Pembaca Setia

21 September 2010

Definisi kurikulum serta matlamat dan objektif kurikulum

Berdasarkan penulisan Ishak Ramly (2003), kurikulum merangkumi semua pengalaman yang didapati di dalam dan luar sekolah dan perkara yang diajarkan di sekolah dan bilik darjah. Beliau turut mengelaskan kurikulum kepada tiga bahagian iaitu:

  • Kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan di sekolah
  • Kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan secara praktikal di dalam kelas
  • Kurikulum adalah pengisian sepanjang hayat bagi membudayakan ilmu dan pengalaman individu ataupun berkumpulan.

Yusuf Hashim (2000) pula menganggap kurikulum sebagai laluan atau balapan bagi sesuatu pertandingan perlumbaan kereta kuda berdasarkan maksud perkataan kurikulum yang berasal daripada perkataan Latin iaitu Curere yang bermaksud laluan. Manakala dalam bahasa Ingeris, kurikulum bermaksud jelmaan atau metamorphosis. Paduan maksud kedua-dua bahasa ini menghasilkan definisi laluan dari satu peringkat ke satu peringkat.

Banyak lagi sumber-sumber yang menterjemahkan maksud kurikulum yang lebih kompleks. Secara ringkas, kurikulum adalah bidang pengajian di sekolah.

Kurikulum berperanan sebagai garis panduan dan penentu sempadan ilmu yang hendak disampaikan. Ini bermaksud bahawa maklumat-maklumat akan disampaikan mengikut peringkat yang tertentu. Kurikulum di sekolah perlu sentiasa relevan dengan keperluan dan kehendak semasa. Pusat Perkembangan Kurikulum sentiasa merangka kurikulum pendidikan di Malaysia dari semasa ke semasa mengikut aliran tinggi. Kurikulum perlu diubahsuai mengikut keperluan supaya murid-murid sentiasa bergerak seiring dengan trend pengetahuan semasa.

Kurikulum pendidikan dibina atas beberapa tujuan. Antaranya adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi serta berketerampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif.

Selain daripada itu, kurikulum pendidikan juga menggabungkan jaringan unsur nilai moral dan agama merentasi kurikulum. Bagi mencapai hasrat ini, kurikulum telah menitikberatkan aspek kepemimpinan murid-murid melalui ko kurikulum. Kurikulum yang sama digunakan di semua sekolah di Malaysia bermatlamat untuk menguatkan hubungan sosial antara masyarakat majmuk di Malaysia. Kurikulum yang seragam dan adil dapat membentuk masyarakat yang bersatu padu dan menyingkirkan sikap prejudis antara kaum.

Akhir sekali, kurikulum juga diharap dapat membantu pembentukan insan dan warganegara yang mempunyai semangat patriotisme dan cinta kepada tanah air.

Kepentingan pendidikan jasmani dalam kurikulum sekolah.

Pendidikan jasmani amat penting untuk dilaksanakan dalam kurikulum sekolah rendah. Hal ini demikian kerana, melalui pendidikan jasmani, pelbagai aspek dapat dikembangkan ke tahap yang lebih tinggi. Sebagai contoh, aspek JERIS seseorang individu mungkin akan terjejas sekiranya mereka mengabaikan aspek pembangunan fizikal dan jasmani diri masing-masing.

Kepentingan pendidikan jasmani dalam kurikulum sekolah rendah tidak dapat dinafikan lagi. Berikut adalah beberapa huraian mengenainya. Pertama, pendidikan jasmani membantu membangunkan dan meningkatkan keupayaan fizikal dan kecergasan seseorang individu. Selain itu, melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani dapat membantu seseorang individu membangunkan kemahiran pergerakan asas. Pendidikan jasmani di sekolah rendah juga dapat membantu murid-murid meningkatkan kefahaman mengenai keselamatan diri, alatan dan tempat beraktiviti. Dalam aspek pembangunan emosi dan sahsiah, pendidikan jasmani membantu murid meneroka kelemahan dan kelebihan diri mereka seterusnya memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk mengenali dirinya. Pendidikan jasmani yang diajar di sekolah berdasarkan kepada kurikulum yang telah digubal mampu menyemai budaya bergiat cergas sepanjang hayat dalam diri setiap murid. Perkara yang sedemikian mampu mempengaruhi gaya hidup yang lebih baik dan sihat.

