Pembaca Setia

18 December 2018

REUNION BEKAS PELAJAR SEKOLAH MENENGAH SRI MUDA (1979-1983)

PENAGA - Bekas pelajar Sekolah Menengah Sri Muda (SMSM) baru-baru ini mengadakan pertemuan semula dalam kalangan mereka bagi membina kembali ukhwah dan mengeratkan jalinan kasih sayang.

Perjumpaan hampir 100 orang bekas pelajar SMSM tahun 1979-1983 menjadi sangat bermakna apabila turut dihadiri oleh guru-guru yang pernah mengajar mereka. Peluang bertemu semula ini dimanfaat sepenuhnya untuk bertanya khabar, bertukar-tukar idea selain menggamit semula memori lama ketika melalui zaman persekolahan dahulu.

Majlis perjumpaan ini telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu di mana Tuan Hamdan Hashim, Guru Besarnya juga merupakan salah seorang bekas pelajar SMSM.

Majlis ini berjaya dianjurkan melalui kesepakatan yang dicapai melalui grup Whatsapp sekolah yang diwujudkan oleh bekas pelajar SMSM yang kini menetap di serata pelusuk negeri. Kemudahan teknologi komunikasi pada masa kini sangat membantu dalam merealisasikan impian bekas pelajar SMSM untuk berkumpul semula setelah hampir 35 tahun terpisah.

Pada majlis tersebut, pelbagai aktiviti dijalankan seperti ramah mesra, jamuan makan dan cabutan bertuah. Sumbangan untuk rakan-rakan yang kurang bernasib baik juga berjaya dikumpulkan.

Pihak penganjur berharap agar hubungan mesra yang dibina ini kekal berpanjangan dan bercadang akan mengadakan sesi pertemuan semula pada masa akan datang dengan lebih meriah lagi.










04 December 2018

Keputusan Temu Duga Bagi Lantikan Tetap Ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. (Bagi sesi temu duga yang telah diadakan bermula pada 29 Oktober 2018 hingga 9 November 2018 boleh disemak di sini)

Keputusan Temu Duga Bagi Lantikan Tetap Ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan

Keputusan temu duga bagi pelantikan tetap ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 untuk calon lepasan IPGM, bagi sesi temu duga yang telah diadakan bermula pada 29 Oktober  2018 hingga 9 November 2018 boleh disemak di sini.

https://semakan.spp.gov.my/semakan/keputusan_temuduga_view.php

Surat Arahan Penempatan akan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

TINDAKAN CALON SELANJUTNYA:
Calon yang berjaya perlu memuat naik, menyimpan dan mencetak Surat Tawaran Lantikan dan Pakej Setuju Terima Tawaran (PSTT) dalam tempoh enam (6) minggu sahaja dari tarikh hebahan ini dibuat. Untuk makluman, PSTT hendaklah dihantar kepada Ketua Jabatan masing-masing seperti di dalam Surat Arahan Penempatan oleh KPM.

Sekiranya terdapat sebarang kesilapan alamat pada surat tawaran tersebut, calon-calon adalah dimohon untuk menghantar emel kepada alamat emel iaitu maimunah@spp.gov.my atau asmah@spp.gov.my.

Sila kemukakan alamat yang betul beserta nombor kad pengenalan dan nombor telefon untuk dihubungi kepada emel tersebut. SPP akan menghubungi calon apabila surat tawaran tersebut telah dikemaskini dan boleh dicetak semula.

01 August 2018

Tangan PIKSM: Menulis Karangan Tidak Berformat Dengan Cara Mudah!





Teknik Tangan PIKSM
Pembinaan Isi Karangan Secara Mudah


Oleh: 
Mohamad Syamsul Izwan Bin Md Fauzi
Ketua Panitia Bahasa Melayu 
Sekolah Kebangsaan Kampung Banyok, Sibu, Sarawak.

cikgu.syamsul@yahoo.com




Tangan PIKSM merupakan satu idea yang dihasilkan untuk mempelbagaikan lagi teknik pengajaran guru. Selain itu, Tangan PIKSM berupaya menjadi bahan bantu mengajar yang sangat baik untuk mengekalkan fokus murid semasa membina karangan, meningkatkan kecekapan murid berfikir secara kritis dan kreatif seterusnya merangsang kecerdasan pemikiran yang akan membantu para guru menerapkan unsur kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) murid semasa proses pembelajaran berlangsung. 



