan yang dijalankan secara berkumpulan memerlukan murid sentiasa berkomunikasi dengan rakan-rakan yang lain. Secara tidak langsung, nilai-nilai murni dapat disemai dalam diri mereka. Antara kesan baik yang dilihat melalui perwatakan ahli-ahli Kelab Bola Sepak ini ialah, mereka semakin menghormati antara satu sama lain, lebih bertanggungjawab dan berani mencuba sesuatu yang baru. Sebagai contoh, terdapat seorang murid yang telah dilantik menjadi kapten pasukan mula mengubah perilakunya menjadi seorang murid yang lebih bertanggungjawab berbanding sebelum ini.


3.3 Tunas Kadet Remaja Sekolah


3.3.1 Matlamat

Matlamat utama penubuhan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) ialah untuk melahirkan murid cemerlang yang berilmu, beriman, dan beramal, berakhlak mulia, bersemangat patriotik dan berketrampilan selaras dengan usaha dan hasrat mengisi tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Aktiviti TKRS diharap dapat mengembangkan semua aspek potensi murid yang berteraskan ilmu dan amal ke arah pembinaan dan pengukuhan sahsiah mereka yang mengamalkan nilai-nilai murni dan moral yang tinggi.

3.3.2 Strategi

Penglibatan murid dalam TKRS dibuka dari tahap satu hingga tahun dua. Terdapat beberapa modul yang perlu diikuti oleh setiap murid yang menganggotai TKRS. Berikut adalah modul-modul asas untuk setiap anggota:
  • Disiplin dan Kerohanian
  • Ketahanan diri dan Kebudayaan
  • Alam Sekitar
  • Keusahawanan
  • Khidmat Masyarakat ( Khidmas )


3.3.3 Pelaksanaan


TKRS akan mengadakan perjumpaan pada setiap hari Rabu (minggu pertama dan keempat). Murid-murid yang menganggotai TKRS akan memakai pakaian seragam mereka sepanjang hari. Ini melambangkan kesepaduan mereka dalam berorganisasi. Latihan kawad kaki akan dijalankan selama satu jam manakala kuliah ilmu asas TKRS juga selama satu jam. Jumlah dua jam setiap sesi memberikan peluang kepada murid-murid untuk membina sahsiah yang baik dalam diri mereka.

3.3.4 Impak Kepada Murid


Penganjuran unit beruniform ini dikesan paling banyak menyumbang ke arah pembentukan sahsiah murid-murid. Nilai-nilai murni seperti saling menghormati, saling membantu, berdikari, berdisiplin, patuh pada arahan dan banyak lagi diterapkan secara terus kepada mereka melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti kawad kaki, perkhemahan tahunan dan pertandingan pertolongan cemas.




4.0 Penilaian Keberkesanan Aktiviti Ko-Kurikulum Dalam Menerapkan Nilai dan Etika

Beberapa data telah dikumpul untuk dianalisis. Seramai 20 orang murid telah diminta untuk menjawab soalan di dalam borang soal selidik berkenaan dengan aktiviti ko-kurikulum yang telah mereka sertai. Berikut adalah keputusan dan hasil dapatan yang berjaya direkodkan:

Graf 1

Analisis graf:

Graf menunjukkan bahawa 15 orang murid bersetuju bahawa Persatuan Pengguna berjaya menerapkan nilai dan etika dalam kalangan ahlinya. Walaubagaimanapun, terdapat juga 5 orang murid yang tidak bersetuju dengan penyataan tersebut. Berdasarkan kepada hasil dapatan, murid yang tidak bersetuju mungkin didorong oleh beberapa faktor. Pertama, perjumpaan untuk aktiviti berpersatuan hanya sekali sebulan iaitu pada minggu kedua sahaja. Ini menjadikan tempoh interaksi sesama mereka dengan ahli yang lain menjadi begitu terhad. Kedua, kekurangan aktiviti berkumpulan juga mungkin menjadi penyebab murid-murid kurang mendapat peluang untuk mengembangkan bakat dan mengekspresi nilai murni yang mereka telah pelajari di bilik darjah.

Cadangan Penambahbaikkan:

Aktiviti berpersatuan ini akan menjadi lebih berkesan jika murid diberi ruang masa yang bersesuaian dengan keperluan aktiviti mereka. Selain itu, kepelbagaian bentuk aktiviti semasa tempoh berpersatuan juga boleh membantu murid untuk menimba ilmu berkenaan dengan nilai dan etika secara tidak langsung. Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh Persatuan Pengguna ialah Perkhemahan Pengguna, Bengkel Pengguna Bijak, Lawatan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Lawatan ke Persatuan Pengguna Negeri dan lain-lain.