Sejarah perkembangan pendidikan jasmani di Malaysia.

Menurut laman blog RujukNota, sejarah perkembangan pendidikan jasmani di Malaysia dapat dibahagikan kepada beberapa era.

Pertama, sistem pendidikan asal iaitu sistem pendidikan yang telah ada sebelum kedatangan pengaruh Barat. Kedua, zaman penjajahan menghasilkan pendidikan yang formal yang telah menghasilkan pertumbuhan sekolah-sekolah Inggeris, Melayu, Cina dan India. Zaman ini berlanjutan hingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Ketiga, Zaman pendidikan moden, iaitu zaman selepas merdeka.

Sebelum datangnya pengaruh pendidikan Barat, sistem pendidikan merupakan sistem yang tidak formal seperti kelas-kelas agama dan al-Quran, kelas kesenian dan pertukangan. Sistem ini tidak memberatkan ciri-ciri pendidikan secara formal. Oleh itu, tidak ada langsung pendidikan jasmani.

Sistem pendidikan yang formal diperkenalkan di negara ini selepas kedatangan Inggeris di negeri-negeri Selat. Ini adalah usaha penganjur Kristian dan Kompeni Inggeris. Sekolah yang pertama didirikan di Tanah Melayu ialah Penang Free School yang ditubuhkan dalam tahun 1816. Usaha mendirikan sekolah ini dibuat oleh Rev. R.S Hutching. Sekolah itu ialah dibawah pengelolaan Kompeni Inggeris. Pendidikan jasmani tidak dijalankan lagi.

Sehingga tahun-tahun 1920-an masih belum ada sistem dan sukatan pelajaran yang formal walaupun peajaran pendidikan jasmani mula diajar secara tidakm formal. Keutamaan diberi kepada aktiviti senaman, latihan kawat dan permainan yang membawa pengaruh penjajahan Inggeris. Tahun 1924 dilantik seorang pengusaha pendidikan jasmani untuk negeri-negeri Selat.

Sungguhpun begitu, sukatan pelajaran pendidikan jasmani belum tersusun. Guru-guru yang tidak pernah menerima latihan pendidikan jasmani ditugaskan mengajar pelajaran itu. Tahun-tahun 1930-an barulah usaha rancangan pendidikan jasmani untuk sekolah-sekolah dimulakan. Sukatan pelajaran itu merupakan asas untuk pelajaran pendidikan jasmani di Tanah Melayu. Ia berdasarkan kepada sukatan pelajaran Latihan Fizikal untuk sekolah-sekolah Inggeris di England, yang mana telah diperkenalkan dalam tahun 1933. Siri buku-buku Jefferson, How To Teach Physical Training dijadikan asas sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani. J.W Jefferson yang dilantik sebagai penguasa pendidikan jasmani dalam tahun 1932, telah melancarkan rancangan latihan guru pendidikan jasmani ke seluruh negara. Kursus-kursus dalam perkhidmatan diadakan di seluruh negara. Tahun 1946-48, suatu sukatan yang formal untuk sekolah-sekolah rendah dan menengah. Sukatan ini diterbitkan oleh Maktab Perguruan Sultan Idris, (MPSI) Tanjung Malim (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris). Sistem latihan guru pendidikan jasmani dilancarkan secara berperingkat-peringkat, iaitu dari peringkat 1 hingga peringkat 4.

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu menunjukkan pengaruh penjajahan Inggeris dalam perkembangan pendidikan jasmani. Gimnastik, sukan dan rentakrama merupakan bahagian program-program yang terdapat di sekolah-sekolah rendah, sementara di sekolah-sekolah menengah, Inggeris memajukan satu program yang serupa dengan yang terdapat di negara-negara Asia di bawah British Komanwel. Bola sepak, bola keranjang, berenang d tenis adalah popular tetapi permainan badminton paling popular. Pada tahun 1952 guru-guru tempatan mula dihantar ke luar negara untuk meluaskan pengetahuan mengenai pendidikan jasmani. Setahun kemudian, Pendidikan Jasmani dimasukkan sebagai satu mata pelajaran bagi kursus asas dan pilihan utama di Kirby.