Dalam subjek Bahasa Melayu khususnya, Tangan PIKSM membantu murid menghasilkan penulisan secara terancang, tertib dan kemas menggunakan bahasa yang tepat, indah dan menarik.  Murid juga dapat mencetuskan suatu idea berdasarkan kreativitinya, membebaskan pemikirannya daripada pemikiran tidak berfokus dan membolehkan idea-idea baru bercambah dan terurus dengan baik.



Penggunaan teknik Tangan PIKSM didapati dapat menangai beberapa isu selari dengan objektif ia dibangunkan. Sebelum diperkenalkan Tangan PIKSM, murid menunjukkan riak emosi yang tidak menyenangkan semasa diminta untuk menulis karangan berdasarkan kepada soalan yang diberi. Antara tiga contoh respon lisan murid adalah:

“...saya tidak tahu bagaimana mahu mula menulis...”
“...nak tulis berapa perenggan, cikgu?...”
“...perlu langkah satu baris tak cikgu untuk perenggan baru?...”
“...saya tidak ada idea,cikgu...”
“...susahlah, cikgu...”

Secara kolektifnya, kebanyakan murid dalam kumpulan sasaran ini dikesan mengalami masalah untuk membina sebuah karangan yang baik. Antara masalah utama yang dikesan berdasarkan kepada kajian yang telah dijalankan adalah pemerengganan yang tidak seimbang. Maksudnya, ada bahagian perenggan yang ditulis terlalu panjang dan ada juga perenggan yang ditulis terlalu pendek. Selain itu, ada juga murid yang membina karangan tanpa menulis pendahuluan dan penutup. Murid juga dikesan menulis semula idea yang sama secara berulang dalam perenggan-perenggan lain.



Pengaplikasian Tangan PIKSM berupaya menangai isu-isu yang dinyatakan di atas kerana penggunaannya diibaratkan sebagai sebuah pelan yang membantu murid untuk membina sebuah karangan yang tersusun dan tepat mengikut konteks.

Isu utama yang ingin ditangani melalui penggunaan Tangan PIKSM adalah cara murid mengorganisasikan idea, isi-isi karangan dan struktur binaan karangan yang teratur dan lengkap.



Tangan PIKSM bersifat mesra guru dan mesra murid. Oleh yang demikian, ia sangat mudah digunakan kerana peraturannya ringkas dan mudah difahami oleh murid-murid.




Penggunaan Tangan PIKSM:



Murid akan diperkenalkan dengan Tangan PIKSM. Guru kemudiannya menerangkan fungsi setiap bahagian yang ada pada lakaran tapak tangan. Lima jari pada tapak tangan sebelah kanan mewakili lima perenggan yang akan dibina oleh murid. Lima perenggan yang akan dibina adalah berdasarkan kepada perincian berikut:




PIKSM



Hasil karangan murid menggunakan Tangan PIKSM.




Tangan PIKSM didapati membantu murid menghasilkan idea dan olahan isi dalam penulisan karangan. Murid yang diajar menggunakan teknik Tangan PIKSM lebih banyak mengemukakan idea dan olahan isi berbanding ketika diajar menggunakan pendekatan konvensional. 





Penggunaan Tangan PIKSM ini mampu merangsang penghasilan idea terhadap penulisan karangan. Murid mampu menyusun idea seterusnya menghasilkan sebuah karangan dengan ayat yang gramatis. 





ANUGERAH GURU INOVATIF NEGERI SARAWAK 2018

Sekalung penghargaan buat semua yang telah membantu dan menyokong idea inovasi Gelanggang Minda. Terima kasih.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...