Sejarah silam Malaysia yang menarik, sebagai tempat persinggahan dalam laluan perdagangan rempah ratusan tahun dahulu, telah menjadikannya sebuah pusat gabungan pelbagai budaya. Penduduk Melayu, Cina dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik. Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India. Negeri Sabah dan Sarawak juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing dengan budaya serta yang unik dan tersendiri.
Salah satu bidang kebudayaan itu bolehlah dilihat diantaranya melalui nilai dan norma yang merangkumi perkara seperti peraturan-peraturan undang-undang, adat resam, ‘folk-ways & ‘mores’, gaya dan perlakuan, pantang larang, upacara dan nilai-nilai keagamaan dan bersopan santun.
Budaya masyarakat Malaysia boleh dilihat melalui perayaan-perayaan yang disambut oleh kaum-kaum tertentu. Misalnya orang Melayu yang beragama Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, orang Cina menyambut Tahun Baru Cina dan orang India menyambut Deepavali.
Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan masyarakat Melayu dan penganut agama Islam. Sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula dengan ibadat puasa di bulan Ramadan. Sepanjang bulan Ramadan umat Islam berpuasa pada siang hari dan mengerjakan sembahyang terawih pada sebelah malamnya. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum 1 syawal di mana Hari Raya Aidilfitri dirayakan. Hari Raya disambut dengan penuh kesyukuran. Umat Islam saling bermaaf-maafan dan kunjung mengunjungi untuk mengeratkan silaturahim. Rumah terbuka akan diadakan bagi mempersilakan tetamu datang berkunjung.
Perayaan Tahun Baru Cina pula disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka. Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalendar mereka iaitu tikus , lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi. Setiap binatang ini memberi signifikan dan tuahnya tersendiri.
Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama.Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. Ahli kelurga yang telah berumahtangga akan memberi 'angpau' kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumahtangga. 'Angpau' membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjangan, ianya sejenis sampul berwarna merah dan diisi dengan sejumlah wang. Buah limau mandarin dan kuih bakul merupakan kemestian yang perlu ada semasa merayakan Tahun Baru Cina.
Sepanjang Tahun Baru Cina berlangsung, tarian singa dimainkan dari rumah ke rumah dan kedai-kedai untuk memberi berkat kepada mereka yang meraikan perayaan tersebut. Penutup kepada perayaan Tahun baru Cina ialah perayaan Chap Goh Meh.
Deepavali pula adalah salah satu perayaan yang disambut oleh masyarakat Hindu. Ianya dirayakan pada bulan gelap bernama ’aippasi’ pada bulan Oktober dan November. Deepavali bermaksud ‘sebarisan pelita’. Dengan memasang pelita, mereka percaya bahawa kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Di pagi hari, masyarakat Hindu akan menyucikan tubuh badan dengan memakai sedikit minyak di kepala dan mandi. Kemudian mereka bersembahyang di rumah atau dikuil-kuil.
Selepas bersembahyang, mereka berkunjung ke rumah kaum keluarga.Kebiasannya, surirumah akan menyediakan kotak-kotak kecil berisi manisan dan membawa bersama apabila berkunjung ke rumah saudara-mara mereka. Di kebanyakan rumah, ‘rangoli’ iaitu lukisan yang dibuat daripada tepung beras berwarna-warni akan menyambut tetamu di hadapan rumah.Sebagai rumusan, kepelbagaian kaum di Malaysia mewujudkan pelbagai budaya dan seterusnya melahirkan suasana yang harmoni dan unik. Perayaan-perayaan yang disambut oleh masyarakat mengikut agama dan kepercayaan masing-masing mencorakkan lagi kepelbagaian budaya di Malaysia. Melalui perayaan-perayaan seumpama ini kita boleh mengenali identiti dan budaya sesuatu kaum yang terdapat di negara kita.
No comments:
Post a Comment
Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.