Kemudian diadakan pula kursus pendidikan dan kesihatan di Kirby dan Brinsford, England. Tahun 1955, Jawatan Penguasa Pendidikan Jasmani diambil oleh anak tempatan iaitu, En. Teoh Teik Lee. Pada tahun 1958, bahagian Penguasa Pendidikan Jasmani dipindahkan kepada Bahagian Nazir Sekolah-sekolah dan juga disatukan dengan Bahagian Latihan Guru. Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani IPSI dikekalkan dalam tahun 1950-an dengan beberapa penyesuaian dan pindaan.

Pada tahun 1960, B.E Chamber diganti oleh E.D Clay sebagai Nazir Sekolah-sekolah Persekutuan, Bahagian Pendidikan Jasmani. Sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani dikaji semula dan wujudlah sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan pada tahun 1966. Kursus tambahan, satu tahun Pendidikan Jasmani diadakan di Maktab Perguruan Ilmu Khas pada tahun 1960. Kemudian, diikuti dengan kursus tambahan untuk guru-guru perempuan dalam tahun 1961. Pada tahun 1971, sukatan pelajaran disemak semula,kemudiaanya sukatan itu dikeluarkan dalam 2 bahasa iaitu Melayu dan Inggeris. Sukatan ini lebih dinamik dan berkesan kerana memberatkan kepada kesan,pergerakan dan kemahiran. Dimasukkan juga aspek-aspek moden seperti tarian moden atau tarian pendidikan dan gimnastik untuk perempuan.


Hubungkaitkan bagaimana pendidikan jasmani membantu pembentukan individu dari segi jeris?

JERIS adalah singkatan bagi Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial. Sukatan pendidikan jasmani digubal dengan begitu teliti supaya aspek JERIS dapat dicapai melalui segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Dalam aspek jasmani, kurikulum Pendidikan Jasmani digubal untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk masyarakat yang cergas, sejahtera dan produktif. Kurikulum ini dibahagikan kepada tiga tunjang pembelajaran iaitu Kecergasan, Kemahiran dan Kesukanan. Tiga tunjang ini membantu mencapai matlamat dan objektif Pendidikan Jasmani.

Aspek emosi, rohani dan intelek pula dapat dibentuk dalam diri individu apabila murid dapat memahami dan menghayati pengetahuan, kemahiran dan pengalaman Pendidikan Jasmani agar dapat mengamalkan gaya hidup cergas sebagai budaya Malaysia. Murid diorientasikan dengan ilmu dan amalan Pendidikan Jasmani bagi membentuk sahsiah dan sikap untuk menghadapi cabaran hidup. Kurikulum Pendidikan Jasmani yang terancang dan persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan potensi murid ke tahap optimum.

Penerapan nilai-nilai murni dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat membantu pembentukan sosial individu. Nilai-nilai murni yang terdapat dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani adalah selaras dengan kehendak matlamat mata pelajaran ini. Antara nilai yang perlu diterapkan dan diamalkan ialah semangat kesukanan, permainan bersih, toleransi, semangat berpasukan, disiplin, berdaya saing, kepemimpinan dan penyertaan.

Pendidikan jasmani yang perlu difahami oleh guru bagi memenuhi aspirasi dan keperluan yang digariskan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara." (Falsafah Pendidikan Kebangsaan).

Guru perlu memahami dan menyedari kepentingan pendidikan jasmani supaya aspirasi negara untuk melahirkan insan yang seimbang dalam pelbagai aspek termasuk jasmani. Pendidikan Jasmani membantu murid menjadi cergas, aktif dan berpengetahuan melalui pemupukan kemahiran, nilai dan amalan kecergasan.

Kurikulum Pendidikan Jasmani digubal untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk masyarakat yang cergas, sejahtera dan produktif. Kurikulum ini dibahagikan kepada tiga tunjang pembelajaran iaitu Kecergasan, Kemahiran dan Kesukanan. Tiga tunjang ini membantu mencapai matlamat dan objektif Pendidikan Jasmani.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.