Graf 2

Analisis Graf:

Berdasarkan kepada graf di atas, hampir keseluruhan murid bersetuju bahawa Kelab Bola Sepak berjaya menerapkan nilai dan etika terhadap diri mereka. Sebanyak 19 orang bersetuju dan hanya 1 orang sahaja yang menyatakan sebaliknya. Nilai keberkesanan yang tinggi ini merupakan hasil percaturan bijak pihak sekolah yang membuka penyertaan kelab ini kepada tahap satu dan tahap dua. Ini membolehkan murid yang lebih tua berinteraksi dengan murid yang muda tanpa rasa janggal. Interaksi ini memberi ruang dan peluang kepada setiap murid untuk menunjukkan sahsiah yang terbaik. Sebagai contoh, murid yang lebih tua seperti murid tahun enam akan menunjukkan contoh sikap, nilai murni dan etika yang terbaik untuk dicontohi oleh murid-murid lain. Hubungan guru dan murid yang erat juga menjadi faktor mengapa murid memilih untuk bersetuju dengan penyataan ini. Seorang murid memilih untuk tidak bersetuju kerana faktor minat. Murid berkenaan tidak mempunyai kecenderungan minat terhadap bola sepak kerana keterbasan faktor kesihatan. Oleh yang demikian, penglibatannya di dalam padang agak terhad dan ruang untuk berinteraksi dan bersosialisasi dengan ahli yang lain sangatlah sedikit.

Cadangan Penambahbaikkan:

Pemilihan murid untuk menyertai kelab sukan seperti Kelab Bola Sepak adalah lebih baik sekiranya bersesuaian dengan minat dan tahap kesihatan murid. Tanpa minat dan kesihatan yang baik, adalah sukar bagi seseorang murid untuk memberi fokus yang terbaik terhadap bidang yang diceburinya. Oleh yang demikian, kebijaksaanaan sekolah dan sikap keterbukaan guru sangat diperlukan semasa menyusun murid ke dalam organisasi-organisasi tertentu. Bagi murid yang bermasalah kesihatan, mereka masih boleh menyertai kelab sukan yang lebih santai seperti kelab petanque, catur dan sebagainya.


Graf 3

Analisis Graf:

Jumlah 100 peratus setuju menunjukkan bahawa Tunas Kadet Remaja Sekolah berjaya mencapai matlamatnya dalam menerapkan nilai murni dan etika dalam pembentukan sahsiah murid-murid. Kejayaan ini dikesan disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, tempoh interaksi murid dalam aktiviti ko-kurikulum ini agak panjang dan ini memberi peluang kepada mereka untuk bersosialisasi sesama anggota yang lain. Kedua, aktiviti yang diaturkan meliputi 'indoor' serta 'outdoor' dan kebanyakan aktiviti ini memerlukan kekuatan berpasukan dan kesepaduan. Sepanjang melaksanakan tugasan yang diberi, mereka akan didedahkan dengan pelbagai nilai dan etika yang baik. Nilai murni seperti berdisiplin, berani, saling membantu dan etika sebagai seorang anggota unit beruniform dipraktikkan sepanjang tempoh masa latihan. Berdasarkan kepada latihan kawad yang mereka jalani, konsep hukuman dan ganjaran yang diberi menjadikan mereka lebih berdisiplin dalam melaksanakan apa jua pergerakan.


5.0 Kesimpulan

Berdasarkan kepada pemerhatian keseluruhan dan sedikit analisis yang dibuat, aktiviti ko-kurikulum dilihat mampu menjadi satu landasan yang terbaik untuk menerapkan nilai dan etika dalam kalangan murid di peringkat sekolah sebeluim mereka melangkah masuk ke alam masyarakat yang lebih luas liputannya. Tanpa aktiviti ko-kurikulum, perkembangan sahsiah murid mungkin sukar dilaksanakan dengan jayanya.

Nilai Murni

Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai:

"Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia" (Wan Mohd. Zahid, 1988)

Secara keseluruhannya, ia merupakan nilai yang positif yang boleh diterima oleh pelajar dan masyarakat. Dalam pendidikan, penerapan nilai yang pertama kali secara rasminya diberi penekanan ialah melalui Lapuran Kabinet (Lapuran Mahathir 1979), 1989. Semasa Datuk Sri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin Kementerian Pendidikan beliau membuat penyataan mengenai FPN & KBSM yang mana menyelitkan isu-isu nilai murni untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmoni, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga emosi, rohani dan jasmani.

Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang disuratkan pada tahun 1987 berbunyi:-
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara"

Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri-ciri:
Percaya dan patuh kepada tuhan
Berilmu pengetahuan
Berakhlak mulia
Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara.
Berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat, agama. Bangsa dan negara.

Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
Keseimbangan dan keharmonian yang terdapat dalam FPN akan dapat dicapai jika nilai-nilai murni ini dapat direalisasikan melalui kurikulum (khususnya dalam pendidikan formal dan tidak formal) supaya ilmu pengetahuan akan dapat diperkembangkan sebagai khalifah Allah dimukabumi ini, manusia hendaklah menyeru dan menyedarkan sesama manusia yang lain.

Usaha dan kesedaran daripada insan itu sendiri amat penting dalam mentafsir, membentuk dan melaksanakn hasrat falsafah pendidikan demi untuk melahirkan insan yang berilmu, beriman, berakal, berketerampilan dan berakhlak mulia.

Kesedaran tentang penanaman nilai-nilai murni disemai dan dibajai mulai zaman kanak-kanak lagi. Ibubapa, guru-guru dan masyarakat masing-masing berperanan dalam memberi teladan kepada kanak-kanak agar mereka dapat menyesuaikan dan memeprsembahkan diri mereka berdasarkan kepada nilai murni yang ditonjolkan kerana mereka ibarat kain putih yang perlu dicorakkan dengan warna-warna nilai yang baik. Bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya".

Pendidikan di rumah adalah bergantung kepada ahli keluarga itu sendiri. Rasulullah S.A.W menegaskan kepentingan pendidikan bermula di rumah iaitu pada peringkat keluarga lagi. Sabda baginda yang bermaksud:

" Setiap bayi yang dilahirkan itu dengan fitrahnya. Hanya ibubapanya yang menjadikan ia Yahudi, Nasrani atau Majusi."

Di sekolah guru memainkan peranan sebagai ibubapa dalam membentuk kanak-kanak selaras dengan penerapan yang dimasukkan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Nilai-nilai murni mula diterapkan dari pendidikan pra sekolah lagi merupakan basic atau asas kepada proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak dalam membentuk peribadi dan bernilai murni.

Guru bukan hanya menjalankan tugas mengajar matapelajaran yang terdapat dalam syllabus tertentu sahaja, sebab nilai murni perlu terdapat dalam setiap matapelajaran. Dan adakalanya nilai murni yang disalurkan itu tidak terdapat secara khusus di dalam subjek tersebut tetapi diterapkan secara tidak formal seperti komunikasi yang baik antara guru dan murid, yang akan mempengaruhi penanaman nilai dalam jiwa pelajar.

Rasional Nilai-nilai Murni dalam Falsafah Pendidikan Negara
Pada bulan Mei 1969, rusuhan kaum berlaku dalam sejarah negara. Ini menunjukkan kerapuhan kebangsaan kita. Masyarakat kita tiada semangat muhibbah yang dapat menyatukan setiap kaum. Selain daripada itu tekanan daripada cendikiawan Islam terutama sejak Persidangan Sedunia Tentang Pendidikan Islam di Mekah pada tahun 1977 serta penularan pelbagai jenis penyakit kerohanian, akhlak, sosial dikalangan pelbagai lapisan masyarakat mengalakkan pihak yang berkenaan memberi perhatian yang lebih kepada isu nilai dalam pendidikan.

Sebagaimana yang kita tahu matlamat dasar pendidikan negara adalah untuk melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisiplin, berpengetahuan, bertanggungjawab, berkebolehan berwawasan dan terlatih. Maka apakah corak pandangan hidup atau "world view" yang harus didedahkan kepada pelajar atau belia sekarang untuk mereka hayati, amal dan wariskan?. Untuk melihat output dan product yang positif yang dijelmakan oleh pelajar ialah melalui penanaman nilai-nilai murni serta penekanan yang lebih jitu dalam usaha mendidik mereka agar selaras dengan penyataan FPN ini. Fungsi utama proses pendidikan ialah sebagai agen pemasyarakatan dan pembudayaan dalam menerapkan nilai-nilai tersebut. Yang penting sekali adalah kesepaduan empat sifat utama iaitu JERI (Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual) yang akan menghasilkan keseimbangan dalam melahirkan individu yang berakhlak.

