02 November 2011
29 October 2011
Penilaian Melalui Projek
Projek ialah satu aktiviti pembelajaran yang dijalankan dalam satu tempoh masa yang tertentu. Ia biasanya melibatkan kutipan serta analisis data persediaan satu laporan yang betul. Dalam konteks kurikulum sekolah, projek bermaksud secara amali.
Tugasan ini boleh dijalankan secara individu atau secara berkumpulan dan dilaksanakan dalam satu jangka masa yang munasabah. Penilaiannya dijalankan pada setiap tahap proses sehinggalah kepada tahap hasil disediakan.
Penilaian cara ini berupa aktiviti aktiviti yang memerlukan pelajar mengaplikasi atau membuat tunjuk cara pengetahuan dan kemahiran dalam situasi sebenar. (Wiggins, 1989).
Apakah tujuan pembelajaran Projek ini?
- Menggalakkan pelajar bekerjasama dan memikul tanggungjawab
- Memberi kebebasan pelajar untuk menunjukkan kreativiti dan inovasi.
- Memberi peluang pelajar menggunakan bahan sumber yang terdapat di luar bilik darjah.
Ciri-ciri Penilaian Projek
- Projek mempunyai pelbagai reka bentuk ( lisan, visual, kinestetik ).
- Jangka masa yang panjang
- Menunjukkan peranan sebenar dalam situasi sebenar.
- Pelajar boleh membina penyelesaian alternatif. Tidak ada satu jawapan yang benar.
- Pelajar perlu melibatkan diri secara aktif sama ada ketika menyediakan projek atau dalam kumpulan.
- Tugasan boleh dilaksanakan secara kumpulan atau individu.
- Merupakan peluang menilai pelajar dalam kreativiti, kemahiran merancang, integrasi pengetahuan, kebolehan membuat tugasan bersama orang lain.
- Pelajar menunjukkan kebolehan mengkaji/membentukkan sesuatu.
- Pelajar melaksana dan menghasilkan sesuatu.
- Pelajar mengamalkan kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah.
Jenis-jenis penilaian Projek
- Latihan dan soalan ‘open-ended’ untuk pelajar meneroka secara lisan atau bertulis.
- Extended tasks assignment seperti menulis puisi, melaksana dan menerangkan keputusan ujikaji, membina model.
- Portfolio-koleksi tugasan berdasarkan prestasi.
- Tugasan prestasi – drama, lakonan, persembahan, poster atau model.
Langkah-langkah untuk menjalankan Projek.
Langkah 1 : Penentuan tajuk dan skop Projek.
Langkah 2 : Penilaian awal projek.
Langkah 3 : Pelaksanaan strategi.
Langkah 4 : Pemprosesan Maklumat.
Langkah 5 : Penilaian hasil projek.
Perbezaan ujian sumatif dan ujian formatif
Perbezaan antara ujian formatif dan sumatif pada asasnya berdasarkan skop kemahiran, jangka masa P&P atau objektif pengajaran dan pembelajaran yang hendak diuji.
Ujian Formatif
Ujian Formatif adalah bahan atau alat ujian yang dibina oleh guru untuk menguji sesuatu kemahiran atau subkemahiran bahasa yang diajar. Biasanya skop pengajaran dan pembelajaran ujian tersebut agak terhad dan tidak luas.Tujuan utama guru menjalankan ujian formatif untuk memperbaiki lagi mutu proses pengajaran dan pembelajaran. Ujian Formatif dapat mengesan kelemahan dan pembelajaran murid secara serta-merta. Biasanya ujian ini dijalankan dalam bentuk pemerhatian atau pun dalam satu siri ujian yang pendek.
Ujian Sumatif
Ujian sumatif ialah proses penilaian yang dijalankan secara menyeluruh pada akhir satu peringkat pembelajaran untuk menentukan tahap pembelajaran dalam kalangan murid. Skop pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk Ujian Sumatif diasaskan dan dibina secara luas dan melibatkan kesemua kemahiran dan aspek bahasa.