Sejajar dengan objektif pendidikan jasmani iaitu murid dapat menguasai kemahiran asas pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri. Pendidikan jasmani juga melibatkan elemen-elemen teori kecerdasan pelbagai seperti kinestatik (pergerakan). Melalui pendidikan jasmani juga, potensi dan kebolehan seseorang individu dapat diterokai dan seterusnya menjadi satu platform untuk melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan.

Pendidikan jasmani bukan semata-mata aktiviti senaman atau kesukanan tetapi lebih dari itu. Ia merangkumi banyak aspek yang penting kepada pembangunan individu. Tiga tunjang pendidikan jasmani iaitu kecergasan, kemahiran dan kesukanan perlu dikuasai oleh setiap individu. Perlu ditekankan bahawa setiap aktiviti yang melibatkan pergerakan perlu bermula dengan kemahiran asas yang betul bagi mengelakkan kecederaan. Pelbagai penyerapan dalam pendidikan jasmani yang menjadi ilmu yang berguna, contohnya anatomi dan fisiologi.

Pendidikan jasmani melahirkan manusia yang berguna, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Aktiviti kesukanan merupakan salah satu cara yang terbaik untuk mengisi masa lapang, seterusnya dapat mengelakkan diri daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan tidak bermoral. Pendidikan jasmani melahirkan individu yang bertanggungjawab, misalnya sebagai ketua dalam kumpulan.

Pendidikan jasmani juga mampu meningkatkan keyakinan diri. Pendidikan jasmani membolehkan seseorang menerima kejayaan dan kegagalan dengan optimis. Individu yang cergas dan cerdas mempunyai keterampilan dan peribadi yang baik dan menonjol. Kemungkinan individu yang banyak memberi alasan adalah kurang diberi pendidikan jasmani dan kurang melibatkan diri dalam aktiviti fizikal.

Maksud main, permainan dan sukan.

Main

Main ditakrifkan sebagai sebarang aktiviti yang memberikan kegembiraan dan kepuasan kepada kanak-kanak tanpa menimbangkan apakah hasil aktiviti itu. Dengan lain perkataan, kanak-kanak bermain bukan kerana ingin akan sesuatu atau mencapai tujuan tertentu. Bermain dianggap sebagai satu pekerjaan bagi kanak-kanak, tetapi bukanlah pekerjaan yang memerlukan hasil akhiran atau tujuan tertentu.

Menurut Kraus (1990), bermain juga bukanlah satu aktiviti yang dipaksa malah merupakan keinginan semulajadi kanak-kanak. Lazimnya apabila sesuatu tugasan itu dianggap mudah, tugasan tersebut sering dirujuk sebagai mainan kanak-kanak memandangkan tidak wujudnya komplikasi dan merupakan nilai yang paling berharga buat perkembangan kanak- kanak.

Mengikut Carr, main merupakan pengalaman katartik, memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meluahkan emosi yang negatif. Sebagai contoh kanak- kanak yang berusia empat tahun yang baru sahaja mendapat adik baru akan mengalami pengalaman negatif seperti penolakan kasih sayang dan perasaan permusuhan terhadap adik tersebut. Untuk perihal ini, main dikatakan dapat menyuarakan perasaan kecewa tersebut.

Dari aspek psikoanalisis, mengikut Freud pula, main memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memperolehi perasaan dapat mengawal keadaan yang dikatakan dapat membantu kanak-kanak untuk berurusan dengan realiti sebenar (Kraua, 1990).


Permainan

Permainan merupakan salah satu alat pengukuhan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Menurut Allessi & Trollip (1991) permainan ialah suatu aktiviti yang melibatkan proses pembelajaran secara tidak formal. Permainan mampu untuk mewujudkan suatu suasana yang dapat merangsangkan pembelajaran atau penguasaan sesuatu kemahiran. Permainan tidak mempunyai tujuan yang jelas tetapi boleh berubah kepada sukan.


Sukan

Sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan untuk pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran, kecemerlangan, dan sebagainya. Perbezaan tujuan inilah yang membezakan sifat sesuatu sukan itu. Misalnya, berenang secara bersaingan di hadapan ribuan penonton akan dikira sebagai sukan tetapi berenang bersendirian di kolam atau laut dilihat sebagai aktiviti rekreasi (Ensiklopedia bebas Wikipedia ).