Masyarakt adalah agen ketiga dalam membentuk nilai murni. Melalui FPN yang dipelajari disekolah-sekolah baik untuk ahli masyarakat yang sedang atau telah tamat bersekolah. Mereka telah diterapkan dan diajar dengan nilai murni. Kesan daripada apa yang dipelajari mereka boleh jelaskan kepada orang lain samada melalui bentuk penerangan, perbincangan melihat ataupun perubahan perlakuan sendiri. Penerapan nilai itu mestilah bersahaja dan tidak langsung dan sentiasa berterusan.

Di Malaysia dewasa ini isu-isu penerapan nilai murni semakin ketara dan menonjol. Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan strategi penerapan nilai-nilai murni secara komprehensif dimana:
" Nilai-nilai murni akan disisipkan melalui kesemua matapelajaran dan akan diperkukuhkan melalui kegiatan-kegiatan ko-kurikulum, formal dan tidak formal, di dalam dan di luar bilik darjah, akan digunakan sepenuhnya dengan cara bersepadu untuk memastikan penerapan nilai-nilai murni akan berhasil dan berkesan."

Aspek Nilai-nilai Murni
Jawatankuasa Pendidikan Akhlak yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah meneliti nilai-nilai yang terkandung dalam pelbagai agama yang diamalkan di negara kita, tidak hanya memfokuskan kepada agama Islam sahaja. Berasaskan kepada pandangan dan maklumbalas yang diperolehi , jawatankuasa ini yang dianggotai oleh wakil pelbagai agama telah menerima 16 nilai yang boleh diajar dan diserapkan kepada semua pelajar di negara ini untuk membentuk pelajar yang seimbang dan menyeluruh dari segi kognitif, afektif, psikomotor dan akhlak.Tujuan pendidikan nilai murni ialah untuk membentuk murid-murid supaya berperibadi mulia dan mampu dalam membuat keputusan berdasarkan nilai moral diri, keluarga, komuniti dan masyarakat.Sikap sentiasa mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara tulus ikhlas. Sikap baik hati boleh dilihat dengan menilai tindak tanduk orang lain.

14 August 2011

The beautiful word from FB : Bila ditimpa ujian..

Kdg2 kita berdoa utk kuat tp bnyak pula dugaan yg dtg, kdg2 kita minta cerdik tp mslh pula yg bertandang, kdg2 kita mita kebhgiaan tp huru hara pula menjelang. Dugaan menjd kn mental kita kuat, mslh menjd kn kita berfikir, huru hara menjd kn kita tabah.

Dalam hadis telah berkata Jibrail a.s : “Wahai Tuhan, Engkau sampaikanlah hajat hambaMu, maka Allah menjawab : “Biarkn hambaku itu, krn Aku mencintai rintih suaranya”…-Anas b Malik r.a

12 August 2011

Tahukah Anda: Kumpulan Qasidah Al-Ihya'.

Kumpulan Qasidah Al- Ihya' dianggotai oleh guru-guru pelatih IPG Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang. Kumpulan ini aktif menjalankan aktiviti berqasidah dan dakwah melalui bait-bait lagu qasidah yang memuji akan kebesaran junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. Sehingga kini, kumpulan Qasidah Al-Ihya' semakin rancak menyebarluaskan usaha mereka ke seluruh negara. Doakan kumpulan ini akan terus subur dan mekar mewangi dalam perjuangan mereka. Amin.

Untuk menonton video dan menghayati kelunakan alunan-alunan qasidah mereka, lawati laman sosial mereka di http://www.facebook.com/ 
dengan kata kunci Bainun Maulid Ensemble

11 August 2011

Manfaatkan Micro-teaching

Micro-teaching atau pengajaran mikro merupakan satu kaedah P&P yang hanya melibatkan proses yang minima dan melibatkan jumlah murid yang sedikit. Kebanyakan pelatih mengadakan atau mempraktikkan Micro-teaching adalah untuk mendapatkan skil atau pengalaman yang berguna secara langsung ketika mengajar.

Pelbagai aspek dapat dipelajari dengan lebih kemas apabila menggunakan kaedah Micro-teaching. Kesilapan yang terkesan atau kelebihan yang dikenalpasti boleh dimanfaatkan untuk penambahbaikkan apabila mengajar dalam situasi yang sebenar kelak.

Micro-teaching adalah latihan sebelum meneruskan kaedah Macro-teaching (yang lebih holistik). Oleh yang demikian, para guru pelatih haruslah merebut peluang semaksima mungkin andai diberi peluang untuk melaksanakan Micro-teaching. Tidak rugi. Pengalaman yang anda peroleh sangat berguna di sekolah ketika menjalankan praktikum kelak!

Selamat maju jaya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...