Penilaian Melalui Portfolio
Penilaian Melalui Porfolio
Portfolio ialah satu kaedah yang digunakan oleh guru untuk mengumpul dan merekod bukti pencapaian pelajar dalam satu jangka masa yang dipersetujui bersama. Terdapat beberapa jenis portfolio untuk tujuan dan konteks pembelajaran yang berbeza. Selain portfolio, rekod anekdot dan lain-lain bukti pembelajaran yang lain boleh digunakan untuk menghasilkan penilaian yang menyeluruh.
Portfolio berbentuk dokumentasi yang berstruktur. Ia memerlukan perancangan, pelaksanaan dan penilaian yang teliti. Proses pembelajaran dijalankan secara kolaboratif untuk mencapai kefahaman dan mendokumentasikan pemikiran secara kritis dan kreatif serta pemilihan maklumat dan fakta dari peringkat awal hingga ke akhir.
Tujuan portfolio ialah untuk :
- Memberi peluang pelajar mendokumentasi kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh melalui pengalaman sewaktu menyempurnakan tugasan.
- Menggalakkan pelajar menyemak dan menganalisis pembelajaran mereka secara sistematik.
- Menyediakan ruang pelajar membuat refleksi dan menentukan matlamat peribadi.
Kegunaan Portfolio
- Menilai perkembangan dalam satu tempoh (authentic assessment).
- Menilai perkembangan kemahiran dan kebolehan.
- Digunakan bagi menggambarkan keperluan spesifik dalam penyempurnaan gred.
- Menilai secara sumatif pembelajaran.
- Menunjukkan kesesuaian kurikulum dan kejayaan pelajar
Ciri-ciri Portfolio
- Menggambarkan sejelas-jelasnya aktiviti pelajar iaitu rasional, matlamat, halatuju, prosedur kerja, pengalaman dan harapan.
- Sesuatu yang dilaksanakan oleh pelajar secara auntentik. Ini adalah kaedah konkrit untuk pelajar menghasilkan kerja melalui pengalaman sendiri ketika melakukan kerja-kerja amali atau kerja-kerja lapangan.
- Menunjukkan perlakuan pelajar yang dibimbing oleh guru seperti ulasan, komen, dan cadangan harus direkod untuk menghadapi dan mengatasi sesuatu tugasan pembelajaran.
- Membuat catatan pembimbing yang membantu pelajar merenung dan membuat refleksi tentang kerja yang dibuat untuk menentukan tindakan susulan.
- Kriteria penilaian yang dipilih diterangkan dan dipersetujui bersama dengan pelajar sebagai penggalak kepada pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif.
Jenis-jenis Portfolio Yang Boleh Dibina.
- Portfolio Kerja Harian
- Portfolio Hasil Terbaik
- Portfolio Dokumen
Kebaikan Penilaian Portfolio
- Penglibatan murid sepenuhnya dalam pengajajaran dan pembelajaran
- Guru mendapat banyak maklumat untuk menilai pencapaian muri-murid
- Merupakan satu cara untuk menilai tahap perkembangan murid-murid
- Dapat memotivasikan murid-murid dan meningkatkan tahap kefahaman kendiri mengenai tugasan pembelajaran yang diberi oleh guru.
ujian kefasihan
Ujian Kefasihan bertujuan untuk menentukan setakat manakah seseorang telah mengetahui dan menguasai sesuatu bahasa secara keseluruhan.
Ujian ini menilai kebolehan umum seseorang terhadap bahasa yang dipelajarinya. Biasanya ujian ini digunakan untuk menempatkan seseorang dalam kumpulan pembelajaran yang sesuai dengan pengetahuan dan kebolehan mereka.
Ujian pencapaian
Ujian ini boleh dijalankan pada akhir kursus atau setelah tamatnya sesuatu unit pembelajaran.Sejauh mana sesuatu kemahiran itu dikuasai dalam satu jangkamasa yang ditetapkan boleh ditentukan melalui dua set ujian yang berlainan. Ujian ini dinamakan ujian pra dan ujian pos.