Definisi Pendidikan Jasmani

Menurut laman web eksiklopedia bebas Wikipedia , Pendidikan Jasmani didefinisikan sebagai suatu proses yang bertujuan meningkatkan prestasi manusia melalui aktiviti fizikal yang berkait rapat dengan pemilikan dan penghalusan kemahiran-kemahiran motor; pembangunan dan pemeliharaan kecergasan untuk kesihatan optimum dan keadaan baik; memperoleh pengetahuan, dan pembangunan sikap-sikap positif terhadap aktiviti fizikal Jenny (1961) dan Williams (1964) berpendapat bahawa Pendidikan Jasmani memberi pendidikan melalui aktiviti fizikal dan matlamatnya mempengaruhi semua perkembangan fizikal termasuk perkembangan mental dan sosial.

Barrow (1971, 1983) menyatakan Pendidikan Jasmani dalam konteks ‘pengalaman pendidikan menyeluruh’ dan berkait dengan hal seumur hidup setiap individu.

Baley & Field (1976), satu proses pengubahsuaian dan pembelajaran berkenaan organik, neuromaskular, intelektual, sosial, budaya, emosional dan estetik, hasil melalui aktiviti-aktiviti fizikal yang terpilih dan agak rancak,

Freeman (1992) menegaskan bahasa Pendidikan Jasmani meliputi pembangunan fizikal dan mental dan menumpu pada tiga domain pendidikan, iaitu psikomotor, kognitif dan afektif.

Lumpkin (1990) berpendapat Pendidikan Jasmani merupakan suatu proses yang membolehkan individu mempelajari kemahiran-kemahiran fizikal, mental dan sosial serta tahap kecergasan yang tinggi.

Dauer (1995) berpendapat Pendidikan Jasmani ialah sebahagian daripada program pendidikan yang menyeluruh, yang memberi sumbangan pada asasnya melalui pengalaman-pengalaman pergerakan kepada perkembangan dan pembangunan keseluruhan kanak-kanak.

03 August 2010

Persediaan keselamatan semasa menjalankan aktiviti PJK.

Terdapat beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh guru semasa menjalankan aktiviti PJK bersama murid-murid.

Pertama, guru perlu menjaga keselamatan murid dengan rapi semasa di dalam atau di luar bilik darjah.

Kedua, guru-guru mestilah mengawasi dan peka terhadap keselamatan murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti PJK.

Ketiga, adalah dilarang sama sekali menjalankan aktiviti sukan di tempat lapang semasa cuaca buruk dan adanya kilat atau petir.

Keempat, elakkan sama sekali mengadakan aktiviti sukan semasa hujan dan ribut petir, sama ada di padang atau kolam renang.

Kelima, berhentikan aktiviti sukan apabila keadaan menjadi gelap kerana hendak hujan.

Keenam, sebarang kemalangan atau kecederaan yang berlaku hendaklah disiasat dan dilaporkan kepada pengetua atau guru besar dengan segera. Semua jenis kemalangan mestilah direkodkan.

Persediaan keselamatan selepas menjalankan aktiviti PJK

Persediaan keselamatan selepas menjalankan aktiviti PJK

Melakukan aktiviti menyejukkan badan.

Ramai di kalangan kita mengabaikan aktiviti menyejukkan badan selepas bermain atau latihan. Kebanyakan mereka lebih suka untuk terus berehat bagi melepaskan penat.

Perkara sedemikian perlu dielakkan. Hal ini demikian keranan, ketika kita melakukan aktiviti, darah banyak disalurkan ke bahagian anggota yang melakukan aktiviti aktif. Contohnya di bahagian kaki semasa berlari. Berhenti melakukan aktiviti aktif secara mengejut boleh memberi kesan yang negatif dan berbahaya kepada anggota badan tersebut.

Terdapat tiga tujuan utama mengapa kita perlu lakukan aktiviti menyejukkan badan.

Pertama, asid laktik yang banyak terkumpul di otot dapat dihantar semula ke hati untuk disimpan dan dijadikan semula tenaga apabila diperlukan.