Ujian diognastik
Ujian diagnostik merupakan satu instrument yang digunakan untuk mengukur daerah kelemahan murid secara terperinci. melalui ujian ini, guru dapat mengenal pasti apakah masalah sebenar murid di peringkat awal. Hal ini secara tidak langsung akan memudahkan guru merancang kejayaan program Pemulihan kelak.
Ujian diagnostik dibina berdasarkan beberapa perkara iaitu :
soalan dibahagikan kepada beberapa bahagian :
- Diagnostik Pengamatan
- Diagnostik Lisan
- Diagnostik Tulisan
Diagnostik Pengamatan
Tujuan pelaksanaan ujian ini adalah untuk mengesan kelemahan keupayaan murid seperti gerak mata, koordinasi mata-tangan dan kecekapan saraf. Sebahagian soalan mengandungi arahan-arahan yang perlu disebut oleh guru dan dilakukan oleh murid.
Diagnostik Lisan
Tujuan pelaksanaan ujian ini adalah untuk mengesan kelemahan keupayaan murid seperti pertuturan, gagap, gerak mata, membaca, menyebut, mengeja, membatang perkataan. Sebahagian soalan ada meminta murid memberikan pendapat mengenai sesuatu gambar yang ditunjukkan.
Diagnostik Tulisan
Tujuan pelaksanaan ujian ini adalah untuk mengesan kelemahan keupayaan murid dari segi pergerakan tangan dan mata. Murid diuji secara langsung berdasarkan soalan dalam aspek koordinasi mata dan tangan, kekemasan menulis, menulis dengan cermat, tulisan yang boleh dibaca, setara dan berstruktur. Sebahagian soalan akan menyerlahkan kesilapan murid semasa menulis seperti menulis terbalik, menulis tidak mengikut susunan, tulisan comot, struktur ayat yang bercampur aduk hufur besar dan kecil.
Selesai pelaksanaan ujian diagnostik, guru bolehlah membuat analisa setelah mengetahui daerah kelemahan murid. Di sini, guru perlu mengasingkan murid mengikut daerah kelemahan masing-masing. sekiranya murid A, B dan F tidak boleh mengeja suku kata KV+KVKK, guru perlu meletakkan mereka dalam satu kumpulan. Jika murid C, G dan H tidak boleh membina ayat, mereka perlu diasingkan dalam satu kumpulan yang lain.
Ujian bakat dalam pentaksiran bahasa Melayu
Ujian bakat bertujuan mengesan bakat seseorang dalam menguasai bahasa asing.
Ujian bakat biasanya melibatkan data-data bahasa yang mengandungi unsur-unsur bahasa seperti fonetik,tatabahasa dan kosa kata.
Melalui ujian ini murid-murid akan melakukan berbagai-bagai aktiviti bahasa seperti meniru penyebutan bunyi-bunyi, mengubah bentuk, atau struktur sesuatu bahasa, menentukan makna berdasarkan konteks dan sebagainya.
Setelah hasil ujian dianalisis guru dapat mengenal pasti murid-murid yang berbakat dan berpotensi untuk mempelajari sesuatu bahasa dengan cepat.
Pentaksiran
Pentaksiran ialah satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan.
Maklumat meliputi halhal berkaitan topik, bukti dan prestasi. Penghakiman melibatkan hal-hal seperti pertimbangan dan pencapaian aspek pendidikan, manakala produk pula melibatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai.
Proses pendidikan pula melibatkan operasi, dapatan dan hasil. Aspek-aspek utama dalam pentaksiran ialah:-
Maklumat meliputi halhal berkaitan topik, bukti dan prestasi. Penghakiman melibatkan hal-hal seperti pertimbangan dan pencapaian aspek pendidikan, manakala produk pula melibatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai.
Proses pendidikan pula melibatkan operasi, dapatan dan hasil. Aspek-aspek utama dalam pentaksiran ialah:-
i. Instrumen
ii. Kumpulan yang ditaksir
iii. Respon
iv. Kumpulan yang menaksir
v. Skor
Subscribe to:
Posts (Atom)