Kedua, selepas latihan, darah pada otot mempunyai kandungan karbon dioksida yang tinggi. Darah ini harus dihantar ke jantung dan seterusnya ke paru-paru. Ketika ini gas karbon dioksida akan dilepaskan ke udara dan gas oksigen akan diambilkan sebagai ganti.

Ketiga, menurunkan suhu dan kadar denyutan jantung ke tahap normal.

Kesimpulannya, aktiviti menyejukkan badan perlu dilakukan supaya sistem tubuh badan tidak mengalami kejutan akibat perubahan yang berlaku dengan tiba-tiba.

Persediaan keselamatan sebelum menjalankan aktiviti PJK

Dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), beberapa perkara perlu diberi perhatian dengan sewajarnya. Aspek-aspek keselamatan perlu dititikberatkan sama ada sebelum, semasa atau selepas menlaksanakan aktiviti PJK.

Persediaan keselamatan sebelum menjalankan aktiviti PJK

Terdapat tujuh perkara yang perlu diberi perhatian untuk keselamatan sebelum menjalani aktiviti PJK.

Pertama, melakukan aktiviti memanaskan badan, regangan otot dan kelonggaran sendi sebelum melakukan aktiviti yang lebih berat. Suhu badan boleh ditingkatkan dengan berlari. Berjoging selama tiga atau empat minit sudah mencukupi. Jika anda berada di sekolah, adalah lebih menyeronokkan jika berlari diadakan dalam bentuk permainan, contohnya permainan kejar-mengejar seperti police and thief. Denda dengan melakukan tekan tubi sebanyak lima kali apabila dapat ditangkap oleh rakan yang mengejar boleh menjadi motivasi yang baik dengan berlari lebih laju apabila menyertai semula permainan itu.

Kedua, latihan bersistematik. Latihan perlu dirancang dan ditentukan terlebih dahulu sebelum melaksanakannya. Jangan sesekali melakukan aktiviti yang tidak diketahui faedah dan akibatnya.

Ketiga, kenal pasti kecergasan diri. setiap individu mempunyai tahap kecergasan yang berbeza. Tetapkan objektif latihan mengikut kecergasan diri masing-masing.

Keempat, kenal pasti kemampuan diri. Lakukan aktiviti mengikut tahan kemampuan masing-masing. Jangan memaksa diri melakukan aktiviti melebihi had keupayaan masing-masing. Kesihatan murid perlu diberi perhatian dan diambil kira. Murid yang mempunyai penyakit kronik tidak boleh dipaksa mengambil bahagian. Bagi semua aktiviti lasak, murid-murid dikehendaki menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu. Murid-murid yang cedera, semput atau lelah (asthma) tidak dibenarkan mengambil bahagian.

Kelima, persekitaran dan tempat aktiviti mestilah sesuai. Pastikan persekitaran tempat yang selamat. Selamat untuk diri sendiri dan orang lain. Kawasan latihan, permainan atau sukan hendaklah berada dalam keadaan yang baik dan terurus

Keenam, kemudahan peralatan. Pastikan anda mempunyai peralatan yang sesuai untuk melakukan aktiviti. alatan termasuklah juga pakaian yang sesuai untuk aktiviti. Guru-guru hendaklah memastikan semua alat sukan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum digunakan. Peralatan sukan yang dianggap merbahaya dan jika diabaikan boleh membawa maut adalah Lembing, Peluru, Cakera, Tukul Besi, Tiang Lompat Tinggi, Tiang Lompat Bergalah, Kayu Hoki, Kayu Golf, Bad Kriket, Bola Hoki, Bola Kriket, Bola Golf, Bola Baling, Bola Billiard, Dart, Spikes, Anak Panah dan Peralatan Gimnastik. Pastikan semua latihan sukan yang menggunakan peralatan yang merbahaya seperti yang dinyatakan diadakan pada hari atau masa yang berasingan dengan latihan sukan lain.

Ketujuh, perlakuan yang betul. jangan melakukan aktiviti dengan cara yang salah. ini akan membahayakan diri anda. Segala aktiviti sukan seperti gimnastik terjun dan lain-lain yang memerlukan kemahiran tinggi perlu diajar oleh guru sukan yang bertauliah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...